Seorang wanita berkongsi tindakan spontan anaknya yang berusia tiga tahun yang membuat passport rosak kerana diconteng menjadi pengalaman yang cukup mencemaskan apabila dia terpaksa menangguhkan penerbangan ke luar negara dan mengeluarkan kos tambahan sebanyak RM620.
Baca juga: Kanak-Kanak 9 Tahun Dikurung Dalam Stor Sepanjang Cuti Sekolah, Diberi Makan Dua Kali Sehari Je!
PASSPORT ROSAK DICONTENG ANAK, IBU KONGSI DETIK CEMAS

Foto: Threads @empatdua.ebonylane
Menerusi perkongsian di Threads, kejadian itu berlaku ketika dia sedang sibuk membuat persiapan akhir dan mengemas bagasi untuk perjalanan ke luar negara pada malam tersebut.
Dalam kesibukan itu, dia langsung tidak menyedari anak lelakinya yang berusia tiga tahun telah mencapai pasport miliknya sebelum menconteng beberapa bahagian dokumen penting tersebut menggunakan pen dakwat biru.
Selepas melihat keadaan pasport itu, barulah dia menyedari apa yang telah berlaku.
Menurut wanita berkenaan, ketika itu perasaannya bercampur-baur antara terkejut, sedih dan panik memandangkan penerbangannya hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi.
“Hati nak nangis. Flight malam ni, tengah packing-packing, si kecik sibuk menconteng pasport. Tak perasan bila dia capai pasport ni,” tulisnya.
Harapan Berkecai Apabila Imigresen Sahkan Passport Rosak
Wanita tersebut segera mendapatkan bantuan pihak Jabatan Imigresen bagi mengetahui sama ada pasport yang diconteng itu masih boleh digunakan atau sebaliknya.
Pada mulanya dia hadir ke cawangan Imigresen di Kajang sebelum diarahkan ke Putrajaya untuk pemeriksaan lanjut oleh pegawai yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dilakukan, pegawai imigresen mengesahkan bahawa pasport tersebut telah dikategorikan sebagai rosak dan tidak lagi layak digunakan untuk urusan perjalanan antarabangsa.
Lebih menyulitkan keadaan, kejadian itu berlaku pada hari Sabtu menyebabkan proses penggantian pasport tidak dapat dilakukan serta-merta kerana pegawai penyiasat yang mengendalikan kes pasport rosak tidak bertugas pada hujung minggu.
Akibatnya, wanita tersebut terpaksa menunggu sehingga Isnin untuk menyelesaikan urusan berkaitan pasport sebelum dapat meneruskan perjalanannya.
Tidak Mahu Ambil Risiko, Terpaksa Tukar Tarikh Penerbangan
Walaupun sedih kerana terpaksa menangguhkan perjalanan yang telah dirancang, wanita itu memilih untuk tidak mengambil risiko menggunakan pasport yang telah diisytiharkan rosak oleh pihak imigresen.
Menurutnya, dia bimbang akan berdepan masalah yang lebih besar sekiranya dibenarkan keluar dari negara tetapi ditahan atau tidak dibenarkan masuk oleh pihak berkuasa di destinasi yang dituju.
“Saya tak nak ambil risiko. Kalau tak lepas di sana nanti lagi susah. Ramai yang cakap pasport memang dah rosak dan pihak imigresen sendiri sahkan perkara itu,” katanya.
Bagi mencari jalan penyelesaian terbaik, dia kemudian menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mendapatkan maklumat daripada syarikat penerbangan mengenai kemungkinan menukar tarikh penerbangan.
Nasib menyebelahinya apabila penerbangannya berjaya dijadualkan semula ke malam Isnin. Namun begitu, perubahan tersebut turut melibatkan kos tambahan sebanyak RM620 yang perlu ditanggung sendiri.
Walaupun terpaksa mengeluarkan wang tambahan, dia menganggap ia sebagai pilihan yang lebih selamat berbanding mengambil risiko berdepan masalah imigresen ketika berada di luar negara.
Pilih Untuk Reda Dan Percaya Ada Hikmah Di Sebalik Kejadian

Foto: Threads @empatdua.ebonylane
Meskipun berdepan pelbagai kesulitan dalam tempoh singkat, wanita tersebut memilih untuk menerima apa yang berlaku dengan hati yang terbuka.
Dia turut berkongsi bahawa sokongan dan nasihat yang diterima daripada orang ramai di Threads sedikit sebanyak membantu menenangkan perasaannya sepanjang menguruskan perkara tersebut.
Lebih menyentuh hati, wanita itu juga tidak memarahi anak kecilnya kerana memahami kanak-kanak seusia itu masih belum memahami kepentingan pasport serta kesan daripada perbuatan mereka.
Malah sehingga kini, anaknya masih kelihatan ceria dan berulang kali mengajak keluarganya ke lapangan terbang seperti yang telah dirancang sebelum ini.
“Si kecil itu masih tersenyum tanpa rasa bersalah dan masih menyebut ‘jom pergi airport’,” katanya.
Walaupun perjalanan ke luar negara itu terpaksa ditangguhkan beberapa hari, dia percaya setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.
Baca juga: Video Burung Merpati Masuk Wad Hospital & Patuk Makanan Pesakit Tular, HTAR Tampil Beri Penjelasan
Sumber: Threads @empatdua.ebonylane
FT Images: Threads @empatdua.ebonylane
