DIY & Kraf

7 Jenis Pokok Halau Nyamuk Yang Mudah Ditanam Di Rumah. Tak Payah Pakai ‘Ridsect’ Dah!

282
SHARES
pokok halau nyamuk

Cuaca tropika di Malaysia memang sinonim dengan nyamuk.

Apabila tiba musim panas, jumlah kehadiran nyamuk di laman kediaman semakin banyak lebih-lebih lagi jika ada kolam hiasan.

Ini kerana nyamuk membiak di kawasan ada takungan air, semak-samun dan sampah sarap.

Selain mengutamakan kebersihan persekitaran, salah satu cara yang mesra alam serta untuk menghalau nyamuk di kediaman adalah dengan menanam pokok halau nyamuk yang biasanya mengeluarkan aroma yang dibenci oleh serangga tersebut.

Di sini disenaraikan beberapa tanaman pengusir nyamuk yang mudah ditanam di rumah masing-masing.

7 Jenis Pokok Halau Nyamuk Yang Mudah Ditanam Di Rumah. Tak Payah Pakai ‘Ridsect’ Dah!

1. Serai Wangi (Citronella)

Mesti ramai dah tahu yang serai wangi biasa digunakan dalam semburan penghalau nyamuk dan juga serangga.

Pati citronella yang terkandung di dalamnya boleh menghalang bauan seperti karbon dioksida dan asid laktik pada manusia yang menarik nyamuk untuk mendekat.

Ia juga adalah salah satu bahan dalam essential oil yang memiliki pelbagai khasiat.

Oh ya, serai dan serai wangi ni ada beza tau.

Serai yang biasa kita masak tu nama botaninya (Cymbopogon citratus) ialah sejenis tanaman saka dari famili
Graminae/Poaceae atau kalau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai lemongrass.

Serai wangi pula nama botaninya ialah (Cymbopogon nardus) dan dikenali dengan nama citronella dalam bahasa Inggeris.

Foto Kredit: naturelovesyou.sg

Serai wangi digunakan pada bahagian luar tubuh manakala serai makan boleh dimakan.

Minyak yang dihasilkan dari serai wangi digunakan untuk membuat losyen (ubat disapu pada kulit), sabun dan juga untuk menghalau nyamuk.

Jadi kalau nak tanam atau beli anak pokok nanti, kenalah pilih yang betul ya!

pokok halau nyamuk

Foto Kredit: doterra.com

2. Pudina (Peppermint)

Tak kira sama ada segar atau kering, pudina mempunyai aroma yang dibenci oleh nyamuk.

Ia juga mengeluarkan bau yang menyegarkan dan menenangkan bagi manusia.

Anda boleh menanam pokok pudina di halaman untuk menghalau nyamuk atau buat pati minyak menggunakan daun pudina.

Salah satu cara membuat minyak pati pudina adalah dengan mengisar pudina dengan minyak masak serta sedikit air.

Cara nak tanam pudina pun senang sangat.

Cuma perlu tanam dari keratan macam contoh di bawah ni. Sekejap je dah rimbun!

[ Baca juga : ‘Simpulkan Batang Bagi Kukuh’, Ini Cara Tanam Pudina Paling Menjadi & Cepat Hidup ]

cara tanam pudina

3. Bunga Tahi Ayam (Lantana Camara)

Selalu kita nampak bunga ini sebagai hiasan kan?

Di sebalik rupanya yang cantik dan menyerlah, bunga tahi ayam atau Lantana Camara amat ‘ditakuti’ oleh nyamuk disebabkan oleh baunya yang agak kuat.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam Journal PLoS ONE (Public Library of Science) mendapati bukti saintifik bahawa tanaman ini berfungsi untuk mencegah nyamuk – khususnya yang diketahui membawa penyakit malaria di Afrika.

Di Amerika Utara, bunga tahi ayam sering ditanam berdekatan dengan sayur-sayuran dan buah-buahan bagi menghalang arnab dan rusa daripada memakan tanaman yang ada. Manakala di Asia pula, bunga tahi ayam digunakan untuk menghalau pelbagai serangga, termasuk nyamuk.

Selain mencantikkan halaman, bunga tahi ayam ini mudah hidup dan senang dijaga.

pokok halau nyamuk

Lantana camara aka pokok bunga tahi ayam. / Foto Kredit: Photo Science Library

4. Pokok Selasih / Kemangi

Pokok daun selasih dikenali sebagai basil dalam bahasa Inggeris.

Ia selalu dijadikan ulaman dan sering digunakan dalam masakan Thai. Sedap juga kalau buat topping pada pizza!

Kalau nak tahu, pokok selasih juga merupakan antara penghalau nyamuk semula jadi yang paling berkesan.

Aromanya yang sedikit menyengat menjadikan nyamuk benci akan tumbuhan ini.

Cara tanam pokok selasih adalah melalui keratan batang atau biji benih. Ia mudah hidup dalam cuaca tropika dan cepat membesar.

Pokok kemangi aka lemon basil juga dikatakan mempunyai fungsi yang serupa untuk menghindarkan nyamuk. Rupa kedua-dua pokok ini seakan sama, cuma berbeza sedikit pada warna bunganya.

5. Pokok Jeramin / Jeremin

Pokok Jeramin atau nama saintifiknya Pelargonium radula juga dikenali dengan nama gelaran seperti Pokok Halau Nyamuk, Pokok Jari Lima atau Geranium.

Walau pokok ini asalnya bukan tumbuhan asal dari Malaysia tetapi ia mudah ditanam dan mampu hidup subur jika dijaga dengan baik.

Seperti kebanyakan tumbuhan geranium yang lain tanaman jeramin ini memang mempunyai bau yang kuat apabila kita memegang daunnya.

Tumbuhan ini juga mudah dibiakkan dengan cara keratan batang.

Cara penjagaan tumbuhan ini ialah dengan meletakkannya di tempat yang agak redup seperti di dalam rumah kerana ia tidak boleh didedahkan secara terus kepada sinaran matahari yang terik.

6. Bunga Kantan

Nama saitinfiknya ialah etlingera eliator dan ia adalah antara tanaman yang digunakan dalam masakan seperti laksa dan nasi kerabu.

Bau bunga ini memang wangi dan dapat melazatkan makanan, namun ia juga dikatakan mampu mengusir nyamuk.

Pokok kantan boleh boleh ditanam dengan menggunakan rizom (ubi) atau biji benih.

pokok halau nyamuk

7. Pokok Zodia

Zodia atau nama saintifiknya Evolia suaveolens Scheff dari keluarga Rutaceae ini merupakan sejenis tumbuhan yang berasal dari daerah Irian (Papua).

Menurut Jabatan Pertanian Malaysia, perahan daun zodia menghasilkan minyak (essential oil) yang mengandungi bahan aktif evodiamine dan rutaecarpine yang mengeluarkan bau atau aroma yang cukup tajam hingga dapat menghalau serangga terutama nyamuk.

Tanaman zodia akan mengeluarkan bau atau aromanya apabila daunnya saling bergeselan antara satu sama lain ketika pohonnya bergoyang apabila ditiup angin. Meletakkan tanaman ini di sekitar tempat angin masuk ke dalam ruangan rumah akan menghindar kemasukan nyamuk.

Manakala rebusan daunnya juga berkeupayaan digunakan sebagai tonik penambah stamina tubuh. Selain itu, kesan gigitan nyamuk dikatakan akan cepat sembuh dan hilang bengkaknya jika disapu dengan daun zodia.

Air rebusan batang zodia turut digunakan sebagai alternatif untuk meredakan demam malaria.

pokok halau nyamuk

Jom Tanam Kat Rumah!

Wah, rupanya ada banyak pokok halau nyamuk yang mudah ditanam di Malaysia kan?

Selain mencantikkan dan menghijaukan halaman rumah, sesetengahnya boleh juga digunakan untuk masakan.

Senang dah tak payah ke pasar lagi.

Lepas ni bolehlah mak-mak tanam dekat rumah ya!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×