‘Ustaz Dukun’, inilah istilah yang semakin tular dalam kalangan masyarakat apabila wujudnya individu yang berpenampilan seperti seorang ustaz tetapi hakikatnya mengamalkan cara rawatan bertentangan dengan Islam.
Mereka ini digelar uskun iaitu gabungan dua perkataan, ustaz + dukun. Fenomena ini semakin membimbangkan kerana ada yang mudah terpedaya dengan penampilan luaran dan ayat-ayat manis, sedangkan di sebaliknya tersembunyi amalan syirik.
Baca juga: Netizen Puji & Sanjung Suami Tikam Skandal Jadi Hero, Tapi Islam Benarkan Ke ‘Honor Killing’ Ini?
KENALI USTAZ DUKUN (USKUN), JANGAN TERPEDAYA!
Menurut Ustaz Syawal (Ruqyah Isra), istilah uskun merujuk kepada golongan yang menggunakan kaedah tilikan, ramalan atau jin untuk mengetahui punca penyakit atau gangguan tanpa bersemuka dengan pesakit.
Mereka mendakwa boleh melihat dari jauh siapa yang menyihir atau punca sesuatu musibah.
Hakikatnya, kaedah ini hanya mendatangkan fitnah besar hingga berlaku perceraian, permusuhan keluarga, perpecahan masyarakat bahkan ada yang membawa kepada pembunuhan akibat percaya pada kata-kata mereka.
Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa datang menemui juru ramal kemudian bertanya sesuatu dan membenarkannya apa yang dikatakannya, maka sembahyangnya tidak diterima selama 40 hari.” (Riwayat Muslim)
Uskun juga disebut oleh Suara Sunnah sebagai sebahagian daripada golongan bomoh dan pawang yang mengelirukan umat Islam. Hadis Rasulullah SAW:
“Barang siapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkannya (apa yang dikatakan), maka sesungguhnya dia telah kufur pada al-Quran yang telah diturunkan kepada Muhammad.” (Hadis riwayat Ahmad, Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan hadis ini hasan)
Baca juga: Boleh Ke Berak Kencing Menghadap Kiblat? Tak Sangka Boleh Jadi Haram JIKA Dalam Situasi Ini!
Ustaz Shams, seorang pensyarah universiti, turut menjelaskan bahawa rukyah sebenar adalah bacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan cara yang betul. Tetapi uskun sering menyalahgunakan nama Allah, menyebut bismillah atau selawat sekadar untuk mengelabui pesakit. Hakikatnya mereka menggunakan jin, tangkal dan azimat.
Beliau pernah berkongsi pengalaman apabila seorang jiran berjumpa seorang “ustaz” di Kuala Lumpur yang memberikan tangkal benang hitam dan gambar berayat al-Quran.
Setelah tangkal itu digunting, anak jirannya tiba-tiba menjerit ketakutan seolah-olah melihat makhluk ghaib. Selepas rukyah sebenar dilakukan, barulah anak itu pulih.
Lebih berbahaya, uskun memperdaya masyarakat dengan tulisan ayat al-Quran secara terbalik atau dipisah-pisahkan dalam bentuk kotak.
Kononnya ia pelaris, tetapi sebenarnya menghina ayat Allah dan mendatangkan syirik. Bahkan ia mengikat jin yang menjaga lambang tersebut untuk membantu urusan uskun.
Kesimpulannya, siapakah uskun?
Ia bukanlah perawat Islam sebenar tetapi individu bertopengkan imej ustaz yang menggunakan amalan syirik untuk mengaut keuntungan. Masyarakat perlu berhati-hati agar tidak terpedaya dengan tipu daya mereka kerana ia boleh membawa kepada dosa kufur dan syirik.
Peganglah janji Allah dalam al-Quran: “Dan Kami turunkan al-Quran sebagai ubat kesembuhan dan rahmat bagi orang-orang yang beriman” (al-Isra’:82).
Baca juga: Isu Usahawan Terkenal Bela Anjing Di Rumah Untuk Keselamatan, Ini Teguran Mufti & Hukumnya
Sumber: Ustaz Syawal Ruqyah Isra / Ustaz Shams / Suara Sunnah
FT Image: Filem DUKUN

