Sponsored Post

“Kami Sanggup Datang, Pikul Mangsa Ke Tempat Selamat” – Anggota Bomba

3.1K
SHARES

“Kami sedaya upaya membantu mengeluarkan mangsa banjir dengan segala yang kami ada. Kalau tiada sampan, kami sanggup datang dan pikul mangsa ke tempat selamat. Apakan daya, kami tidak mampu memuaskan hati semua orang,”.

Itu luahan Pegawai Operasi Zon 4 Selangor (Hulu Langat) Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Akmal Mohamad Khairi.

Bencana sangat luar biasa bataskan kerja menyelamat

Mohamad Akmal berkongsi luahan itu menerusi Facebook (Fb) miliknya susulan kritikan dilemparkan netizen terhadap anggota bomba yang dikatakan lambat bertindak dalam menyelamatkan mangsa banjir.

Menurut Mohamad Akmal, bencana yang berlaku ada kalanya sangat luar biasa hingga membataskan anggota melakukan kerja menyelamat mangsa ditambah lagi dengan kekangan ketika bertugas.

“Kami bertugas dengan anggaran tujuh hingga 12 anggota di setiap balai bagi satu syif. Apabila ada panggilan kecemasan banjir, kami semua akan bergegas ke lokasi panggilan yang pertama dahulu.

“Ketika berlakunya bencana, panggilan kecemasan yang masuk kebiasaannya akan bertalu-talu dan tanpa henti, itu tidak termasuk lagi panggilan terus ke telefon bimbit anggota dan pegawai.

“Tiada masa nak rakam video atau ambil gambar ketika bekerja”

“Persoalannya, bagaimana kami nak hadir 10 tempat berbeza dalam masa yang sama? Kami tiada masa untuk merakam video atau mengambil gambar ketika bekerja kerana kami sememangnya tiada masa untuk berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, anggota dan pegawai bertugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) ditetapkan.

Katanya, amalan JBPM sama seperti agensi lain iaitu mementingkan keselamatan terlebih dahulu sebelum melakukan tugas menyelamat bagi mengelakkan risiko pada diri sendiri mahupun rakan sepasukan.

“Ketika itu, masa dan peluang adalah amat terhad untuk kami bertindak. Bilangan anggota kami terhad, aset juga terhad.

“Satu pasukan penyelamat terpaksa memberi maklum balas beratus panggilan. Pada masa itu, kami akan utamakan kes yang boleh kami respon (beri maklum balas) bergantung kepada tahap bahaya dan risiko bakal dihadapi.

“Ada masanya, kami sanggup mengambil risiko tinggi demi menyelamatkan nyawa. Apabila berlakunya bencana, kami tidak tamatkan syif kami dengan balik tepat pada masa tetapi sanggup bekerja lebih masa tanpa mendapat apa-apa bayaran demi keselamatan nyawa (masyarakat) dan harta-benda anda.

“Saya bertugas di pejabat bomba mengikut waktu pejabat tetapi apabila terima panggilan kecemasan, saya perlu hadir ke lokasi tidak kira waktu dan masa. Tengah malam, pagi buta (awal pagi), hari cuti dan waktu rehat pun tetap akan hadir demi tugas,” katanya.

“Langsung tak dihargai, malah dituduh lembab & makan gaji buta”

Tambahnya, apabila berlakunya bencana, tugas selaku pegawai kanan sedikit berbeza dengan anggota kerana tiada syif.

Katanya, pegawai perlu bertugas merancang, mengkoordinasi dan mengawal tindakan operasi sehingga keadaan selesai.

“Kadang kala, memakan masa hingga lebih 48 jam lamanya. Kami terpaksa melupakan waktu rehat, saat bersama anak dan isteri serta penat jerih di pejabat kerana kami tahu, tugas kami masih belum berakhir.

“Bagaimanapun, apabila kami muncul membantu, tiada langsung sikap menghargai walau dengan ucapan terima kasih namun lebih teruk lagi pengorbanan kami dibalas dengan cercaan lambat, lembab, makan gaji buta dan macam-macam lagi.

“Fahamilah kami juga, kami juga manusia. Kami juga ada keluarga, batas kemampuan juga hati dan perasaan. Fikirlah dahulu sebelum berkata-kata,” katanya.

Katanya, pemergian enam anggota bomba akibat lemas ketika melakukan kerja menyelamat pada 2018 masih meninggalkan kesan mendalam buat semua sehingga kini.

“Enam sahabat seperjuangan kami pergi meninggalkan kami serentak. Hanya Allah yang tahu hati kami,” katanya.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×