Asuh

Pelukan Adalah ‘Ubat’ Paling Mujarab Bagi Anak Kecil Yang Tantrum

108
SHARES

“Eee geramnya aku budak ni asyik nak buat perangai. Kita cakap elok-elok dia bukannya nak dengar. Sekali aku ‘naik hantu’ nanti baru tau…”

Sekali anak kecil buat perangai, hanya ibu ayah yang faham betapa stresnya sesuatu situasi tersebut. Rasa marah, geram, malu, kecewa, dan macam-macam lagi boleh buat kita pening kepala – terutamanya bila berada di khalayak ramai. Ditambah pula kalau masa tu kita memang tengah sibuk dengan urusan yang penting, semua perkara boleh tergendala. Apa yang dirancang semua ‘ke laut’. Mahu tak mahu, terpaksalah juga melayankan perasaan si anak kecil yang tengah meronta-ronta.

Secara logiknya, bila anak kecil buat perangai – respon yang kita anggap berkesan untuk menghentikannya adalah dengan meninggikan suara, menghukum, atau ‘buat tak tahu’. Mana taknya, bila kita tengah ‘panas hati’ tengok perangai dia, tak pernah terfikir pula nak peluk anak tu kan?

Walaupun bertegas itu perlu, tapi sebenarnya ada pakar psikologi yang mengesyorkan bahawa saat ini adalah antara waktu yang terbaik untuk kita menawarkan pelukan buat si kecil.

5 Sebab Mama Papa Kena Peluk Anak Kecil Yang Tengah Buat ‘Perangai’

1. Pelukan Meredakan Stres

Dalam keadaan yang tegang, anda dan anak anda kedua-duanya mungkin berada dalam keadaan yang stres yang membuak-buak.

Bayangkan, dengan satu pelukan saja stres tersebut dapat diredakan. Dalam dakapan, anda berdua juga menemui ruang untuk bertenang.

perkembangan anak 2 tahun

Foto Kredit: romper.com

2. Pelukan Membantu Mereka Mendengar

Memeluk anak yang tengah buat perangai bukanlah bermaksud kita memanjakan sikap mereka. Sebaliknya, anda sedang membantu mereka bertenang agar mereka dapat mendengar kata-kata anda dengan lebih baik.

Maka, tidak hairanlah mereka sukar mengikut arahan dan mendengar bebelan kita apabila dimarah. Ini kerana, fikiran mereka bercelaru dan tidak dapat mengekspresikan perasaan mereka secara positif apabila sedang stres.

www.parentmap.com

3. Ia Memberi Mesej Positif

Hanya dengan sebuah pelukan, anak kecil anda akan mendapat mesej positif tanpa perlu banyak bicara.

Antara mesej yang akan mereka rasakan adalah:

“Mama dan Papa sayangkan kamu.”

“Kamu penting buat Papa dan Mama”

“Mama dan Papa tahu kamu sedang belajar dan kami ingin membantu kamu.”

“Kamu bukan keseorangan.”

“Kami tahu kamu pun berasa susah menghadapi saat ini.”

“Kamu dah buat kesilapan tanpa sengaja dan itu tak mengapa.”

Penting untuk mereka rasai bahawa mereka bukannya ‘nakal’ atau ‘degil’ apabila melakukan kesilapan. Apabila kita menukarkan situasi negatif ini kepada positif, anak kecil anda sebenarnya diberi ruang untuk belajar banyak perkara.

Tanpa menudung jari dan menyalahkan, persekitaran positif seperti ini turut memainkan peranan dalam membantu mereka lebih termotivasi untuk memperbetulkan kesilapan yang telah dilakukan.

Jangan lupa peluk anak-anak juga

4. Anak Akan Mencontohi Anda

Cara kita mengendalikan sesuatu situasi sebenarnya akan menjadi cerminan dan ikutan anak-anak. Dengan pelukan, anak kecil akan rasa didengari. Hasilnya, mereka juga akan belajar menghormati perasaan kita. Mereka mahu membanggakan kita dan mahu menjadi anak yang baik.

Kalau asyik marah-marah dan menengking, mereka juga akan cenderung ‘melawan’ kita. Bila kita asyik cari salah mereka, tak mustahil mereka juga akan buat benda yang sama.

cara kawal marah

5. Pelukan Membantu Otak Mereka Berkembang

Akhir sekali, tak boleh menyamakan anak kecil dengan orang dewasa kerana seorang dewasa sudah mampu membezakan baik dan buruk sesuatu perkara. Bagi anak kecil, bahagian prefrontal lobe mereka sedang berkembang. Bahagian otak inilah yang berfungsi untuk merancang dan membuat keputusan. Kajian juga menunjukkan bahawa otak seorang bayi lebih cepat berkembang apabila mereka sering dipeluk setiap hari.

Sekiranya anak kecil dimarah atau ditengking, mereka akan berada dalam keadaan yang tertekan atau emosional. Hal ini akan menyukarkan otak mereka berfungsi secara rasional. Tanpa memberi anak peluang untuk bertenang, kita mungkin menjadi punca anak menjadi lebih ‘liat’ dan terus mengamuk tanpa sebab.

Pelukan Tak Semestinya Memanjakan

Wah, ada banyak sebab untuk anda memeluk anak kecil anda sekarang – walaupun mereka sedang tantrum atau buat perangai.

Mungkin saja ia menjadi formula magik untuk anak anda bertenang tanpa perlu anda mengeluarkan sebarang kata-kata!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×