“Suka betul anak aku ni makan pisang. Elok ke makan pisang selalu? Betul ke orang kata pisang ni boleh buat sembelit?”
Pisang adalah antara buah yang paling mudah didapati di negara kita Malaysia. Ia juga sangat murah dan sedap.
Rasanya yang lemak manis menjadikan pisang antara buah-buahan yang amat digemari bayi, anak kecil mahupun orang dewasa.
Tapi ada yang takut nak bagi anak makan pisang sebab katanya ia boleh buat sembelit. Betul ke?
Jom ketahui khasiat pisang beserta beberapa fakta penting tentangnya di bawah ini.
7 Khasiat Pisang Untuk Anak & Faktanya
1. Sumber Tenaga Yang Baik
Bergantung tingkat kematangan, pisang mengandungi komponen pektin dapat mengurangi nafsu makan dan membantu anak-anak berasa kenyang.
Kandungan mineral dan karbohidratnya yang mudah dicerna menjadikannya sumber tenaga yang sangat baik untuk terutamanya sebagai snek bagi kanak-kanak yang aktif dan cergas.
Pisang dapat membantu meredakan kram otot yang disebabkan oleh olahraga. Maka tak hairanlah pisang menjadi pilihan makanan utama bagi atlet!
2. Sumber Kalium
Pisang sebenarnya kaya dengan pelbagai nutrien penting.
Antaranya kalium, iaitu mineral yang membantu mengawal tekanan darah dan mengelakkan kerapuhan tulang.
3. Melancarkan Pencernaan
Berbeza dengan apa yang ramai percaya, pisang sebenarnya bukanlah penyebab sembelit. Sebaliknya, ia boleh menjadi sumber serat yang membantu melawaskan pencernaan.
Untuk pengetahuan Mama, bagi setiap 120gm pisang, terdapat lebih kurang 3gm serat.
Keperluan serat bagi anak-anak berumur 3-5 tahun adalah 8-10 gram sehari. Jadi dengan mengambil 2-3 biji pisang setiap hari sudah memadai.
4. Mengandungi Antioksidan & Pelbagai Vitamin
Pisang juga mengandungi banyak antioksidan yang bermanfaat bagi tubuh.
Antioksidan yang terkandung dalam pisang ini dapat membantu mengurangkan kerosakan dari radikal bebas dan menjadi risiko penyakit.
Selain itu vitaminnya pun banyak, seperti vitamin B6 dan vitamin C selain magnesium, tembaga, mangan, karbohidrat, protein dan sedikit lemak.
5. Meningkatkan Kesihatan Jantung
Semua mineral penting terutamanya kalium dan magnesium yang terkandung dalam buah pisang juga dapat membantu meningkatkan kadar kesihatan jantung.
6. Mencegah Asthma
Tahukah ibu, menurut kajian yang dijalankan oleh Imperial College of London, pakar menemui bahawa anak-anak yang makan pisang setiap hari berkurang risikonya untuk terkena asthma hingga 34%.
7. Menghindarkan Stres
Sekarang ni makin banyak orang kemurungan akibat stres. Jangan ingat budak-budak tak stres juga.
Ada banyak faktor persekitaran zaman ini yang boleh memicu stres sekalipun di kalangan kanak-kanak.
Untuk pengetahuan anda, pisang mengandungi triptofan dan asid amino yang berperanan menjaga memori dan meningkatkan mood seseorang.
Wah, hebat kan?
Pilih Pisang Yang Masak Untuk Mengelakkan Sembelit
Seeloknya Mama pilihlah pisang yang masak ranum terutamanya apabila nak diberikan pada anak kecil.
Menurut Dr Sakinah Sulong, pisang yang tak masak mengandungi tannin dan amylase-resistant starch menyebabkan ia sukar dicernakan, lalu boleh menjadi punca sembelit.
Berlainan dengan pisang yang masak,
kandungan tannin di dalamnya sudah berkurang, dan begitu juga dengan amylase-resistant starch. Pisang yang masak mengandungi gula yang lebih tinggi. Jadi ia kurang menyebabkan sembelit.
Pelbagai Olahan Resipi Pisang Untuk Bayi & Kanak-kanak
Pisang bukan hanya sedap dimakan begitu saja, malah ia sesuai sangat diolah dalam pelbagai resipi antaranya:
- Lempeng pisang
- Cucur pisang
- Muffin / kek pisang
- Biskut perasa pisang
- Puri pisang bersama oat
Jadi, Mama tak perlu takut nak bagi anak makan pisang lepas ni. Sebabnya ia bukanlah penyebab sembelit seperti yang dikatakan sesetengah orang.
Apapun, ambillah dalam kuantiti sederhana ya!
*Rujukan: Dr Sakinah Sulong, HealthLine.com