Famili

7 Cara Nak Elak Jadi Ibu Ayah Yang Pemarah. ‘Cool’ Je…

572
SHARES

“Aduii… Sakitnya terpijak mainan. Geram betul aku dengan budak-budak ni. Puas aku suruh kemas dari tadi, dia boleh tinggalkan bersepah macam tu je. Tak boleh jadi ni. Aisy, Aiman, mari sini!”

Budak-budak memang banyak ragamnya. Kalau tak kena gaya, memang rasa nak dijeritkan saja. Tapi kalau anda perasan, lagi kita garang, lagi anak-anak ‘galak’ membuat perangai. Sebaliknya, sesetengah ibu bapa tak perlu pun ‘tunjuk taring’ untuk buat anak-anak mendengar cakap.

Apa rahsia mereka agaknya?

7 Cara Nak Elak Jadi Ibu Ayah Yang Pemarah. ‘Cool’ Je…

1. Bagi ‘Timeout’ Untuk Diri Sendiri

Bila tengah marah, kita lebih mudah untuk bercakap tanpa berfikir dan membuatkan orang mudah tersinggung. Jadi, kalau agak-agak ‘darah’ dah mula ‘naik’, cepat-cepat asingkan diri daripada situasi tersebut atau cuba kosongkan minda untuk bertenang.

Rasulullah juga mengajarkan supaya kita duduk sekiranya sedang berdiri. Kemudian berwudhuklah dan ucapkan istighfar. Minta petunjuk daripada Allah supaya diberi kesabaran dalam mendidik anak.

Bila dah bertenang, kembali pada anak dan terangkan secara tegas tentang kesalahannya dan kesan tindakannya pada orang lain. Kemudian, peluklah anak dengan erat sebagai tanda bahawa kita sentiasa menyayangi dia walau apa pun terjadi.

tanda stres

Foto Kredit: urbo.com

2. Nada Serius Lebih ‘Menakutkan’ Berbanding Terpekik-pekik

Walaupun kita sebagai ibu bapa lebih berkuasa di dalam rumah, elakkan menengking, membebel, atau menjerit pada anak. Cuba bertegas tanpa menghamburkan kemarahan dan bebelan yang meleret-leret. Kadang-kadang, berbisik dan bercakap dengan nada serius lebih ‘menakutkan’ berbanding terpekik-pekik. Gunakan ‘eye contact’. Dengan cara ini, mesej yang ingin disampaikan dapat didengar dengan lebih jelas oleh anak.

Ingatlah bahawa kita mahukan anak supaya hormati dan sayangi kita sebagai pelindung mereka, bukannya takut dengan kita. Tindakan ini menunjukkan kematangan kita sebagai seorang dewasa di dalam rumah.

Foto Kredit: kleo.ru

3. Tak Perlu Semuanya ‘Perfect’

Kebanyakan masa, punca ibu ayah cepat naik angin adalah kerana kepenatan yang melanda diri. Penat baru balik kerja, penat buat kerja rumah, penat memandu kereta dan merempuh ‘jammed’. Semua keadaan ini begitu mudah menjadi pencetus kepada suis kemarahan kita.

Oleh itu, tak perlu rasa bersalah jika anda mahu mengambil sedikit masa untuk berehat. Tarik nafas yang dalam, lihat sekeliling, dan jangan pula sibukkan diri dengan gajet apabila bersama anak. Seperkara lagi, elakkan daripada memaksa diri melakukan sesuatu di luar kemampuan. Contohnya kalau dah penat seharian bekerja dan ambil anak, tak apalah sekali-sekala beli makanan luar saja. Bergilir-gilirlah dengan pasangan untuk mendapatkan rehat masing-masing.

peranan bapa

Foto Kredit: gettyimages.com

4. Tetapkan Rutin

Kadang kala anak bertindak secara tidak terkawal disebabkan kegagalan ibu bapa menetapkan rutin harian. Sebagai contoh, anak yang sedang kelaparan mudah membuat perangai kerana tidak makan mengikut masa.

Dalam kehidupan berkeluarga, perancangan dan rutin harian amat penting kerana ia memberi kesan kepada setiap ahli keluarga. Apabila anak dibiasakan mengikut rutin hariannya seperti makan, mandi dan tidur, mereka akan mudah menurut tanpa membantah.

Foto Kredit: Reader’s Digest

5. Amalkan Senaman / Riadah Bersama Keluarga

Aktiviti riadah bukan sahaja memberi impak positif kepada tahap kesihatan, malah mampu menenangkan minda seseorang. Bersenam dapat membantu badan merembeskan hormon endorphin iaitu hormon yang membuatkan seseorang lebih gembira.

Tak perlu pun pergi ke gym. Bawa anak bersiar-siar ke taman berdekatan atau bermain badminton di halaman rumah juga sudah memadai. Anak-anak dapat keluarkan tenaga, ibu bapa pun dapat hilangkan stres.

peranan ayah

Foto Kredit: parentsavvy.com

6. Pilih Makanan Berkhasiat

Pepatah ‘you are what you eat’ mungkin ada betulnya. Jika anda memang jenis pemarah, semak semula diet harian anda. Menurut pakar pemakanan menerusi laman web kesihatan HealthLine, karbohidrat ringkas yang tinggi seperti gula dan kanji putih lebih mudah membuatkan seseorang mengalami ‘mood’ yang tidak menentu. Oleh itu, disarankan menukarnya kepada karbohidrat kompleks yang terdapat di dalam roti mil penuh dan bijirin seperti oat.

Karbohidrat kompleks dapat membantu penghasilan serotonin iaitu hormon yang dapat memperbaiki ‘mood’ seseorang. Lebihkan juga makan makanan yang kaya dengan vitamin D seperti kacang soya dan susu rendah lemak serta protein. Makanan ini dipercayai dapat mengurangkan stres.

7. Ingat Bahawa Kita Adalah Cerminan Mereka

Sebelum bertindak, ingatlah bahawa kita merupakan role model yang paling besar pengaruhnya terhadap anak-anak. Secara tidak sedar, sifat pemarah, suka menjawab, dan cepat mengamuk mungkin berpunca daripada kita sendiri.

Ini kerana, mereka paling mudah mengikuti apa yang kita lakukan walaupun belum mampu menilai baik buruknya. Mereka sebenarnya lebih cenderung mengikut apa yang kita lakukan berbanding apa yang kita ucapkan dan nasihatkan.

Foto Kredit: huffingtonpost.com/

Anak-anak Cuma Mahukan Perhatian

Kalau ada masalah lain yang mengganggu fikiran, cuba buang jauh-jauh apabila bersama anak. Emosi tidak stabil akan membuatkan kita mudah melenting lebih-lebih lagi terhadap perkara kecil yang dilakukan oleh anak-anak.

Anak-anak masih kecil dan perlukan perhatian ibu bapa. Kadang-kadang mereka tak tahu luahkan, jadi mereka pun ‘buat perangai’. Kita yang kini bergelar ibu bapa perlu peka dengan keperluan mereka dan bersikap matang untuk menanganinya.

Yang penting, jangan tension-tension ya!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×