Sihat

Kencing Bayi Berdarah Atau Berkristal. Mungkin Ini 7 Puncanya Ibu Kena ‘Alert’

170
SHARES
bayi kencing berdarah

“Eh, kenapa ada kesan merah-merah dekat lampin ni? Nampak macam darah. Kenapa bayi kencing berdarah? Dia sakit ke? Kena bawa ke klinik sekarang ke?”

Memang panik kalau kita tengok dekat pampers anak tiba-tiba ada warna merah keorenan atau ada kristal.

Dalam kes ini, ibu kena teliti betul-betul sama ada kencing bayi berdarah atau ia adalah urate crystal atau sebab-sebab lain.

Jom ketahui antara sebab kencing bayi berdarah dan adakah ianya merbahaya atau normal.

Warna Air Kencing Bayi Yang Normal

Secara normalnya, bayi akan kencing setiap 1-3  sekali.

Sekurang-kurangnya dalam sehari, bayi akan kencing sebanyak 4-6 kali sekali.

Jika kurang daripada itu, bayi mungkin mengalami dehidrasi.

Menurut American Academy of Pediatrics (AAP), warna air kencing bayi yang sihat adalah kuning muda hingga kuning gelap.

Semakin anak kurang minum, maka warna air kencing bayi akan semakin keruh dan lebih gelap berbanding biasa.

Dalam kes tertentu, mungkin ibu pernah menjumpai tompokan warna merah atau merah jambu pada lampin bayi.

Ia mungkin darah atau mungkin juga bukan.

Jadi jika ia berlaku,  ini apa yang ibu perlu alert.

kencing bayi berdarah

7 Punca Kencing Bayi Berdarah

1. Kesan Makanan

Cuba ibu ingat semula apa yang dimakan oleh bayi jika warna air kencingnya berbeza daripada normal.

Contoh makanan yang mempunyai warna kuat termasuklah buah beri, buah naga dan sebagainya mungkin boleh menjadi punca air kencing bayi kelihatan seperti berdarah.

Jika ini yang berlaku, ibu tak perlu risau. Namun, pantaulah lampin anak dengan kerap dan perhatikan jika anak menunjukkan simptom-simptom ketidakselesaan yang lain.

2. Kesan Ubat

Warna kemerahan, oren atau merah jambu pada air kencing bayi juga mungkin kesan ubat-ubatan yang diambil oleh bayi jika tidak sihat.

Ibu boleh bertanya pada doktor jika ada ubat-ubatan tertentu yang dipreskripsikan oleh doktor menjadikan warna air kencing bayi tidak normal.

3. G6PD

Menurut BabyCenter, kira-kira 1 dalam 10 kanak-kanak mengalami kekurangan G6PD di Malaysia.

Kanak-kanak dan bayi biasanya tidak menunjukkan simptom G6PD sehingga terdedah kepada pencetusnya (contohnya kacang parang, ubat gegat atau ubat nyamuk yang mengandungi pyrethium).

Jika ini berlaku, bermulalah proses hemolisis, yang mana sel darah merah hancur dan air kencing kelihatan kemerahan atau pekat seperti teh.

Jika tidak mendapat rawatan segera bayi atau kanak-kanak boleh menyebabkan kekurangan darah.

4. Urate Crystal

Menurut sebuah artikel oleh VeryWellFamily, satu kajian mendapati bahawa 64% bayi baru lahir boleh mengalami urate crystal dalam air kencing mereka.

Apakah urate crystal ini?

Ia adalah ketulan kristal kecil yang terdiri daripada asid urik yang terhasil bersama air kencing bayi baru lahir.

Selalunya, kristal yang terbentuk pada lampin bayi dalam tiga hari pertama kehidupan adalah normal pada bayi yang menyusu badan.

Namun jika ia berterusan selama 3 hari atau lebih, ibu dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor bagi memastikan bayi tidak mengalami dehirasi atau masalah yang berkaitan buah pinggang.

penyakit g6pd

Foto Kredit: shutterstock.com

5. Jangkitan Kuman

Menurut DoktorBudak.com, jangkitan kuman pada pundi kencing boleh menyebabkan pesakit mengalami kencing berdarah dan boleh berlaku tanpa demam panas.

Perubahan warna air kencing boleh dikenalpasti dengan mata kasar.

Sekiranya jangkitan berlaku pada buah pinggang itu sendiri, pesakit biasanya mengalami demam panas serta sakit di bahagian pinggang selain dari kencing berdarah. Dalam kes ini, kanak-kanak biasanya kelihatan lebih tenat.

6. Sempit Saluran Kencing

Bayi yang mempunyai masalah sempit salur kencing menyebabkan sumbatan sejak lahir juga boleh mengalami kencing berdarah.

Kebiasaanya, pendarahan dalam kencing dikesan melalui ujian makmal.

7. Masalah Buah Pinggang

Jika kencing bayi berdarah dan diiringi dengan tanda lain seperti sesak nafas, kabur penglihatan atau sakit kepala, ia mungkin tindak balas antibodi terhadap buah pinggang selepas jangkitan kuman.

Anda perlulah mendapatkan rawatan segera kerana ia boleh menyebabkan proses radang buah pinggang berterusan dan fungsi buah pinggang boleh terjejas untuk sementara waktu.

Foto Kredit: sciencedaily.com

Dapatkan Nasihat Doktor Untuk Kepastian

Jika anda tidak pasti sama ada kencing bayi berdarah atau berciri tidak normal, ambillah gambar atau simpan lampinnya untuk dibawa ke pemeriksaan doktor.

Hal ini akan memudahkan anda untuk memberitahu doktor dan petugas kesihatan tentang masalah yang dialami oleh bayi.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×