“Rupanya musim panas di negara kita boleh mengancam nyawa. Seram juga bila dapat tahu ada yang maut akibat fenomena ekuinoks di Malaysia baru-baru ini. Bagaimana cara paling berkesan untuk elak strok haba ya?”
Tahukah anda, di Malaysia ada kes kematian yang dikaitkan dengan strok haba atau ‘heat stroke’.
Sebenarnya, fenomena ekuinoks memang berlaku di negara kita sebanyak dua kali setahun, iaitu sepanjang bulan Mac dan September.
Pada kedua-dua bulan ini, negara dijangka mencatatkan suhu tertinggi sekitar jam 12 tengahari hingga 3 petang.
Apakah Gejala Strok Haba?
Strok haba akan menunjukkan beberapa gejala seperti keletihan berlebihan, sesak nafas diikuti dengan sakit perut, gelisah, degupan jantung yang cepat, pengsan dan mungkin muntah parah. Semua keadaan ini berlaku apabila suhu badan menjadi terlalu panas sehingga melebihi 40.5 Celcius, melampaui suhu normal iaitu 37 Celsius.
Apabila tubuh anda gagal mengatasi gejala-gejala tersebut, anda mungkin jatuh pengsan, mengalami sawan, kecelaruan, kerosakan serius pada otak dan organ dalaman, koma, dan ada yang boleh menyebabkan kematian.
Berikut adalah tanda-tanda awal strok haba yang perlu anda alert.
6 Perkara Perlu Dielak Sepanjang Cuaca Panas
Selain memperbanyakkan meminum air masak dan berteduh, jangan lakukan 6 perkara ini untuk mengelak daripada terkena serangan strok haba.
1. Meminum Terlalu Banyak Minuman Manis
Wah, siapa tak nak pekena teh ais atau ‘ice blended’ dalam musim panas dan matahari terik ni kan?
Berhati-hati dalam menikmati minuman berais seperti ini kerana biasanya minuman ini biasanya mengandungi gula yang sangat banyak. Kandungan gula berlebihan ini mungkin menyebabkan anda rasa bertenaga, tapi itu hanya sekejap saja. Lama-kelamaan badan akan menjadi lemah.
Gantikan jus buah-buahan yang dibeli dalam pek dengan jus organik, atau buat sendiri ‘smoothies’ dengan bahan berkhasiat seperti oat, sayur-sayuran dan buah-buahan yang akan memberi tenaga untuk jangka masa panjang. Sedap juga, kan?
Gula bukan sahaja membahayakan kesihatan, tetapi gula juga boleh memusnahkan vitamin dan mineral lain dalam badan kita seperti vitamin B dan kalsium.
2. Beraktiviti Di Atas Permukaan Panas Seperti Bitumen dan Simen
Elakkan strok haba dengan mengurangkan aktiviti di tengah-tengah panas terik, terutamanya di kawasan yang tidak berpokok dan permukaan lantai seperti bitumen dan simen.
Permukaan lantai seperti ini mampu mengumpul dan memantulkan haba dengan banyak.
Aktiviti seperti kawad kaki, perbarisan, dan perhimpunan seelok-eloknya diteruskan dalam dewan tertutup atau berbumbung untuk mengelakkan serangan strok haba.
3. Pakai Tudung Yang Terlalu Tebal
Bagi yang perempuan pula, janganlah terlalu berfesyen sehingga memakai tudung berlapis-lapis dan berbelit-belit.
Ianya bukan saja menyebabkan anda tidak selesa, tetapi mampu membahayakan kesihatan anda.
Jika terpaksa bertudung sepanjang hari, carilah bahan yang selesa seperti kapas. Pastikan anak tudung dilonggarkan dari semasa ke semasa. Ini penting kerana lebih daripada 40% daripada kehilangan haba berlaku di bahagian kepala.
4. Duduk Dalam Kereta Lama-lama
Ada yang lebih suka duduk sebentar dalam kereta kerana ‘air cond’ nya yang sejuk dan nyaman. Tetapi, tahukah anda perkara ini juga boleh membahayakan kesihatan?
Apabila enjin dipanaskan dan dibiarkan ‘idle’ tanpa pergerakan dalam jangka masa yang panjang, kebocoran gas karbon oksida daripada ekzos dipercayai boleh masuk ke dalam tempat duduk penumpang.
Secara tidak langsung, ia boleh menjejaskan kesihatan buat jangka masa panjang. Perkara ini akan menjadi lebih buruk sekiranya anda menutup rapat kesemua tingkap.
Jika terpaksa tidur sebentar, pastikan anda menurunkan sedikit tingkap supaya udara dari luar dapat mengalirkan gas di dalam kereta. Sebagai langkah keselamatan, pastikan tingkap tidak dibuka terlalu luas.
5. Membedung Bayi Berlapis-lapis
Macam-macam pantang larang bayi baru lahir. Ada yang percaya mereka perlu dibedung untuk mengelakkan bayi berjalan ‘kengkang’ apabila menginjak usia kelak.
Walau apa pun kebaikan membedung bayi yang anda bahaskan, lengkapkan diri anda dengan ilmu dalam melaksanakannya. Bayi adalah salah satu golongan yang berisiko tinggi terdedah kepada strok haba.
Pastikan bedung yang digunakan tidak terlalu tebal, dan jangan pula membedung bayi sehingga menjadikan bayi lemas dan tidak selesa.
Dalam cuaca panas sebegini, pastikan bayi dibedung longgar dan gunakan saja kain lampin atau kain kapas yang berlubang-lubang. Ianya murah, nipis, dan menyerap peluh.
6. Mengambil Ubat Penahan Sakit
Sekiranya anda mengalami ketidakselesaan, elakkan mengambil ubat-ubatan seperti paracetamol (contoh: Panadol) dan aspirin tanpa preskripsi doktor kerana ia tidak akan membantu mengurangi suhu tubuh yang tinggi.
Malah, jika anda tidak bernasib baik, ia mungkin pula menyebabkan komplikasi yang lebih buruk.
Jadi, dapatkan nasihat doktor sekiranya anda berasa tidak selesa dalam cuaca panas terik sebegini.
Awasi Anak-anak Dan Warga Emas
Golongan kanak-kanak, bayi, dan warga emas paling mudah terjejas dengan musim panas melampau. Oleh itu, kerapkan memeriksa suhu mereka, terutamanya apabila golongan ini menunjukkan rasa tidak selesa dari semasa ke semasa.
Selain itu, pesakit kencing manis dan golongan obesiti juga perlu berjaga-jaga dengan strok haba kerana mereka turut termasuk dalam kumpulan yang berisiko tinggi.
Paling penting, jangan lupa minum banyak air kosong ya!