Bersempena kempen Masam Masam Manis dari Sirap Limau, penulis ingin kongsikan satu kisah cinta antara dua pasangan yang bertemu jodoh menerusi aplikasi TillJannah.
Basri dan Rodiah pada mulanya hampir putus asa menggunakan aplikasi tersebut kerana kebanyakannya senyap selepas menerima nombor telefon. Ikuti kisah penuh di bawah ini.
Baca juga: 7 Nasihat Pernikahan Dari Ustaz Abdul Somad, Lahirkan Rumah Tangga Penuh Masam Masam Manis!
KISAH CINTA MEMBAWA KE PERKAHWINAN, HANYA KENAL SEBULAN
Saya dan pasangan hampir berputus asa dan tidak percaya dengan aplikasi cari jodoh. Ramai juga calon yang dihubungi tetapi kebanyakannya senyap selepas memberikan nombor telefon masing-masing.
Kira-kira dua hari sebelum akaun saya dan pasangan tamat iaitu pada 23 November 2020, mesej saya dibalas melalui nombor yang diberikan di ruangan mesej TillJannah.
Pasangan juga pada mulanya agak ragu memandangkan saya tinggal jauh di Sabah. Kami kemudia berbalas chat melalui aplikasi Whatsapp dan perkenalan singkat lebih kurang seminggu membibitkan bunga-bunga cinta kami.
Akhirnya, kami dilamun cinta selepas rasa selesa dengan diri masing-masing. Pasangan saya (kini isteri) tidak pernah timbul sebarang kecurigaan terhadap saya.
Segala tentang kekecewaan hidup ternyata kami mempunyai banyak persamaan. Kami tidak nafikan, hubungan ini satu rahmat yang mengubat kekecewaan sebelum ini.
Selepas sebulan menjalin hubungan secara atas talian, saya mengambil keputusan untuk meminangnya. Walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19, saya tetap nekad untuk menjadikannya pasangan hidup.
Pasangan saya pula tidak berani memberitahu keluarga tentang keputusan saya selagi tidak bersemuka. Saya pula menghadapi masalah untuk menghantar wakil memandangkan perbelanjaan yang agak mahal.
Semuanya serba tidak kena, tetapi kerana nekad, saya berjaya menyiapkan surat kelulusan nikah di Sandakan walaupun terpaksa memandu 10 jam pergi balik dari Sandakan ke Kota Kinabalu.
25 Disember 2020 saya menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 dan terpaksa bermalam di rumah sepupu di Bangi.
Keesokan harinya, saya nekad untuk bersemuka di bandar Temerloh. Pertemuan pertama sangat mendebarkan sehinggakan pasangan lupa tempat parking kereta.
Petang itu juga saya melawat keluarganya di Kg. Dala, Lanchang, setengah jam perjalanan dari bandar Temerloh. Perjalanan dari Sandakan ke Temerloh sejauh hampir 5000km langsung dilupakan. Inilah yang dikatakan jodoh dan menjadikan perjalanan satu memori terindah dalam hidup saya.
Jika kami berdua ditanya, bagaimana kami bertemu dan mengambil keputusan untuk bernikah, kami sendiri merasakan seperti mimpi.
Kami juga tidak menyangka perkenalan singkat selama sebulan 8 hari ini berjaya membawa ke jinjang pelamin. Saya menganggap isteri saya sebagai ‘rahmat yang tersembunyi di kejauhan’ dan pasangan menganggap saya sebagai ‘lelaki kiriman Tuhan’.
Pada 31 Disember 2020, kami diijabkabulkan dan bermulalah kehidupan sebagai suami isteri.
Semoga jodoh Basri dan Rodiah berkekalan hingga ke jannah. Amin…
Baca juga: Sirap Limau Lancar Kempen ‘Masam Masam Manis’ & Menangi Hadiah Mingguan Melalui Cabaran Foto!
Sumber: TillJannah