“Jojo ‘pergi’ dalam keadaan tempat baik, bulan yang terbaik dan di dalam majlis ilmu lagi. Memang kematian yang dicemburui,” ujar seorang pendakwah bernama Maulana Helmi, 47, ketika dihubungi oleh media tempatan.
Semalam, dunia hiburan digemparkan dengan pemergian bekas anggota kumpulan rap, One Nation Emcees (ONE) iaitu Jojo, 48, yang meninggal dunia selepas rebah di Masjid Jamek Sri Petaling, kira-kira jam 1 petang ketika mengikuti program Ijtimak Dakwah bermula Khamis lalu hingga Ahad.
KEMATIAN YANG DICEMBURUI, JOJO ONE NATION EMCEES
Allahyarham Jojo atau nama sebenarnya, Nur Hasan Balas tiba-tiba rebah selepas pembacaan doa penutup program itu.
“Buat masa ini, punca sebenar kematian arwah masih belum diketahui selagi tidak dikeluarkan oleh pihak hospital. Cuma, arwah ada mengadu dia sakit dada, pagi tadi.
“Ketika datang ke program hari ini, dia memakai pelitup muka dan apabila ditanya oleh sahabat-sahabat, katanya mohon doa kerana sakit dada dan sesak nafas.
“Baru hari ini, dia kelihatan kurang sihat dan hari-hari sebelumnya, okay saja. Dia seorang yang ceria, ramah berbual dengan sahabat-sahabat lain dan selama program ini, keadaannya nampak sihat-sihat saja,” katanya kepada Harian Metro semalam.
Baca juga: “Percaturan Allah”- Susu Handzalah Kini Milik Bayi Faleeq Yang Ibunya Meninggal Dunia Dalam Tidur
Allahyarham Jojo sempat keluar berdakwah selama 40 hari
Menurut Maulana Helmi, Jojo juga sebelum ini sempat keluar berdakwah selama 40 hari sebelum mengikuti program Ijtimak Dakwah di masjid berkenaan.
“Hari ini adalah hari penutup program, jadi memang Jojo ‘pergi’ dalam keadaan tempat baik, bulan yang terbaik dan di dalam majlis ilmu lagi. Memang kematian yang dicemburui,” katanya.
Maulana Helmi berkata, Allahyarham adalah bilal di Masjid Hanafi di Taiping, Perak.
“Kalau tak ada program agama disertainya di mana-mana, dia adalah seorang bilal masjid,” katanya.
Katanya, dia mengenali Jojo kira-kira enam atau tujuh tahun lalu selepas berhijrah mengikuti kumpulan tabligh untuk berdakwah.
Baca juga: Warga Emas Sebak Terima Kunjungan Ramai Di Gerai Makan, Selepas Video Tular “2 Hari Makanan Habis…”
Jenazah Allahyarham Jojo masih berlinangan air mata
Sementara itu, melalui perkongsian Ustaz Hj Taufik di TikTok, beliau berkata Allahyarham Jojo menangis semasa bacaan doa dalam Ijtimak Tabligh.
Beliau turut memaklumkan keadaan jenazahnya masih berlinangan air mata.
“Kematian yang dicemburui, meninggal dunia ketika keluar ke jalan Allah SWT di dalam Masjid Sri Petalng ketika sedang berdoa, menangis dalam Ijtimak Tabligh. Jenazahnya masih berlinangan air mata keinsafan,” katanya.
Baca juga: “Dah Masuk 3 Tahun Tak Bayar…” Lelaki Ini Pesan Jangan Bagi Pinjam Duit Kalau Tak Nak Hilang Kawan
Sumber: Harian Metro / TikTok @ustaz.hj.taufik.ut
FT Image: Harian Metro / TikTok @ustaz.hj.taufik.ut