Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun. Jadi, sistem tempahan janji temu pemberian vaksinasi kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun melalui aplikasi MySejahtera akan dibuka pada hujung bulan ini.
Baca juga: #PICKids: Senarai Kumpulan Kanak-Kanak Layak Terima Suntikan Vaksin Covid-19
JANJI TEMU VAKSIN KANAK-KANAK BERMULA HUJUNG BULAN
Menurut laporan BH Online, menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan perkara itu berkata sebagai permulaan ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak mereka sebagai tanggungan dalam aplikasi berkenaan.
Walau bagaimanapun, tempahan janji temu vaksinasi bagi golongan berkenaan akan dibuka secara berperingkat bermula hujung bulan ini untuk mereka yang tinggal di Lembah Klang.
“Pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun akan diadakan pada 3 Februari 2022 di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.
“Tempahan janji temu vaksinasi bagi kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun akan dibuka secara berperingkat bermula 31 Januari 2022 dan dibuka kepada ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang dahulu.
“Perincian mengenai akses kepada sistem tempahan janji temu akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.
KKM menyasarkan 70 peratus kanak-kanak lima hingga bawah 12 tahun dalam sistem pendidikan dapat diberikan dos satu vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan pada awal Februari 2022 dan 80 peratus akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan pelaksanaan.
Sumber: BH Online