Nama Malaysia Airlines sekali lagi mencuri perhatian di pentas antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Kakitangan Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia pada Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2026.
Lebih membanggakan, kru kabin syarikat penerbangan nasional itu turut berada di tempat ketiga dalam kategori Kru Kabin Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia, meningkat lima anak tangga daripada kedudukan kelapan pada 2025.
Pengiktirafan berkenaan hadir bersama beberapa pencapaian lain apabila Malaysia Airlines melonjak enam kedudukan ke tempat ke-21 dalam kategori Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia.
Baca juga: Nombor 1 Di Asia & Keempat Dunia! KLIA Jadi ‘Port’ Penerbangan Paling Terhubung Asia 2026
Kakitangan Malaysia Airlines Dinobat Terbaik Di Asia, Kru Kabin Tempat Ketiga Terbaik Dunia

Malaysia Airlines mengukuhkan kedudukannya dalam beberapa kategori pada Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2026 tahun ini.
Bukan satu, beberapa kategori berjaya diraih
Dalam keputusan Skytrax 2026, Malaysia Airlines turut menunjukkan peningkatan ketara dalam beberapa kategori lain.
Syarikat penerbangan itu naik daripada tempat keenam ke tempat kedua bagi kategori Perkhidmatan Lapangan Terbang Terbaik Dunia, selain membuat penampilan sulung di kedudukan ke-18 bagi kategori Syarikat Penerbangan Kelas Perniagaan Terbaik Dunia.
Bagi kategori Syarikat Penerbangan Kelas Ekonomi Terbaik Dunia pula, Malaysia Airlines berada di tempat ke-12 berbanding tempat ke-16 pada tahun sebelumnya.
Kedudukannya dalam kategori Syarikat Penerbangan Paling Bersih Dunia turut meningkat daripada tempat ke-12 kepada ke-11.
Pada peringkat Asia pula, Malaysia Airlines mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 10 terbaik dengan berada di tempat ke-10.
Baca juga: Elak Maraton Di KLIA! Ini Panduan ‘1st Time’ Naik Kapal Terbang, Ada 10 Proses Sebelum Berlepas
29 pesawat baharu sudah diterima

Gambar Facebook Malaysia Airlines: Malaysia Airlines mengukuhkan kedudukannya dalam beberapa kategori pada Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2026 tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata pengiktirafan ini mencerminkan usaha kolektif kakitangan di lapangan terbang, di atas kapal dan di belakang tabir, yang bekerjasama setiap hari untuk memberikan Hospitaliti Malaysia sepanjang perjalanan pelanggan.
“Kejayaan ini dicapai selepas bertahun-tahun mendaki kedudukan global secara konsisten, sekali gus satu pencapaian penting bagi syarikat penerbangan kebangsaan ini, selain satu ganjaran atas usaha gigih pasukan kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, pengalaman Malaysia Airlines turut dipengaruhi oleh semangat perkhidmatan yang mesra, bertimbang rasa dan konsisten.
Syarikat penerbangan itu juga akan terus menambah baik produk serta tawaran perkhidmatan dalam pesawat, selain mengembangkan rangkaian penerbangan bagi memberikan lebih banyak pilihan dan kesalinghubungan kepada pelanggan.
“Pembaharuan armada kekal sebagai bahagian penting dalam hal ini, dengan 29 pesawat baharu diterima setakat ini dan merancang untuk menambah armada kepada 117 pesawat moden menjelang 2035, sekali gus menambah kapasiti untuk menyokong pertumbuhan rangkaian.
“Ia juga disokong dengan tumpuan berterusan terhadap prestasi operasi, dengan prestasi tepat pada masanya purata 91.38 peratus setakat tahun ini, yang secara konsisten melebihi sasaran,” katanya.
Pencapaian berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan perniagaan jangka panjang MAG 3.0, yang menetapkan sasaran untuk Malaysia Airlines berada dalam kelompok 10 syarikat penerbangan global teratas menjelang 2030.
Baca juga: Tips Sebelum & Semasa Penerbangan Jarak Jauh Bersama Si Kecil, Baru Tak Pening!
Sumber: Berita Harian
