Seorang murid lelaki Tingkatan Dua mencuri perhatian selepas berani menegur gurunya mengenai soal menutup aurat menerusi sepucuk surat yang diserahkan secara senyap-senyap.
Kisah itu dikongsikan guru berkenaan menerusi akaun TikToknya, syamiminorshah_, yang memaklumkan murid tersebut datang dalam keadaan kelihatan gelisah sambil menoleh ke kiri dan kanan sebelum menyerahkan surat.
Baca juga: Viral ‘Baby MAHA 2026’, Si Kecil Diberi Nama Ahmad Madani Terima Kunjungan Istimewa Mat Sabu!
GURU TERIMA SURAT, MURID MINTA MENUTUP AURAT

Pada awalnya, guru berkenaan menyangka murid itu mahu memaklumkan mengenai sesuatu masalah. Namun, dia kemudiannya mendapati surat tersebut sebenarnya mengandungi teguran secara baik mengenai pemakaian sarung tangan panjang atau handsock ketika mengajar.
Menurut guru itu, murid berkenaan sememangnya dikenali sebagai seorang yang baik dan sering menawarkan bantuan kepadanya.
“Seorang murid lelaki Tingkatan Dua datang secara senyap-senyap memberikan surat. Kelihatan gelisah sambil menoleh ke kiri dan kanan. Saya ingatkan dia hendak memberitahu ada masalah, rupanya dia datang untuk memberikan teguran.
“Budak ini bagus, selalu menawarkan diri untuk membantu guru dan sangat baik. Saya terima nasihat awak dengan hati yang terbuka dan saya anggap ini juga sebagai teguran kecil daripada Allah untuk hambanya.
“Kadang-kadang kita menganggap perkara itu ringan dan kita malas, kadang-kadang pakai dan kadang-kadang tidak. Namun, Allah masih sayang dan mahu menjaga kita.
“Semoga awak membesar menjadi lelaki yang baik dan soleh,” katanya.
Isi surat tegur isu aurat cikgu

Dalam surat berkenaan, murid yang memperkenalkan dirinya sebagai Asim terlebih dahulu memohon maaf sekiranya tegurannya mengganggu waktu guru tersebut.
Dia kemudian menyampaikan teguran supaya gurunya dapat mengamalkan pemakaian handsock ketika mengajar, selepas menyedari bahagian lengan gurunya sedikit terdedah ketika berada di hadapan pelajar lelaki.
“Cikgu, minta maaf kalau mengganggu masa cikgu. Saya hendak tegur cikgu. Walaupun saya ini tidak seberapa, saya hendak memberitahu yang cikgu selepas ini bolehkah amalkan pakai handsock sebab waktu cikgu mengajar saya, saya perasan yang lengan cikgu terdedah dekat pelajar lelaki sedikit sahaja.
“Saya tegur kerana menutup aurat itu wajib dan saya sayang cikgu. Jangan beritahu sesiapa, ya. Saya tegur pakai cara ini sebab saya malu,” tulisnya.
Perkongsian tersebut turut mengundang perhatian warganet yang tersentuh dengan keberanian murid berkenaan menyampaikan teguran secara sopan dan penuh rasa hormat terhadap gurunya.
Baca juga: Ada Ketumbuhan, Cyst Atau Fibroid? Ustaz Kongsi Doa Untuk Diamalkan! Insya-Allah Mujarab…
Sumber: Threads Syamiminorshah
