Famili

Inilah 5 Watak Penting Yang Memberi Kesan Dalam Kehidupan Seorang Anak

41
SHARES

Pepatah ada mengatakan “anak adalah umpama kain putih dan ibubapa yang mencorakkannya”. Berdasarkan pepatah ini, kita dapat faham bahawa segala kelakuan dan perlakuan anak-anak adalah bergantung kepada ibubapa yang mendidik mereka.  Selain ibubapa yang merupakan watak utama, masih banyak lagi watak-watak penting yang memainkan peranan dalam mendidik mereka supaya menjadi insan yang berguna. Jom kita baca perkongsian ini dengan lebih lanjut dan jadikan sebagai panduan!

WATAK-WATAK PENTING DALAM KEHIDUPAN SEORANG ANAK

1) IBU

http://quranicgen.com/

Lahirnya seorang bayi ke dunia ini begitu asing, tanpa mengetahui apa-apa tentang kehidupan. Dalam kekeliruan itu, seorang bayi tertanya-tanya adakah dia boleh mempercayai dunia yang asing ini? Dalam kegelisahan itu, seorang bayi juga tertanya-tanya adakah dia boleh mempercayai sosok-sosok tubuh seumpama gergasi yang sering berdamping?

“Selamatkah saya di sini?”
“Adakah sosok ini akan hadir jika saya memerlukan?”
“Adakah sosok ini akan melindungi saya kiranya saya ketakutan?”
“Adakah sosok ini akan memeluk saya di kala saya kedinginan?”

Ketika usia awal ini, yang tidak asing bagi seorang bayi hanyalah sosok yang bernama ibu. Suara belaian seorang ibu sudah biasa didengari sebelum dunia dikenali. Itulah sosok yang menenangkan dan membahagiakan seorang bayi. Ibulah yang menjadi pendorong tumbesaran dan perkembangan seorang bayi. Bukan hanya kerana ibu menyusukan, tetapi ibu juga melahirkan rasa selamat dalam diri bayi terhadap dunia dan segala isinya.

http://www.m.sehatmagz.com/

Apabila seorang bayi boleh mempercayai seseorang, bayi akan belajar untuk mempercayai orang lain juga kemudiannya. Perhubungan positif di antara seorang bayi dengan orang sekelilingnya akan membantu proses tumbesaran dan perkembangan yang seterusnya. Jika bayi sering merasa ketakutan kerana tidak dipeduli, perasaan ragu dan tidak percaya akan mempengaruhi perkembangannya.

Ibu, belailah bayi anda.

2) AYAH DAN IBU

hellosehat.com

Apabila seorang anak kecil mula pandai mengatur langkah membawa tubuh, dia akan mula meneroka untuk memahami dirinya.
Dia tertanya-tanya siapakah dirinya apabila berada di kalangan mereka yang percaya dan peduli tentangnya? Dia tercari-cari kemampuan dirinya dengan cuba melakukan sesuatu dengan sendirinya. Dia mahukan kuasa untuk berdikari kerana kakinya sudah berupaya untuk membawanya ke mana-mana yang diingini tanpa bantuan lagi. Dia mahukan peluang untuk terus meneroka kerana dia sering tertanya-tanya tentang apa yang dilihatnya, didengarinya, disentuhnya, dihidunya, dan dirasanya.

“Adakah diri saya berupaya?”
“Adakah saya boleh dan dibenarkan untuk menjadi diri saya sendiri?”

http://www.taranatureepa.co.id/

Pada usia ini, jika anak diberi peluang dan kepercayaan oleh ayah dan ibu untuk meneroka, dia akan membina keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan dirinya sendiri. Dia yakin bahawa dirinya mampu dan berupaya kerana diberi peluang oleh dua insan yang rapat dengannya. Jika penerokaannya sering dihalang dan jika peluang tidak diberikan untuk dia berusaha dengan sendirinya, dia akan ragu dengan keupayaan dirinya dan akan sentiasa mengharapkan pertolongan dan bantuan walaupun untuk sesuatu yang mudah.

Ayah dan ibu, luangkanlah masa untuk bersama-sama dengan anak kecil anda. Peluang ini hanya sekali dan tidak akan berulang lagi.

3) KELUARGA, PENGASUH, DAN PENDIDIK

sg.theasianparent.com

Apabila pergerakannya sudah lancar dan tutur kata anak sudah berkembang dengan pesat, dia semakin galak meneroka dan bereksprimentasi dengan persekitarannya. Dia akan mencuba pelbagai perkara yang baru dengan menggunakan imaginasi dan kreativiti semulajadi yang dimilikinya.

Bagaimana benda bulat bergolek?
Apa yang berlaku jika saya jatuhkan cawan ini?
Kenapa warna bertukar apabila dicampurkan?
Dia akan cuba mencari jawapan kepada segala kemusykilan yang ada dalam dirinya.

Jika pada peringkat sebelum ini keyakinan diri terbina kerana dia diberi peluang untuk berdikari dan berusaha dengan ssendirinya, dia akan lebih bersemangat untuk mencuba tanpa gentar untuk melakukan kesilapan. Dia tahu kesilapan adalah peluang untuk dia belajar. Dia tahu kesilapannya akan dibimbing dan dipandu.

http://sakinahamid.com/

“Adakah apa yang saya lakukan ini betul?”
“Adakah usaha saya ini berbaloi dan dihargai?”

Jikalau anak terus diberi galakan untuk mencuba dan berusaha oleh individu yang rapat dengannya, dia akan mula mengenali minat dan kelebihannya. Jikalau usahanya dipandang sepi dan tidak dihargai, dia akan merasa rendah diri. Jikalau dia sering dimarahi kerana bereksperimentasi untuk memahami persekitarannya, dia akan berhenti untuk meneroka minat dan kelebihan yang dimilikinya. Pudarlah sudah keunikan dirinya yang perlu dibaja dan diteroka.

Ayah, ibu, pengasuh dan pendidik, berilah ruang dan peluang untuk anak meneroka mencari potensi diri.

4) SEKOLAH DAN KEJIRANAN

http://www.gpsbestari.com/

Tujuan anak melangkah kaki ke sekolah adalah untuk mengenalpasti dan memperkukuhkan lagi minat dan kelebihan diri yang dimiliki. Anak akan sedar yang setiap rakan adalah berbeza-beza dan tidak mempunyai minat dan keupayaan yang sama. Anak mahu supaya mereka dilayan dengan adil dan saksama walaupun mempunyai minat dan keupayaan yang berbeza-beza.

“Adakah keupayaan saya dapat menyumbang kepada orang di sekeliling saya?”
“Adakah saya boleh berjaya dan selamat dengan minat dan kemampuan saya?”

Jikalau usaha dan keupayaan anak mendapat pengiktirafan dari guru dan rakan, anak akan menjadi lebih gigih untuk menyumbang. Anak akan berusaha dengan lebih baik untuk mencapai potensi diri kerana keunikannya dihargai dan diperlukan. Jikalau minat dan kelebihannya tidak dihargai, jikalau yang diterima hanyalah maklumbalas yang negatif kerana tidak ‘unik’ seperti orang lain, dia akan hilang semangat untuk menjadi dirinya sendiri. Dia akan terus mencari ruang untuk mempamerkan keupayaan dirinya supaya ia diterima dan dihargai.

http://www.ohmedia.my/

Malangnya ruang yang dicari ini termasuklah juga di kalangan mereka yang akan memudaratkan dan merosakkan anak itu. Bagi anak, yang penting asalkan dia diterima seadanya. Di kala inilah akan bermulanya kepincangan dalam hidup seorang anak jika dia tidak dibimbing sebaiknya.

Ayah dan ibu, terimalah dan sayangilah anak tanpa syarat. Guru-guru, lihatlah kelebihan,dan keunikan seorang anak itu dan hargailah kebaikannya. Imam, ketua kampung dan bandar, santunilah anak-anak ini dengan penuh adab dan kasih sayang.

5) RAKAN SEBAYA DAN IDOLA

http://erapeterina.blogspot.my/

Remaja adalah usia yang penuh kekeliruan. Sebagai remaja, anak mempunyai pelbagai tugas untuk dipikul. Dialah anak, dialah rakan, dialah pelajar, dialah juga anggota masyarakat. Ramai yang keliru dengan identity diri kerana pelbagai tugas yang perlu dipikul ketika ini. Anak sedar dia bukan lagi kanak-kanak dan dia juga perlu sedar yang pengalaman dan pengetahuan belum melayakkan dirinya sebagai seorang dewasa.

“Siapakah saya?”
“Di manakah tempat saya?”
“Apakah peranan saya?”
“Siapakah yang memahami dan boleh membantu saya?”

Jika ayah dan ibu membimbing dan memberi sokongan, anak akan lebih yakin dan kental dalam menongkah arus yang penuh cabaran. Jika jiwa remajanya itu dipandu supaya dapat menyumbang, dia menjadi anggota yang positif dalam masyarakat.
Jika dia dibiar hanyut tanpa panduan, dia akan bertambah keliru dan merasakan dirinya kehilangan. Kala ini ayah dan ibu bukan lagi watak yang utama dalam hidupnya, dia lebih tertarik untuk bersama teman sebaya dan idola yang akan mempengaruhi hala tujunya. Kerana bagi remaja sebegini, ayah dan ibu datangnya dari dunia asing yang tidak memahami siapa diri mereka.

www.planbox.com

Ayah dan ibu, dampingilah anak remaja anda kerana mereka seumpama layang-layang. Mereka perlu dilepas jauh supaya berupaya terbang tinggi menggapai awan, tetapi adakalanya mereka perlu ditarik kembali supaya tidak putus, melayang dan terus hilang.

Artikel ini adalah hasil perkongsian Noor Afidah Abu Bakar, Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK) di laman Facebooknya.

Sumber: Parent Connect

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×