Mungkin ada antara kita yang mengalami masalah selalu mengantuk walaupun dah cukup tidur malam seperti biasa.
Duduk sekejap tertidur.
Dalam meeting tertidur.
Tengok TV tertidur.
Masa buat kerja pun boleh terlelap.
Tahukah anda, kerap mengantuk (excessive sleepiness) adalah sebuah kondisi kesihatan yang perlu diperhatikan kerana ia mungkin petanda kepada beberapa jenis penyakit.
Lagipun, bahaya juga kalau kita asyik mengantuk dan tertidur di tempat yang tak sepatutnya, contohnya ketika memandu. Walaupun sesaat dua, tetap berisiko meragut nyawa tau!
Jadi kalau anda tergolong antara orang yang asyik tersengguk-sengguk walaupun dah cukup tidur, cuba semak puncanya di bawah ini.
9 Punca Kerap Mengantuk Walaupun Dah Cukup Tidur
1. Rutin Tidur Yang Tidak Baik
Antara punca kerap mengantuk yang paling biasa berlaku adalah berkait rapat dengan kualiti tidur seseorang akibat rutin mereka sendiri.
Antaranya rutin tersebut ialah:
- Tempat tidur yang kurnag kondusif, tidak selesa untuk tidur
- Pencahayaan yang keterlaluan, tidur dalam keadaan TV terpasang atau menggunakan gajet terlalu lama sebelum tidur
- Meminum kafein atau makan terlalu banyak ketika hampir waktu tidur
Semua ini adalah antara rutin yang perlu dielakkan bagi memastikan tidur anda lebih tenang dan berkualiti, sekaligus menyebabkan anda berasa mengantuk pada keesokan harinya.
2. Sleep Apnea / Berdengkur
Sleep apnea adalah keadaan yang berlaku bila seseorang kerap berhenti bernafas ketika tidur.
Gejala utama sleep apnea ini adalah berdengkur dengan kuat serta mengantuk di waktu siang.
Menurut Portal MyHealth, seseorang yang menghidap sleep apnea tidur berdengkur tetapi tidak semua yang tidur berdengkur menghidap sleep apnea.
Jadi, bagaimana ia berlaku?
Saluran udara yang separuh tersumbat ataupun sempit tidak mendatangkan masalah pada waktu siang semasa seseorang terjaga, tetapi semasa tidur, lemak di bahagian leher akan memberi tekanan kepada salur pernafasan.
Akibatnya, pernafasan akan terhenti untuk beberapa ketika sehingga otak mengesan kadar oksigen yang rendah.
Apabila otak menghantar signal kekurangan oksigen, seseorang itu akan menjadi separuh sedar, berdengkur, dan cuba bernafas sekuat mungkin untuk mendapatkan oksigen sebelum tidur semula.
Tahukah anda, dalam kebanyakan kes seseorang yang mengidap masalah ini tidak sedar yang beliau sebenarnya separuh sedar untuk mendapatkan oksigen.
Corak tidur begini berulang beratus-ratus kali setiap malam menyebabkan tidur yang terganggu serta masalah mengantuk dan keletihan apabila bangun tidur.
3. Sindrom Prahaid aka PMS (Pre-Menstrual Syndrome)
Menurut Dr Mohd Ramzdhan menerusi sebuah artikel DoctorOnCall, wanita sering mengalami insomnia sama ada semasa atau sebelum sebelum haid.
Ini kerana kadar melatonin akan menurun ketika haid.
Hormon yang dihasilkan oleh kelenjar pineal ini berperanan mengawal tidur lalu menyebabkan insomnia atau gangguan tidur, seterusnya menyebabkan wanita berasa mengantuk dan letih pada hari berikutnya.
[ Baca juga : Selain Mengandung, Ini 9 Sebab Anda ‘Missed Period’ ]
4. Restless Leg Syndrome
Restless Leg Syndrome adalah sebuah keadaan yang menyebabkan desakan yang tidak terkawal untuk menggerakkan kaki anda, biasanya kerana sensasi yang tidak selesa.
Ia biasanya berlaku pada waktu malam atau malam ketika seseorang sedang duduk atau berbaring.
Keadaan ini boleh mengganggu kualiti tidur pada waktu malam dan menjadi punca kenapa selalu mengantuk walaupun telah tidur secukupnya.
5. Anemia
Anemia adalah keadaan apabila anda mempunyai paras hemoglobin yang rendah.
Hemoglobin, iaitu protein dalam sel darah merah berfungsi membawa oksigen dari paru-paru ke seluruh tubuh.
Seseorang yang mengalami anemia menyebabkan jantung perlu bekerja keras untuk mendapatkan oksigen yang cukup bagi tisu anda.
Apabila jantung terpaksa bekerja lebih keras, seseorang akan menjadi lebih mudah letih, tanpa mengira sama ada anda mendapat tidur yang berkualiti atau tidak.
Anemia juga sering berlaku pada wanita hamil, terutamanya yang kurang mengambil makanan yang tinggi zat besi atau vitamin C.
6. Kehamilan
Keletihan ketika hamil adalah sesuatu yang normal dan ia juga biasa menyebabkan wanita kerap berasa mengantuk pada waktu siang.
Menurut BabyCenter, sepanjang kehamilan, terutamanya dalam trimester pertama, badan ibu akan bekerja dengan lebih kuat.
Ini kerana ia sedang dalam proses membuat uri (plasenta) yang merupakan satu sistem sokongan hayat bagi bayi.
Proses ini hanya akan selesai pada akhir trimester pertama.
Tahap hormon dan metabolisme ibu juga sedang berubah dengan pesat, manakala gula dalam darah serta tekanan darah mungkin akan menurun.
Kesemua ini menyebabkan ibu hamil kerap menjadi terlalu letih dan mengantuk.
7. Masalah Tiroid
Selain rasa penat dan mengantuk sepanjang masa, seseorang yang mengalami masalah tiroid mungkin berasa sejuk walaupun orang di sekitar anda berasa panas.
Masalah tiroid mengganggu keseimbangan hormon dan boleh juga menyebabkan masalah berat badan.
Setelah diberi diagnosis, hipotiroidisme atau hipotiroidisme boleh dirawat dengan ubat-ubatan.
[ Baca juga : 9 Sebab Ada Orang Selalu Rasa Panas Padahal Orang Lain Macam Biasa Je ]
8. Stres
Mungkin ramai yang tak perasan, stres berlebihan juga boleh menjadi punca kerap mengantuk tau.
Ini kerana salah satu punca insomnia adalah stres.
Apabila stres, otak manusia akan lebih aktif daripada biasa.
Mereka yang menghadapi stres tidak boleh berhenti untuk berfikir walaupun pada waktu di mana tubuh badan mereka sepatutnya rehat.
Jadi apabila tubuh kurang mendapat rehat, seseorang akan menjadi lesu dan kerap mengantuk.
9. Kencing Manis & Darah Tinggi
Menurut sebuah artikel Harian Metro, Pakar Otorinolaringologi UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Ahmad Kusyairi Khalid, berkata masalah mengantuk tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjadi petanda bagi penyakit serius dihadapi individu berkenaan.
Ini termasuklah komplikasi penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi pada usia muda.
Menurut beliau lagi, bagi pesakit diabetes, rasa mengantuk itu lazim berlaku selepas makan. Apatah lagi jika makanan yang diambil pesakit kandungannya tinggi karbohidrat dan gula.
Ia bermula dengan rasa penat dan diikuti mengantuk disebabkan kapasiti tubuh pesakit diabetes tidak lagi dapat menghasilkan insulin bagi menukar gula ke sumber tenaga.
Jalani Pemeriksaan
Masalah mengantuk yang melampau mungkin boleh berpunca daripada tabiat kita atau penyakit.
Maka sebaik-baiknya pesakit ini menjalani pemeriksaan menyeluruh bagi mengenal pasti punca mengantuk itu sama ada ia disebabkan gangguan tidur atau tanda-tanda kepada masalah lebih serius.
Jangan teragak-agak berjumpa doktor sekiranya masalah ini sering mengganggu rutin harian anda ya!