Masalah Anak Gemuk
Gemuk. Macam teruk sangat bunyinya. Lebih-lebih lagi pada kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa. Ada yang anak susah makan, dan ada pula yang anak sangat suka makan! Marah-marah jika tidak cukup makan sehingga berat badan berlebihan dan mengundang kegemukan.
Baik, kita tukarkan gemuk pada obesiti. Nampak macam lebih sedap. Harap-harap tiada yang terasa dengan artikel ini.
Apa itu obesiti?
Secara asasnya, obesiti merupakan satu sindrom yang sedang melanda rakyat Malaysia pada masa kini. Terlalu ramai sangat orang yang gemuk. Ini maksud obesiti dari Kementerian Kesihatan.
- BMI = berat (kg) / tinggi² (m²)
- Berlebihan berat badan: BMI melebihi ‘percentile‘ ke 85
- Obesiti : BMI melebihi ‘percentile‘ ke 95
- Obesiti yang serius: BMI melebihi ‘percentile’ ke 99
Obesiti bukan hanya melibatkan orang dewasa tetapi ia juga berlaku dikalangan kanak-kanak. Keadaan ini semakin meruncing apabila banyak kedai-kedai makanan segera yang boleh didapati di Malaysia. Kemudahan akses kepada makanan segera juga menjadi penyumbang kepada kanak-kanak memilih makanan segera sebagai pilihan untuk di makan.
Kenapa anak gemuk?
Ada banyak faktor, antaranya ialah:
1. Faktor sekeliling
Faktor persekitaran ialah faktor penyebab utama untuk obesiti walaupun kita tahu faktor genetik juga memainkan peranan. Apabila ibu bapa gemuk, anak mempunyai risiko yang tinggi untuk menjadi gemuk kerana mengalami faktor persekitaran dan faktor genetik yang sama.
2. Faktor genetik
Faktor genetik tidak boleh diubah. Oleh itu, kita perlu menumpu perhatian kepada faktor persekitaran untuk mencegah obesiti.
Kurang daripada 1% kes berlebihan badan yang dirujuk ke hospital dikenalpasti berpunca daripada masalah hormon dan masalah genetik.
3. Faktor pemakanan
Walau apa pun penyebabnya, masalah obesiti berlaku apabila pengambilan kalori melebihi penggunaannya.
Peningkatan berat badan = pengambilan kalori > penggunaan kalori
Makanan yang meyebabkan anak gemuk
Selain itu, makanan segera seperti nugget, burger, kentang goreng dan lain-lain juga mudah untuk didapati di kantin sekolah. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak lebih terdedah kepada makanan yang mengandungi lemak tepu.
Oleh yang demikian, amat penting bagi ibu bapa untuk mendedahkan anak-anak mereka tentang kesihatan dan pemilihan makanan yang seimbang dari rumah lagi. Tidak terlambat untuk mengubah dan mendidik anak-anak dengan pola pemakan yang sihat dan seimbang. Gunakan tips di bawah untuk mengawal penularan obesiti dikalangan kanak-kanak. Sama-sama kita elakkan permasalahan anak gemuk dan obesiti.
Cara Mencegah Masalah Anak Gemuk
1) Sarapan pagi
Sebagai ibu bapa yang mementingkan kesihatan dan kecergasan anak-anak akan memastikan anak-anak mendapat sarapan yang sihat setiap hari.
Sarapan amat baik untuk anak-anak sebelum mereka memenuhi hari mereka dengan aktiviti yang padat di sekolah. Pengambilan sarapan pada waktu pagi juga akan mencegah anak-anak mengambil makanan tengah hari secara berlebihan.
2) Minum Air Kosong
Air kosong mampu untuk mengawal nafsu makan anak anda. Didik anak-anak minum sebelum makan. Keadaan ini akan membuatkan anak-anak kenyang dan dapat mengurangkan pengambilan makan. Berilah anak-anak anda minum air kosong 8 gelas sehari kerana air kosong mampu membakar lemak.
Gantikan air manis kepada air kosong untuk mengelakkan pengambilan gula yang berlebihan di dalam tubuh anak-anak. Tiada lagi kerisauan anak gemuk. Tiada gula, hanya air masak sahaja.
Belikan botol air yang besar untuk anak selitkan di tepi beg sekolah. Jangan lupa semak dan isi semula air setiap hari.
3) Sediakan Bekal Untuk Anak-anak
Oh, ini cabaran paling besar untuk ibu bekerja zaman sekarang. Selalunya, memang kelam-kabut setiap hari sehingga tidak sempat untuk buat apa-apa.
Sediakan bekal untuk anak-anak bawa ke sekolah.Walaupun di sekolah terdapat pilihan makanan yang boleh di makan oleh anak, tetapi dikhuatiri anak-anak lebih cenderung untuk memilih makanan yang tidak berkhasiat. Ia bakal membuatkan anak gemuk.
Kita bebas menyediakan makanan anak-anak mengikut diet yang sihat dan bersih. Melalui cara ini kita mampu untuk mengawal pemakanan anak serta dapat memberikan mereka makanan yang seimbang yang diperlukan oleh tubuh.
4) Jangan Simpan Makanan Manis Di Rumah
Kalau tidak mahu anak makan jajan, kita sebagai ibu-bapa, janganlah makan. Kepimpinan itu melalui teladan.
Kita sedia maklum bahawa anak-anak lebih menggermari makanan yang manis. Pengambilan makanan yang manis ini berisiko membuatkan anak-anak menghidap obesiti. Di sinilah peranan ibu bapa untuk menghadkan pengambilan makanan manis dengan tidak menyimpan stok di rumah untuk anak-anak jadikan kudapan.
Gantikan makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan,kekacang,kismis dan kurma sebagai kudapan anak-anak di rumah.
5) Senaman
Apa salahnya pada hujung minggu, buat aktiviti bersama anak-anak. Bawalah anak-anak anda bersenam di taman setiap hujung minggu dan hari kelapangan.
Terangkan kepada mereka kelebihan dan keperluan bersenam pada tubuh badan. Sedarkan mereka betapa pentingnya kesihatan tubuh badan yang baik dalam kehidupan. Ajarkanlah mereka senaman yang mudah dan menyeronokkan dan dalam masa yang sama mampu membakar kalori. Bila selalu bersenam, anak gemuk pun boleh jadi kurus!
6) Ajar Anak Tentang Makanan
Berilah ilmu tentang makanan kepada anak-anak anda. Mendidik anak itu bukan perkara yang mudah. Tidak perlu penerangan yang detail dan panjang, cukuplah menyatakan kepada mereka bahawa makanan yang seimbang baik untuk kesihatan tubuh badan. Dengan ini, masalah anak gemuk tidak akan berlaku.
Kekurangan ilmu tentang makanan akan menyebabkan mereka makan mengikut nafsu tanpa mengira akibat daripada pengambilan makanan yang berlebihan. Anak gemuk bukan sebab dia makan, tetapi anak gemuk kerana kecuaian ibu-bapa dalam mendidik mereka.
Didikan awal mampu mendedahkan mereka kepada keburukan makan mengikut hawa nafsu.
7) Makan 3-4 Kali Sehari
Senang cerita, untuk elak anak gemuk, makan sedikit, tetapi banyak kali. Beri anak-anak makan secara kerap tetapi dalam kuantiti yang kecil. Makan secara kerap baik untuk diamalkan bagi kanak-kanak yang mengalami masalah berat badan. Kaedah ini baik untuk mereka yang sentiasa lapar dan ingin mengunyah.
Untuk cegah anak gemuk, ibu dan bapa digalakkan untuk menemani anak-anak mereka semasa mereka makan untuk mengawal pengambilan makanan mereka. Ajarkan mereka untuk mengunyah makanan secara perlahan-perlahan sebelum di telan supaya ia mudah untuk dihadam dan membuatkan mereka kenyang walaupun mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil.
Apa Risiko Kalau Anak Gemuk?
Menurut Kementerian Kesihatan, anak gemuk atau kanak-kanak berlebihan berat terdedah kepada pelbagai risiko kesihatan;
1. Diabetes Mellitus jenis 2: Ini boleh berlaku pada kanak-kanak berusia seawal 8 tahun.
2. Tekanan darah tinggi – Tekanan darah bertambah berikutan peningkatan berat badan yang berlebihan. Tekanan darah tinggi yang berpanjangan membebankan jantung dan membawa kerosakan kepada jantung.
3. Masalah hati – Masalah hati berlemak (‘Fatty liver disease/ nonalcoholic steatohepatitis or NASH‘) sering berlaku di kalangan kanak-kanak obes dan boleh membawa kepada kegagalan fungsi hati (‘liver failure, cirrhosis‘).
4. Kekurangan oksigen semasa tidur disebabkan rongga pernafasan yang tersekat(‘Obstructive sleep apnea‘): Kanak-kanak yang mempunyai masalah ini mempunyai tidur yang tidak sempurna, dan sering mengalami gangguan pernafasan yang berulang-ulang sepanjang waktu tidur. Mereka juga sering berdengkur semasa tidur. Keadaan ini boleh menyebabkan kematian sekiranya tahap kekurangan oksigen semakin merosot.
5. Batu karang pada pundi hempedu (Gallstones) – Kanak-kanak yang obes mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah ini.
6. Kerosakan sendi – Ini berlaku kerana kanak-kanak obes terpaksa membawa berat yang berlebihan sepanjang masa. Kerosakan boleh berlaku pada sendi kaki.
7. Sindrom metabolik dan risiko penyakit jantung – Sindrom metabolik terjadi apabila pesakit obes juga mempunyai kombinasi masalah-masalah lain seperti kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, dan paras glukos tidak normal. Ini berlaku di kalangan 30-40% kanak-kanak obes dan mereka mempunyai risiko penyakit jantung yang jauh lebih tinggi apabila usia mereka meningkat.
8. Penyakit Jantung – ‘Atherosclerosis‘ (perubahan pada dinding pembuluh darah) ialah masalah yang lazim berlaku pada kanak-kanak obes. Ia boleh berlaku seawal zaman kanak-kanak atau remaja, terutama pada mereka yang mengalami sindrom metabolik.
9. Masalah haid – kanak-kanak perempuan yang obes sering mengalami akhil baligh lebih awal daripada yang biasa. Mereka juga mempunyai risiko fibroid pada rahim (‘uterine fibroid’) and masalah kitaran haid apabila dewasa.
10. Membesar menjadi orang dewasa yang gemuk – Kanak-kanak obes lazimnya membesar menjadi orang dewasa yang gemuk. Setengah daripada orang dewasa yang gemuk juga gemuk pada zaman kanak-kanak.
11. Kemurungan – Masalah obes sering dikaitkan dengan masalah kemurungan dan kurang keyakinan diri. Ini boleh menyebabkan masalah susah tidur, kurang aktif, makan berlebihan dan seterusnya menambahkan lagi berat badan pesakit obes.
Harapan kami
Setiap pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa bertanggungjawab untuk memberi didikan kepada anak-anak. Masalah anak gemuk perlu dielakkan. Didikan perlu merangkumi semua aspek yang diperlukan untuk pembesaran anak-anak. Dedahkan anak-anak dengan makanan yang sihat dan seimbang.
Berikan penerangan tentang makanan yang mereka ambil dari segi kebaikan dan keburukannya kepada tubuh badan. Pendedahan pemakanan yang seimbang dari awal pembesaran mereka akan mengelakkan mereka memilih makanan yang kurang memberi kebaikan kepada tubuh mereka. Jauhi mereka daripada makanan segera yang memberi keburukan kepada mereka.
Pemakanan sihat yang mereka amalkan di rumah juga akan diamalkan oleh anak-anak sebagai panduan mereka dalam memilih makanan di luar.