40 Minggu

Jangan Takut Dilabel Manja. 5 Kerja Rumah Ini Patut Dielak Semasa Hamil

2.5K
reads

“Aduhai, rasa tak laratnya nak buat semua kerja rumah ni. Tapi, takkan nak tangguh kerja saja. Nanti suami balik, satu pun tak siap lagi. Malulah kalau dikatanya aku ni manja sangat.”

Wanita memang sinonim dengan kerja-kerja rumah. Dalam keadaan mengandung sekalipun, masih ramai wanita yang melakukan pelbagai kerja rumah tanpa mengenal erti penat. Sungguhpun dilanda keletihan, ramai yang takut dianggap ‘manja’, ‘pemalas’, dan sebagainya jika tidak berbuat apa-apa.

Sebenarnya tubuh ibu mengandung adalah lebih sensitif dan memerlukan penjagaan khusus sepanjang tempoh mengandung. Sehubungan itu, ada beberapa jenis kerja rumah yang sepatutnya dihindari ketika hamil, terutamanya apabila ibu mengalami komplikasi atau pernah menghadapi masalah kesihatan dalam kehamilan sebelumnya.pantang ibu hamil

5 Jenis Kerja Rumah Yang Patut Dielakkan Oleh Ibu Mengandung

Menurut laman web kesihatan LiveStrong, kerja-kerja rumah yang biasa dilakukan seperti menyapu, mengemop lantai, dan mengemas adalah selamat dilakukan kerana ia diibaratkan sebagai senaman berimpak rendah yang bagus untuk kecergasan anda.

Namun, beberapa kerja rumah perlu diberikan lebih perhatian seperti:

1. Mengangkat Barang Berat

Kalau anda perasan, apabila masuk trimester ketiga, ramai ibu mengandung mula dipengaruhi oleh hormon yang menjadi punca nesting instinct. Masa inilah ibu rasa rimas ‘semacam’ bila tengok benda bersepah dan asyik nak mengemas.

Ketika ini, mungkin ada yang rasa teringin nak menyusun atur perabot di rumah sambil-sambil mengemas rumah. Kalau boleh, elakkan mengangkat atau mengalihkan benda berat kerana ia boleh menyebabkan kecederaan kepada ibu mengandung. Untuk mengangkat barang yang sederhana berat seperti bakul baju, barang-barang dari kedai, atau mendukung bayi, pastikan anda ingat untuk mengenakan postur yang baik seperti dalam rajah di bawah.

Elakkan membongkok ketika mengankat barang. / Foto Kredit: mayoclinic.org

pantang ibu hamil

Postur semasa mendukung anak kecil yang betul untuk mengelakkan sakit belakang. / Foto Kredit: confusedparent.in

2. Membersihkan Tandas

Membersihkan tandas boleh mendatangkan bahaya kerana sabun pencuci boleh mendedahkan ibu yang sarat mengandung kepada bahaya lantai licin. Selain itu, ia juga melibatkan penggunaan bahan kimia yang berbau tajam dan kurang selamat.

Namun, jika terpaksa mencuci tandas, lakukanlah sekadarnya saja. Gunakan bahan pencuci yang diperbuat daripada bahan semulajadi seperti cuka, perahan lemon, dan baking soda. Atau anda juga boleh menggunakan produk pencuci jenis organik.

pantang ibu hamil

Foto Kredit: madeformums.com

3. Menggantung Langsir, Mencuci Kipas Angin

Ketika perut ibu mengandung semakin membesar, mereka akan mengalami perubahan pusat graviti tubuh. Oleh itu, keseimbangan badan lebih sukar dikawal dan ibu berisiko untuk jatuh.

Oleh itu, kerja-kerja yang melibatkan ibu memanjat tangga atau kerusi sebegini seeloknya ditunda dulu atau dilakukan oleh ahli keluarga yang lain.

Foto Kredit: hometriangle.com

4. Mencuci Sangkar / Membuang Najis Kucing

Memelihara kucing boleh mendedahkan anda kepada toksoplasmosis, sejenis parasit yang dipindahkan melalui najis kucing. Parasit ini boleh mendedahkan kandungan kepada masalah kesihatan yang serius serta turut menjejaskan kesihatan ibu.

Sekiranya tiada ahli keluarga lain yang dapat melakukan rutin ini setiap hari, pastikan anda memakai sarung tangan dan mencuci tangan sebersih-bersihnya menggunakan sabun antiseptik.

cara elak kucing berak

Foto Kredit: furrypetsandmore.com

5. Mengecat Perabot / Rumah

Kebanyakan jenis bahan kimia seperti varnish, cat, dan pelarut yang mengandungi komponen berasaskan petroleum. Ia dikhuatiri boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada ibu mengandung apabila menghidunya. Maka, jika anda rasa teruja untuk menghias bilik bayi, pastikan anda menghindari kerja-kerja mengecat.

Menurut BabyCenter, kajian mendapati bahawa semua bahan ini termasuklah racun pembasmi serangga perosak (piperonyl butoxide) mampu mengganggu perkembangan bayi dalam kandungan. Oleh itu, jauhi segala jenis aktiviti yang boleh mendedahkan anda kepada bahan kimia sebagai langkah yang paling selamat.

Foto Kredit: hometuneup.com

Anda Mungkin Rasa Selamat, Tapi…

…kerja-kerja rumah ini mungkin boleh menyebabkan beberapa masalah serius yang tidak anda sedari. Sebuah kajian yang dilaporkan oleh Daily Mail menunjukkan bahawa kerja-kerja rumah yang terlalu berat dan banyak boleh meningkatkan kemungkinan melahirkan bayi pramatang sebanyak 25%.

Larangan ini terutamanya amat patut dititikberatkan jika ibu pernah mengalami keguguran, tanda-tanda kelahiran pramatang, plasenta previa, tekanan darah tinggi, atau kondisi kesihatan lain yang disahkan oleh doktor. Tak salah ibu-ibu nak jadi independent, tapi kesihatan anda dan bayi perlu tetap diutamakan ya!

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Yang Popular

To Top