Terperangkap selama 24 jam di dalam rumah bersama dua anak dan isteri sarat mengandung antara pengalaman tidak akan dilupakan oleh salah seorang mangsa banjir, Dzul Nizman Nadzrin sepanjang hidupnya. Bukan itu sahaja, isterinya yang sedang hamil juga dijangka akan melahirkan bayi dalam masa yang terdekat!
Baca juga: Jangan Start Enjin Dahulu, Ini Cara Claim Insurans Kereta Kena Banjir
MUNGKIN ADA HIKMAH ANAK KETIGA DIJANGKA LAHIR SELEPAS 24 JAM TERPERANGKAP
Dzul Nizman, 33, tidak fikirkan dirinya ketika itu, tetapi lebih bimbangkan keselamatan dua anak , Dayana Safiya, 6, dan Habib Mehmet Sufi, 4, serta isteri, Nurazura Ramli, 34, bersama bayi dalam kandungannya.
Bagaimanapun, Dzul Nizman sekeluarga bernasib baik apabila mendapat bantuan daripada individu yang datang menaiki bot bagi menyelamatkan mereka.
Berkongsi pengalaman kali pertamanya itu menerusi Harian Metro, Dzul Nizman yang menjual makanan barat secara dalam talian tidak menyangka rumahnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini akan dinaiki air, Sabtu lalu, kerana tiada kejadian banjir melanda sejak dua tahun dia menetap di situ.
“Petang hari kejadian, saya, isteri dan anak ada di rumah tamu serta tidak ke mana-mana kerana cuaca hujan.Hujan tidak berhenti sejak Jumaat lagi dan saya dapat tahu ada rumah jiran dalam kawasan perumahan sudah dinaiki air.”
“Saya tidak fikir buruk kerana rumah kami belum pernah banjir sebelum ini, namun pada 5 petang kelmarin, air tiba-tiba naik. Terkejut juga namun saya tidak berlengah dan terus ajak isteri serta anak naik ke tingkat dua untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Dzul Nizman berkata, dia sempat turun ke tingkat satu semula untuk mematikan suis elektrik, menyelamatkan beberapa perkakas rumah dan mengambil makanan sempat dicapai.
Bagaimanapun, dia tidak dapat menyelamatkan semua perkakas rumah kerana perlu mengangkat sendiri dan enggan membebankan isteri yang sedang sarat mengandung.
“Saya cuba bertenang kerana enggan buat isteri panik, tetapi dia menangis dan jadi lebih takut apabila dengar bunyi peti ais dan perkakas rumah lain jatuh.
“Anak-anak pula tidak faham kerana masih kecil, jadi apa yang mereka tahu hanya bermain malah menyangka air di tingkat bawah adalah kolam renang.
“Keadaan terkawal cuma detik paling menakutkan adalah sewaktu bekalan elektrik rumah kami dan kawasan perumahan terputus.
“Setiap setengah jam, saya turun ke bawah untuk melihat paras air. Saya sempat lelapkan mata sejam saja sebelum isteri kejut untuk solat Subuh dan ketika itu, tiga anak tangga lagi air sampai ke tingkat dua iaitu tempat kami berlindung,” katanya.
HADKAN PENGGUNAKAN TELEFON UNTUK JIMATKAN BATERI
Dzul Nizman berkata, dia cuba sedaya upaya mengehadkan penggunaan telefon bimbit kerana mahu menjimatkan bateri, tetapi ada memuat naik status gambar di WhatsApp dan Facebook (FB) untuk pengetahuan keluarga serta rakan terdekat.
Katanya, perkongsian itu pun setakat gambar keadaan di dalam dan luar rumah.
“Ada rakan yang mahu datang hantar bantuan tetapi saya beritahu supaya tidak berbuat demikian kerana bimbang terjadi apa-apa kepada mereka ketika dalam perjalanan.
“Pada waktu sama, saya cuba hubungi pihak berwajib dan tidak berjaya mendapatkan bantuan namun saya tidak salahkan mereka kerana faham ramai mangsa terjejas.
“Selepas seharian menunggu, datang sukarelawan daripada Persatuan Kanu Malaysia dan pasukan Ebit Lew dengan menaiki bot bagi menyelamatkan kami pada 5 petang semalam,” katanya.
Dzul Nizman mengakui rasa bersalah ketika sukarelawan terbabit datang untuk menyelamatkan keluarganya kerana ada ramai lagi jirannya yang masih terperangkap serta terputus bekalan makanan.
Menurutnya, proses menyelamatkan mereka berjalan lancar dan isteri dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang manakala dia selamat sampai di rumah ibunya pada 11 malam tadi.
“Biarpun pengalaman dilalui ini cukup mendebarkan, saya yakin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.
“Siapa nak jadi begini namun saya yakin Allah akan gantikan dengan rezeki lebih baik, mungkin daripada anak ketiga saya yang dijangka lahir esok,” katanya.
Sumber: Harian Metro