Euforia Bola 2026
Famili

Bahana Beli Patung Kuman Thong Demi Murah Rezeki, Hidup Individu Ini Kucar-Kacir Lepas Tinggalkan Ritual

patung Kuman Thong

Perkongsian mengenai patung Kuman Thong oleh seorang perawat Islam di Threads mengundang perhatian ramai selepas dia menceritakan pengalaman merawat seorang pesakit yang didakwa pernah membeli patung tersebut kerana percaya ia mampu membawa rezeki dan perlindungan.

Hantaran yang dimuat naik oleh pengguna Threads, Faisol Ramzi, itu turut menerima pelbagai reaksi daripada warga maya. Ada yang berkongsi pengalaman sendiri, manakala ada juga yang menceritakan kepercayaan masyarakat terhadap Kuman Thong.

Baca juga: “Dik Nak Belajar Ke Melawa?”- Sampai Sebaldi Alat Solek Pelajar Dirampas Guru, Cetus Pelbagai Reaksi Netizen

BAHANA BELI PATUNG KUMAN THONG

 

patung Kuman Thong

Beli patung Kuman Thong kerana mahu murah rezeki

Menurut Faisol Ramzi, pesakit terbabit memberitahu dia membeli patung berkenaan selepas terpengaruh dengan seorang rakan di tempat kerja.

Katanya, patung itu dibeli pada harga ribuan ringgit dengan harapan dapat memperoleh rezeki yang lebih baik selain menjadi pelindung.

“Katanya, dia membeli patung itu kerana terpengaruh dengan rakan di tempat kerja. Harganya mencecah ribuan ringgit… Tujuan dia membelinya adalah untuk mendapatkan rezeki yang lebih banyak dan sebagai perlindungan,” jelasnya.

Menurut perkongsian itu lagi, pada peringkat awal segala urusan kerjanya dikatakan berjalan lancar.

Komisen jualan meningkat berkali ganda dan dia mendakwa lebih mudah memperoleh pelanggan.

Namun, keadaan mula berubah apabila dia tidak lagi melakukan ritual yang dikatakan perlu dilakukan selepas memiliki patung tersebut.

“Selagi ritual itu dilakukan, semuanya kelihatan baik-baik sahaja. Tetapi apabila dia tidak melakukannya, hidupnya mula menjadi kucar-kacir,” jelasnya lagi.

Baca juga: Wanita Sebak Kenang Jiran Bukan Islam Baru Meninggal, Anak Mendiang Setia Telefon Kejut Subuh Setiap Hari

Faisol Ramzi berkata, pesakit itu akhirnya membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan selepas merasakan hidupnya semakin tidak tenteram.

Menurutnya, selepas melakukan pemeriksaan, dia mendapati masih terdapat “ikatan perjanjian” dengan patung tersebut sebelum rawatan dijalankan.

“Apabila saya membuat pemeriksaan, rupanya masih wujud ikatan perjanjian dengannya. Makhluk yang dikatakan berada dalam patung itu juga masih terikat dengannya.

“Alhamdulillah, selepas ikatan tersebut diputuskan dan semua gangguan itu dibersihkan, keadaannya kembali pulih,” kongsinya.

patung Kuman Thong

Warga maya turut kongsi pelbagai pengalaman

Di ruangan komen, beberapa pengguna Threads turut berkongsi pandangan dan pengalaman mereka mengenai Kuman Thong.

Seorang pengguna yang memperkenalkan dirinya mempunyai keturunan Thai berkata, Kuman Thong menurut kepercayaan tertentu dianggap sebagai roh kanak-kanak yang perlu dijaga seperti anak sendiri.

“Bila beli, kena bersedia macam dah ada anak sendiri. Kena bagi mainan, jajan, makanan dan sebagainya,” komennya.

Dia turut mendakwa terdapat amalan tertentu yang dilakukan bagi mereka yang memelihara patung tersebut.

Sementara itu, seorang lagi pengguna mengakui berasa seram apabila mengetahui ada individu yang sanggup memelihara patung sedemikian.

Seorang lagi pengguna pula mendakwa pernah melalui pengalaman yang sukar dilupakan melibatkan rakannya yang dikatakan memiliki Kuman Thong.

“Kuman Thong tu pernah muncul depan saya ketika saya separa sedar waktu tidur… Sampai sekarang saya masih tak boleh lupa,” kongsinya.

Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima 3 ribu tanda suka. Semoga kisah ini dapat dijadikan pengajaran bagi masyarakat di luar sana, terutamanya mereka yang beragama Islam.

Sumber: Threads @faisolramzii

FT Imgage: Threads @faisolramzii

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×