Famili

Media Prima Kekalkan Momentum Pendapatan, Catat Keuntungan RM20.8 Juta Separuh Tahun Pertama 2022

15
SHARES

Kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia, mengumumkan keputusan kewangannya untuk enam bulan berakhir 30 Jun 2022 (1HFY22) dengan peningkatan 24% iaitu RM20.8 juta Keuntungan Selepas Cukai (PAT), daripada RM16.8 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

PAT bagi tiga bulan berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22) pula meningkat sebanyak 23% kepada RM15.6 juta daripada RM12.7 juta pada suku perbandingan (2QFY21).

Baca juga: Johan & Fizi Ali Sah Jadi Penyampai Baru Radio Hot FM, Tagline Pun Baharu!

HASIL IKLAN & JUALAN KANDUNGAN JADI PENYUMBANG UTAMA

Gambar: Bangunan Sri Pentas. – Mahzir Mat Isa

Hasil pengiklanan dan jualan kandungan Media Prima terus menjadi penyumbang utama kepada prestasi kewangan keseluruhan, dengan peningkatan bagi semua perniagaan kumpulan.

Peningkatan hasil pengiklanan sebanyak 9% kepada RM370.5 juta pada 1HFY22, daripada RM341.1 juta pada 1HFY21 ini dipacu oleh cabang penyelesaian media Kumpulan, Media Prima Omnia.

Pengiklanan Kumpulan diterajui oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen penyiaran yang diwakili oleh Rangkaian Televisyen Media Prima dan Media Prima Audio telah mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 15% kepada RM243.8 juta pada 1HFY22 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Hasil daripada perniagaan digital Media Prima, REV Media Group, meningkat 15% kepada RM47.9 juta. Perniagaan pengiklanan luar rumah Media Prima, Big Tree, mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 13% kepada RM56.0 juta, mencerminkan pulangan secara beransur dalam permintaan untuk pengiklanan luar rumah.

Hasil jualan kandungan meningkat 39% dalam tempoh semasa berikutan peningkatan permintaan bagi kandungan tempatan daripada penyedia perkhidmatan penstriman sedia ada dan baharu.

MEDIA PRIMA MENJADI PENERAJU DALAM INDUSTRI MEDIA DAN HIBURAN

Gambar: Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, Pengurusi Kumpulan Media Prima Berhad.

Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, Pengerusi Kumpulan Media Prima, berkata walaupun berhadapan dengan cabaran ekonomi namun Kumpulan Media Prima masih mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan dalam pengiklanan merentasi perniagaan kumpulan itu.

“Kami berbesar hati untuk mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan dalam pengiklanan merentasi perniagaan kami pada 1HFY22 walaupun menghadapi cabaran ekonomi.

“Ini bukan sahaja menunjukkan pemulihan dalam perbelanjaan pengiklanan, ia juga mengesahkan bahawa Media Prima telah menjadi peneraju dalam industri media dan hiburan.

“Saluran televisyen kami kekal paling banyak ditonton di negara ini manakala jenama kami adalah sumber utama untuk kandungan berita dan hiburan di kalangan rakyat Malaysia. Melangkah ke hadapan, kami akan terus memperkukuh kelebihan daya saing ini.”

KEUPAYAAN KUMPULAN MANFAATKAN KEKUATANNYA SEPANJANG 6 BULAN

Gambar: Rafiq Razali, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima.

Rafiq Razali, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, pula berkata prestasi sepanjang enam bulan telah menunjukkan keupayaan Kumpulan dalam memanfaatkan kekuatannya.

“Prestasi kami sepanjang enam bulan menunjukkan keupayaan kami untuk memanfaatkan kekuatan Kumpulan. Kami berbesar hati dengan sokongan yang berterusan dari pelanggan kami dan Kumpulan akan terus memperkukuh aliran pendapatan pengiklanan dan penciptaan kandungan kerana ini adalah pemacu strategik utama kami.

“Kami berharap dapat memberi lebih nilai kepada pelanggan kami serta menyampaikan kandungan berkualiti tinggi untuk semua rakyat Malaysia.

“Dengan ini, ditambah dengan pembaikan proses berterusan dan peningkatan kecekapan operasi akan menguatkan lagi kedudukan Kumpulan daripada sebarang halangan pasaran bagi memasuki separuh kedua tahun kewangan.”

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×