Telur masin merupakan antara bahan masakan yang digemari ramai. Pelbagai juadah dimasak menggunakan telur masin sebagai bahan asas masakan. Ketam telur masin, chicken salted egg, sotong telur masin dan pelbagai lagi antara masakan yang menggunakan telur masin sebagai bahan asas masakan.
Selain itu, ada juga sesetengah orang menghidangkan telur masin juga sebagai lauk untuk dimakan bersama nasi. Nasi kerabu antara yang terkenal menyediakan telur masin sebagai lauknya. Tetapi ada sesetengah orang juga yang keliru di antara telur masin dan telur padi atau telur asin ini. Sulaiman Bin Sa-ee melalui laman Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni berkongsi tentang perbezaan antara telur masin dan telur padi ini.
Telur Padi Juga Dikenali Sebagai Century Egg
Memandangkan ada sesetengah orang yang masih keliru antara telur masin dengan telur padi, di sini saya ada sedikit info berkenaan telur padi ini. Sedap makan dengan bubur. Telur Padi (Cina ringkas: 皮蛋; pinyin: pídàn) juga dikenali sebagai telur pindang Cina, telur seratus tahun, telur seribu tahun, telur seabad, telur sealaf, telur kulit dan telur hitam ialah produk makanan Cina yang diawet dan menjadi makanan istimewa yang dibuat dengan memeram telur itik, ayam atau telur puyuh ke dalam campuran tanah liat, abu, garam, kapur, dan sekam padi selama beberapa minggu hingga beberapa bulan, bergantung kepada kaedah pemprosesan.
Melalui proses itu, kuning telur menjadi hijau gelap kepada warna kelabu, dengan konsistensi berkrim dan rasa yang kuat kerana hidrogen sulfida dan ammonia yang hadir, manakala bahagian putihnya menjadi coklat gelap, jeli lutcahaya dengan rasa masin. Agen transformasi dalam telur padi adalah garam alkali, yang secara beransur-ansur meningkatkan pH telur sekitar 9-12, semasa proses pengawetan. Proses kimia ini memecahkan beberapa protein kompleks dan lemak tanpa rasa, yang menghasilkan pelbagai sebatian rasa kecil yang lebih halus.
Sesetengah telur mempunyai corak berhampiran permukaan putih telur yang disamakan dengan cabang pokok cemara atau pain, yang menimbulkan salah satu nama Cinanya, telur corak pain. Semoga kakak-kakak jangan tersalah beli. Kalau salah beli pun jangan dibuang. Cuba-cuba la makan. Mana tahu next time nak lagi. Kalau makan dengan Mee Belacan memang menu paling enak. Boleh lah cuba masak telur ini sepanjang Ramadhan ini!
Sumber : Sulaiman Bin Sa-ee