Famili

Ingin Minta Cerai Dari Suami? Isteri Tunggu Dulu, Baca Nasihat Pakar Ini!

11.6K
reads
Ingin Minta Cerai Dari Suami? Isteri Baca Dulu Nasihat Pakar Ini!

Aku Ingin Minta Cerai Dari Suami

[infobox]Segmen ini kelolaan Nur Qaseh Amin[/infobox]

Aduan Dari Pengirim

Rumahtangga kami telah berusia lebih daripada 10 tahun. Sepatutnya kami saling memahami tapi pernah bercerai pada tahun awal perkahwinan kerana suami sering memukul saya. Saya sendiri yang menfailkan tuntutan cerai itu. Saya berusia 20-an ketika itu dan tidak kuat menghadapi dugaan sebegitu, boleh dikatakan masih mentah dalam kehidupan berumahtangga.

Sunyi, Sendirian di Rumah

Menyedari kesilapan itu, saya bersetuju untuk rujuk kembali dengan harapan suami saya tidak mengulangi perbuatan yang sama.  Kini telah lebih 10 tahun telah berlalu, saya bersyukur kerana suami saya tidak lagi memukul saya seperti dulu. Namun saya masih lagi teruji dengan perbuatan suami. Selama tempoh ini, suami saya jarang berada di rumah bersama saya dan anak-anak. Saya sering berasa sunyi dan saya juga tiada kawan-kawan yang benar rapat dengan saya.

Bagi saya, saya mengharapkan agar suami sebagai sahabat dunia dan akhirat saya. Hampir setiap hari saya akan hubungi suami saya yang selalu balik lewat bertanyakan lokasinya, apa yang sedang dilakukan dan bila dia akan pulang ke rumah. Namun amat mengecewakan apabila pertanyaan saya hanya mengundang kemarahannya.  Dia mengatakan saya penyibuk.

Lama kelamaan saya telah mula tawar hati untuk menghubunginya. Saya sudah jadi tidak peduli tapi jauh di sudut hati saya, saya ingin jadi seperti isteri-isteri orang lain yang mengharungi kehidupan rumahtangga bersama suami tersayang.

Suami Gaji Kecil

Sebagai seorang isteri, saya amat memahami bahawa pendapatan suami memang tidak mencukupi. Bukan ingin mengungkit tetapi saya buat pinjaman untuk kereta kegunaan suami sedangkan saya hanya gunakan motor walau ketika sedang sarat mengandung. Saya tidak kisah gaji bulanan saya habis janji saya disayangi suami tapi saya makin kecewa dengan sikap suami.

Keluar awal pagi dan pulang lewat pagi. Berjumpa anak-anak sejam sehari saja. Wang belanja rumah juga cukup susah untuk saya dapatkan. Banyak kali juga diminta, barulah dapat itupun tidak cukup apabila saya kira perbelanjaan sebenar untuk rumah dan anak-anak.

Peramah Dengan Orang, Pendiam Dengan Isteri

Suami saya peramah orangnya. Ramai yang mengenalinya mungkin terkejut mengetahui dia seperti orang asing dengan saya. Dia jarang bercakap dengan saya dan langsung tidak pernah berbual dengan saya. Saya rasa pelik. Kami sudah cuba mengikuti sesi kaunseling di pejabat agama. Dia akan berubah jadi baik sebentar dan kemudiannya kembali kepada sikap asalnya.

Jadi saya minta diceraikan kalau benar dia tidak sayangkan saya. Tapi dia tidak mahu kerana katanya, dia sayangkan saya. Tapi kalau sayang, mengapa die berkelakuan sebegitu rupa?

Cerai Jalan Terakhir

Kali terakhir saya pergi dapatkan nasihat di pejabat agama, saya tidak nampak jalan penyelesaian yang lain kecuali penceraian. Atas sokongan pegawai tersebut, saya telah menfailkan cerai tapi pada pendapat pegawai tersebut, besar kemungkinan suami saya tidak akan ceraikan saya dan mungkin dengan cara ini, ia memberi amaran untuk suami saya berumah dan rumahtangga kami akan lebih bahagia. Tapi kalau sebaliknya, saya redha dengan takdir Tuhan.

Yang Bermasalah,

‘Identiti pengirim terpaksa dilindungi untuk tujuan keselamatan’

Solusi Dari Pakar

[infobox]Persoalan pengadu ini telah dijawab oleh Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Puncak Alam, Selangor. Maklumat lanjut mengenai beliau ada di bahagian akhir artikel ini.[/infobox]

Solusi buat pengirim,

Sekadar memahami masalah yg diceritakan, saya yakin ada sesuatu yang mungkin tak disukai suami tetapi masih dilakukan oleh kita. Kadang mungkin kita terlepas pandang, sebab ia dah jadi sikap kita. Saya tak kata ia adalah satu kesalahan. Sebab kadangkala ada perkara yg tak salah pada isteri, tetapi disalah faham oleh suami sebagai satu kesalahan.

Sebenarnya, Suami Masih Sayang

Ini kerana, suami sebenarnya masih sangat sayangkan isterinya. Buktinya, dia masih tidak mahu menceraikannya, tidak curang, tidak memukulnya lagi, malah masih sanggup untuk berbincang dan bertemu kaunselor untuk penambahbaikan kebahagiaan bersama. Sesetengah lelaki tidak akan bersikap begini kalau tidak sayangkan isterinya.

Solusinya, cuba perhalusi dan cari apakah sebenarnya faktor utama yang menjadikan suami kita terasa hati dan mungkin tidak suka dengan perbuatan kita di rumah. Boleh cuba rujuk dalam tulisan saya dalam buku Takluk Hati Pasangan dan cuba kenalpasti kesalahan yang kita boleh jadi terlepas pandang.

Suami Mungkin Terasa Hati

Ada banyak perbuatan yang kita rasa remeh malah bukan suatu kesalahan, tetapi itulah yang menjadi punca suami terasa hati dan konflik berpanjangan. Kita ternanti-nanti suami berubah, pada masa yang sama juga suami ternanti-nanti juga kita berubah. Contoh, terlalu ambil berat bertanya itu dan ini, setiap masa juga sesuatu yang menyakitkan hati suami, kerana itu suami memahami sebagai mengongkong atau tidak percayakannya.

Juga boleh rujuk dan teliti tips menegur pasangan kita dalam buku saya Dakwah Biar Santai Tapi Sampai, juga In Shaa Allah bermanfaat untuk atur strategi berkesan dalam membahagiakan hidup kita.

Cerai Itu Masalah

Ketahuilah, perceraian akan jadi masalah baru, ia bukanlah penyelesaian. Apatah lagi dalam kes ini, kedua-duanya masih sangat saling sayang menyayangi. 10 tahun hidup bersama adalah sesuatu yang berharga untuk kita lupuskan, semata-mata kerana silap faham. Perceraian akan membawa lebih banyak kesedihan dalam hidup kita.

 

5 Tips Kembalikan Kekuatan Hati Wanita Yang Terdera Emosi

Sebenarnya, banyak yang positif dan perkara yang perlu kita syukuri dalam kes ini.

  1. Ingat kembali kebaikan suami yang telah diberikan kepada kita. Misalnya, dulu suami kaki pukul, kemudian sudah berubah tidak lagi memukul isteri.
  2. Suami masih balik ke rumah walaupun tidak mengikut masa yang isteri jangkakan.
  3. Suami masih memberikan nafkah, walaupun dalam keadaan kita tahu suami benar-benar tidak berkemampuan.
  4. Membuang jauh egonya untuk berbincang dan berjumpa dengan kaunselor. Ketahuilah bahawa hal ini adalah sesuatu yang sangat menjatuhkan ego seorang lelaki.
  5. Pengakuannya yang masih sangat menyayangi kita juga adalah sesuatu yang sangat berharga malah saya yakin banyak lagi kebaikan suami untuk kita bersyukur dan hiduplah dengan positif.

 

3 Faktor Suami Jadi Orang Asing Dalam Hidup Isteri

Banyak faktor dan punca yang boleh menyebabkan lelaki terasa hati dengan perbuatan kita, sama ada sengaja atau tidak sengaja.

  1. Saya cadangkan cuba fahami fitrah suami dan kaedah yang boleh menggembirakan suami kita.
  2. Teknik ini banyak memberi kesan yang positif kepada suami, kerana apabila ia bahagia dengan kita, lebih mudah ia mendengar suara kita. Malah lebih terbuka untuk melakukan sesuatu yang dia tahu boleh menggembirakan kita.
  3. Bahagiakan pasangan kita, jika kita inginkan bahagia! Boleh lebih lanjut rujuk dan fahami pelbagai fitrah suami isteri dan tips memenangi hati pasangan kita, insyaallah suami yang bahagia akan segera ingin balik ke rumah, merindui orang yang membahagiakannya.

[infobox]

prof-madya-ustaz-dr-mohd-nor-mamat-uitm-ikim

Beliau seorang penulis buku “Takluk Hati Pasangan” dan “Dakwah Biar Santai Tapi Sampai”. Beliau juga merupakan kolumnis majalah Keluarga dan Majalah-I dari Karangkraf. Seorang pendakwah dan penceramah bertauliah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan fasilitator bertauliah kursus perkahwinan.

PROF MADYA DR HJ MOHD NOR MAMAT,

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar),
Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Puncak Alam Selangor.

Facebook: facebook.com/usmohdnoor

[/infobox]

Yang Popular

To Top