Kecederaan kulit melecur akibat terkena gam gajah yang dihadapi oleh seorang murid sekolah rendah baru-baru ini, telah membuatkan ibu mangsa berkongsi kisah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku di sekolah, di mana rakan anaknya meletakkan gam gajah di atas meja kelas. Menurut si ibu, Husna Adnan, kemudian lengan anaknya tidak sengaja terkena gam tersebut yang turut dikenali sebagai Super Glue.
KULIT MELECUR TERKENA SUPER GLUE
“Benda nak jadi. Dalam ramai-ramai murid, Afia yang terkena gam Super Glue yang kawannya letak di atas meja. Pelakunya pula bernasib baik, mungkin dia pun tak tahu gam ini berbahaya.
“Kecederaan Afia disahkan sebagai ‘1st degree burn / superficial burn’. Perlu makan antibiotik dan datang semula ke klinik esok untuk cuci luka. Dapat MC dua hari. Mujur dah selesai UASA.
“Habis “terbakar” lengan baju, baju, tudung, dan hand socks yang Afia pakai. Kebetulan hari ini dia pakai handsocks sebab lengan baju pengakap sedikit senteng. Kalau tak, pasti melecur lebih teruk.
“Kalau anak tuan puan ada gam Super Glue seperti gambar, elak bawa ke sekolah tanpa keperluan. Beritahu yang gam sebegini bahaya jika terkena terus pada kulit. Jangan dibuat main. It could be worse,” tulis Husna di hantarannya itu.
Husna turut memaklumkan bahawa ibu pelajar terbabit telah memohon maaf dan bersetuju untuk menanggung semua kos rawatan termasuk bil klinik serta ganti rugi pakaian yang rosak.
Afia menjerit dan terus menangis sebab terlalu sakit macam kena bakar
Meninjau di ruang komen, Husna turut berkongsi pengalaman anaknya yang menderita semasa di dalam proses rawatan.
“Anak saya ini memula saya sangka dia tenang sahaja, balik dari klinik baru dia cerita dia menjerit dan terus menangis sebab terlalu sakit. Macam kena bakar.
“Dia cuba urus sendiri tapi dah sakit sangat baru dia bangun beritahu cikgu. Kebetulan pula bilik sakit tutup, cikgu telefon minta ambil bawa jumpa doktor sebab nampak teruk. Baju dia semua rosak dah,” ujarnya dalam balasan di salah satu komen.
Baca juga: ‘Bayi Ajaib’ Disangka Gugur! Namun, Raja Tuah Mohsin Selamat Lahir Daripada Ibu Miliki 2 Rahim
Warga maya beri amaran bahawa gam tersebut bahaya!
Sementara itu, kisah tersebut telah mendapat perhatian serius daripada warga maya. Hal ini kerana, kebanyakan daripada mereka pernah berada di dalam situasi yang mencemaskan itu.
“Saya guna gam ini pada kayu dan engsel pintu. Nak guna pun saya pakai sarung tangan. YA RABBI, kesiannya…
“Saya tahu super glue ini bahaya bila dah terkena pada tangan sendiri, mungkin pelajar-pelajar sekolah tak tahu bahayanya gam ini sebab tak ada pendedahan. Mungkin mereka ingat ini sekadar gam biasa yang kuat sahaja.
“Anak saya menggelupur sakan masa kena. Dicapainya sendiri gam 3 saat yang disimpan ayahnya atas almari. Masa dia cuba buka penutup gam yang agak ketat tu, gam tu tertumpah atas sebahagian muka, leher dan lengannya…terjerit-jerit menggelupur masa itu. Allahu, memang ngeri kejadiannya.
“Gam ini sangat tak sesuai digunakan untuk anak-anak sekolah. Dulu kami di universiti memang guna untuk model making, ada satu kawan terpecik gam ini masuk mata. Terus bawak klinik. Doktor kena tembak guna air nak bagi mata dia terbuka. Lama juga, sekarang kawan itu dah jadi pensyarah dah.
“Patutlah dalam senarai barang nak bawa untuk seni baru-baru ini cikgu anak ada tulis — gam (jangan bawa gam gajah atau gam kuat yang lain sebab bahaya). Bagus cikgu itu ingatkan.
“Allahu, memang bahaya sangat gam ini. Jangan leka, terkena anggota badan memang melekat teruslah,” antara komen yang ditinggalkan pelayar internet.
Justeru itu, disebabkan gam ini mampu mendatangkan risiko bahaya, adalah lebih baik sekiranya kanak-kanak berada di bawah pengawasan orang dewasa ketika mengendalikannya.
Baca juga: 5 Cara Kreatif Tarik Minat Anak ‘Bercinta’ Dengan Matematik, Tak Ada Dah Garu Kepala Lepas Ini!
Sumber: Husna Adnan
FT Image: Husna Adnan / Google