Aktiviti Hujung Minggu
Bosan duduk seharian di rumah pada hujung minggu? Anak-anak juga bising kerana tiada apa yang boleh dilakukan? . Sambil boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan, anak-anak juga akan rasa disayangi kerana ibu-bapa mengambil berat akan hal mereka. Kesibukan dan kesuntukan masa kerana seharian bekerja dari Isnin hingga Khamis tentunya meminta badan ‘direhatkan’ seketika. Lebih-lebih lagi jika tinggal di negeri maju seperti Selangor dan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Petaling Jaya, Shah Alam, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Namun, tatkala anda ingin ‘berehat’, anak inginkan perhatian. Ada yang mahu beriadah bersama. Ada yang ajak berkelah. Ada yang suakan buku untuk kita baca padanya. Anak umur 1, 2 dan 3 yang tidak tahu apa-apa juga mahukan perhatian dari ibu-bapa mereka. Suami pula perlu beri perhatian pada isteri.
Jom kita senaraikan apa aktiviti yang boleh dilakukan di rumah bersama anak-anak tanpa mengeluarkan sesen pun dari poket anda. Banyak faedahnya!
1. Mengemas tempat atau bilik tidur
Bersihkan “sarang” anda. Hindarkan dari segala kotoran sama ada dibantal, cadar atau apa sahaja yang berkaitan tempat tidur. Kajian menunjukkan tidur lebih selesa, nyenyak dan berkualiti sekiranya bilik anda lebih kemas dan bersih.
Lapkan tingkap, sapu lantai atau menyedut habuk dan debu menggunakan penyedut hampagas. Ajar anak lakukan perkara yang sama. Percayalah, mereka akan terlebih ‘excited’ bila diberikan kebenaran untuk bermain dengan ‘vacuum cleaner’.
2. Mengemas dapur rumah
Pastikan dapur anda bersih dan jauh dari sebarang serangga terutamanya semut! Semut akan mengundang lebih banyak lagi kehidupan lain seperti cicak yang akan mengotorkan lagi persekitaran rumah. Ingat, najis cicak tidak akan terhad di dapur sahaja!.
Anak-anak pantang jika diberikan peluang mencuci pinggan. Lagaknya bagai orang dewasa. Riak muka mereka pasti menggeletek hati kita.
3. Cuci kenderaan anda
Bak kata pepatah, “Sambil menyelam, minum air”. Mencuci kenderaan sama ada kereta, motorsikal mahupun basikal kesayangan mampu mengisi kekosongan aktiviti dirumah. Anak-anak akan mengambil kesempatan untuk bermain air di hadapan rumah. Dengan adanya “portable swimming pool” yang mampu milik dari Tesco atau Giant, anak-anak pasti tidak mahu keluar.
Percayalah, mencuci sendiri kenderaan anda lebih baik dari menghantar ke pusat cuci kenderaan. Mencuci sendiri adalah lebih bersih, kerana dilakukan dengan penuh “kasih sayang”! Badan juga semakin sihat kerana aktiviti fizikal dilakukan dengan sepenuh hati.
4. Berkebun
Jika tinggal di apartment atau rumah pangsa, sukar untuk merealisasikan aktiviti berkebun. Namun itu bukan alasan. Bukankah boleh tanam di dalam pasu? Sekiranya anda tinggal di kawasan apartment anda boleh berkebun dengan menggunakan pasu- pasu kecil atau pun teknik hidroponik.
Sekiranya anda mempunyai tanah di halaman rumah yang tidak digunakan, maka gunakanlah ia sebagai salah satu aktiviti anda. Gemburkan tanah, kemudian tanamlah pokok yang anda suka. Persekitaran rumah akan lebih sejuk dan redup sekiranya banyak pokok yang ditanam dan diselenggara dengan baik. Asalkan bukan lalang!
Aksi anak yang bermain dengan tanah tentu membuat hati kita tenang. Biar baju kotor asalkan kita melihat mereka gembira.
5. Tonton TV bersama-sama
Tinggalkan komputer riba atau ‘laptop’. Jauhi iPad dan iPhone atau apa-apa gajet. Nikmatilah aktiviti dirumah anda sepenuh hati. Rasai nikmatnya duduk di rumah berbanding pusat membeli belah. Luangkan masa berkualiti bersama anak-anak. Ajak semua anak-anak duduk bersama di sofa di hadapan TV. Baring bersama-sama mereka, peluk dan cium mereka. Pilih saluran kegemaran dan ketawa bersama-sama. Jika mempunyai langganan Astro, tengok sama-sama rancangan kartun kegemaran anak. Ingat, jangan biarkan anak tonton TV secara bersendirian.
Jika sebelum ini, asyik sibuk dengan kerja, sibuk dengan aktiviti luar seperti konvoi, majlis-majlis amal dan sebagainya, sesekali cuba latih diri anda untuk menikmati masa berkeluarga. Ini akan membuatkan anda lebih berfikir untuk kebaikan dan pembangunan diri sendiri untuk anda!
Kesimpulannya, terlalu banyak perkara yang boleh anda lakukan dirumah. Cuma cara kita menikmati kehidupan seharian mempengaruhi pemikiran kita. Oleh itu, lakukanlah apa-apa aktiviti fizikal dirumah sudah cukup untuk menyihatkan tubuh badan!