Rumah tangga harmoni sudah tentunya menjadi impian setiap pasangan berkahwin. Namun, tidak semua perkara dapat menjadi realiti dan ada isteri minta cerai kerana tidak bahagia bersama suami.
Tindakan ini sudah tentunya menjadi tanda tanya mengenai hukum kerana adakah perbuatan itu diterima di sisi Allah atau sebaliknya.
Baca juga: Beli Rumah Subsale Yang Bukan Orang Islam Duduk, Perlu Sertu Atau Tidak?
HUKUM ISTERI MINTA CERAI SEBAB TAK BAHAGIA DENGAN SUAMI
Sudah menjadi fitrah manusia untuk sentiasa berkasih sayang sesama pasangan seperti firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.” (Surah al-Rum: 21)
Walau bagaimanapun, di sebalik kebahagiaan rumah tangga pasti ada pasang surutnya dan konflik sehingga menyebabkan isteri rasa stres, tidak dihargai dan ingin bercerai.
Sebelum ingin meminta cerai, perlu diingatkan agar anda sedaya upaya mempertahankan institusi kekeluargaan. Keadaan yang dibenarkan syarak untuk meminta cerai adalah:
1. Suami tidak menjalankan tanggungjawabnya seperti memberi nafkah yang wajib.
2. Suami memukul/mencederakan tubuh badan isteri tanpa sebab yang sah.
3. Suami di penjarakan dalam suatu tempoh masa yang lama dan isterinya menderita kerana perkara itu dan menuntut cerai.
Pendapat Malikiyyah menunjukkan menuntut cerai itu dibolehkan kerana dianggap hilang tanpa uzur selama setahun.
Bagi menjawab persoalan di atas, seseorang isteri tidak boleh meminta cerai dari suami tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Walau bagaimanapun, isteri dibenarkan untuk menuntut pembubaran perkahwinannya apabila dia tidak lagi menyukai suaminya dan bimbang perasaan benci itu akan menyebabkannya derhaka kepada suaminya.
Sekiranya hubungan rumah tangga melalui jalan buntu dan hanya perceraian sahaja penyelesaiannya, maka rujuklah ke mahkamah syariah bagi permohonan cerai yakni melalui fasakh atau khuluk.
Semoga segala isu dapat diselesaikan dengan aman damai.
Baca juga: Lelaki Ini Kongsi Tips Hafal Al-Quran, Satu Keluarga Boleh Cuba!
Sumber: Maktabah Al-Bakri