0-6 Bulan

Macam Panau, Tapi Bukan. Ini 5 Perkara Tentang Tompokan Putih Pada Muka Anak

652
SHARES
panau pada bayi

“Ish, kenapalah ada tompok-tompok putih dekat muka di Zara ni. Hari tu rasanya ada ruam merah sikit je. Bila dah elok, jadi kesan tompok putih pulak. Takkan panau kot?”

Pityriasis alba adalah sejenis kondisi pada kulit yang kerap berlaku pada bayi dan kanak-kanak hingga ke usia remaja, terutamanya sekitar 3 hingga 16 tahun.

Pityriasis alba sering disalah anggap sebagai panau kerana ia mempunyai ciri yang agak serupa. Ia biasa didapati terutamanya pada bahagian muka bayi dan kanak-kanak, dan kadang-kadang turut terdapat pada leher, dada dan lengan.

5 Perkara Tentang Tompokan Putih ‘Pityriasis Alba’ Pada Muka Bayi & Kanak-kanak

1. Tanda

Menurut Healthline.com, bayi atau kanak-kanak yang mengalami pityriasis alba biasanya akan mengalami ruam atau kulit yang sedikit kemerahan yang berbentuk bulat atau bujur pada kulit, terutamanya pada bahagian muka.

Kesan kemerahan ini biasanya akan hilang selepas disapukan krim pelembap atau sembuh dengan sendirinya. Namun, ia lazimnya meninggalkan tanda berwarna pucat atau keputihan selepas ruam tersebut pudar.

panau pada bayi

Foto Kredit: clinicaladvisor.com

2. Punca

Berbeza dengan panau (tinea versicolor) yang disebabkan oleh jangkitan kulat, punca berlakunya pityriasis alba masih tidak dapat dikenal pasti secara tepat.

Walaubagaimanapun, ia selalunya dikaitkan dengan sejenis kondisi atopic dermatitis yang ringan, dan tergolong dalam kategori eczema.

Menurut sebuah artikel VeryWell Health, ia juga mungkin berpunca daripada penggunaan ubat jenis topical corticosteroid yang digunakan untuk merawat eczema, di mana ruam yang sembuh menyebabkan warna kulit kelihatan cerah.

Di samping itu, gangguan genetik juga dipercayai boleh menjadi punca hipopigmentasi (kehilangan warna kulit) disebabkan kurangnya aktiviti oleh melanosit, iaitu sel yang menghasilkan pigmen melanin.

Foto Kredit: activemomsnetwork.com

3. Apa Bezanya Dengan Panau, Kurap & Sopak?

Tompokan putih Pityriaris alba nampak serupa dengan panau (tinea versicolor) atau kurap (tinea corporis). Untuk mengesahkannya, terdapat beberapa cara untuk mengetahuinya seperti pemeriksaan menggunakan lampu UV (ultraviolet) atau pemeriksaan di bawah mikroskop. Sebarang kehadiran kulat akan kelihatan jelas dan boleh disahkan selepas pemeriksaan.

Panau (tinea versicolor) / Foto Kredit: healthline.com

 

Ringworm / kurap (tinea corporis). / Foto Kredit: pulse.ng

Selain itu, sopak (vitiligo) juga mungkin boleh dikelirukan dengan pityriasis alba. Ciri sopak ini berbeza pada tompokan tersebut, di mana ia memiliki garisan luaran yang lebih jelas kontrasnya.

Berbeza dengan pityriasis alba, sopak boleh menjadi lebih besar dan selalunya muncul di bahagian tubuh yang terdedah pada matahari. Sopak juga boleh terdapat pada ketiak, mata, pangkal paha serta bahagian sulit.

panau pada bayi

Sopak (vitiligo) / Foto Kredit: mayoclinic.org

4. Adakah Ia Boleh Berjangkit?

Tidak. Pityriasis alba bukanlah sejenis penyakit berjangkit.

5. Rawatan

Rawatan bagi pityriasis alba biasanya melibatkan penggunaan krim pelembap untuk mengurangkan kesan mengelupas atau kulit yang kasar atau kegatalan. Pengamalan kebersihan yang baik juga mampu mengurangkan kerengsaan pada kulit.

Walaubagaimanapun, ibu bapa tak perlu risau kerana dalam kebanyakan kes, pityriasis alba akan sembuh dengan sendirinya tanpa sebarang rawatan. Tompokan ini boleh berulang dalam tempoh usia kanak-kanak, namun ia biasanya akan hilang apabila mencapai usia dewasa, seperti juga eczema.

 

Rujukan: HealthLine.com, VeryWell.com, SkinSight.com

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×