Asuh

Hebatnya Perkembangan Bayi Sejak Lahir. Cerdas & Cerdik!

954
reads
Hebatnya Perkembangan Bayi Sejak Lahir. Cerdas & Cerdik!

Perkembangan Bayi Sejak Lahir

Ada yang mungkin mengatakan, apa pentingnya mendidik anak di awal usia? Mereka mengganggap anak-anak belajar secara semulajadi. Tidak perlu dipimpin dan tidak perlu diajar.

Oh sungguh meleset tanggapan itu! Anak-anak yang kecil inilah yang perlu diberi petunjuk. Mereka memerlukan ibubapa serta guru di dalam kehidupan mereka. Sentuhan, kasih sayang, perhatian dan belaian adalah termasuk di dalam bab pendidikan awal anak-anak.

Ketahui fungsi otak bayi kita. Otak mereka sangat hebat menyerap segala info, perlakuan, perbuatan, serta percakapan kita. Contoh paling mudah untuk mengetahui bagaimana otak seorang bayi itu berfungsi adalah dengan membanding Bayi A dan Bayi B yang hidup di dalam dua keadaan yang berbeza.

 

Bayi A – Suasana Positif

Bayi A hidup dengan didikan ibu bapanya yang penuh kasih sayang dan aura positif. Walau sekecil-kecil perkara seperti memberikan sesuatu kepada ahli keluarga yang lain, mereka memberi dengan cara yang baik. Saling mengucapakan terima kasih dan membalas senyuman. Natijahnya Bayi A membesar menjadi seorang anak yang kuat jati dirinya dan sentiasa positif di dalam kehidupan.

 

Bayi B – Suasana Negatif

Bayi B pula hidup dalam keadaan yang penuh dengan suasana negatif. Ibu bapa mereka saling bertempik dan mencampakkan barang. Tidak mengucapkan terima kasih dan kurang bersentuhan. Natijahnya Bayi B membesar menjadi anak yang kurang jati diri, tidak yakin dan sentiasa negatif di dalam kehidupannya.

 

WHO Growth Chart 2005 dari Enfagrow Indonesia

Gambarajah di bawah ini serba sedikit menerangkan pertumbuhan dan perkembangan anak kita.

hebatnya-otak-perkembangan-bayi-anak

 

Apa berlaku pada tiga tahun pertama?

Tiga tahun pertama dalam kehidupan kanak-kanak merupakan waktu di mana perkembangan otak berlaku dengan pesat. Walaupun perkembangan otak terus berlaku selepas itu tetapi tiga tahun pertama merupakan waktu yang paling kritikal. Ketika ini otak lebih fleksibel dan bersedia untuk mempelajari sesuatu. Berat otak bayi ketika dilahirkan ialah 25% daripada berat otak orang dewasa. Ketika mencapai usia 3 tahun, otak bayi telah berkembang menjadi berjuta- juta sel (yang terdiri dari neurons dan sel-sel otak yang lain).

Sel-sel ini kemudiannya bercantum untuk membentuk berjuta-juta “jalinan” (synapses). Jalinan antara sel ini kemudian membentuk pusat kawalan yang kompleks bagi perkembangan mental, emosi, fizikal dan spiritual.

 

Jadual tahap perkembangan bayi dan anak kecil yang lebih mudah

Foto Kredit: sayangianak.com

Foto Kredit: sayangianak.com

 

Belajar menangkap bunyi

Pengalaman-pengalaman awal, samada positif atau negatif yang dialami oleh bayi dan kanak-kanak mempunyai kesan terhadap pembentukan sel-sel otak. Hanya jalinan sel-sel yang sentiasa digunakan sahaja yang kekal. Perkembangan bahasa merupakan satu contoh terbaik untuk menunjukkan otak beroperasi mengikut perinsip tersebut. Pada usia 3 bulan, otak bayi berupaya membezakan pelbagai bunyi percakapan. Beberapa bulan selepas itu, otak mula belajar mengenali bunyi yang didengarinya. Pada peringkat awal, otak bayi mampu menyimpan bunyi yang pernah didengarinya.

 

Belajar bahasa ibunda

Ini menjadi penyebab mengapa kanak- kanak lebih mudah mempelajari pelbagai bahasa selain dari bahasa ibunda. Pada umur 10 tahun kebolehan ini semakin berkurangan dan jika masih tidak digunakan ia akan terus hilang. Kanak-kanak yang berumur 10 tahun ke atas masih mampu mempelajari bahasa asing tetapi memerlukan usaha yang lebih. Kita boleh bayangkan ketika berusia seperti kita, mampukah kita mempelajari bahasa asing dengan mudah semudah kanak-kanak di bawah usia 10 tahun?

 

Rangsangan & pengaruh ibu-bapa

Oleh kerana perkembangan otak bayi berkembang dengan aktif dan bayi pula sentiasa berada bersama ibubapa pada peringkat awal, maka tidak hairanlah ibu-bapa mempunyai pengaruh yang kuat terhadap perkembangan mereka. Sentuhan, pendengaran dan semua benda yang dilihat dan dihidu oleh bayi membantu pembentukan jalinan sel-sel otak. Sebab itulah ibubapa digalakkan meransang kesemua deria bayi dengan penuh kasihsayang untuk memastikan otak berkembang dengan sempurna.

Perkembangan otak akan terhenti sekiranya ransangan tidak diberikan secara berterusan. Kanak-kanak yang dibesarkan tanpa ransangan yang sempurna biasanya mempunyai otak yang kecil berbanding dengan kanak- kanak yang mendapat ransangan dan didedahkan kepada pelbagai pengalaman. Para doktor mendapati, kanak-kanak yang dibesarkan di persekitaran yang kurang ransangan, otak mereka lebih menyerupai otak pesakit “Alzheimer’s“. Binatang-binatang yang dipelihara di zoo memunyai otak 20% – 30% lebih kecil daripada binatang-binatang liar yang hidup di hutan.

 

Kajian saintifik

Satu kajian yang telah dibuat ke atas 1000 orang kanak-kanak yang terbiar tanpa ransangan, sentuhan, kasihsayang dan pengalaman yang sedikit dengan alat-alat permainan (toys). Kajian tersebut mendapati kanak-kanak tersebut mempunyai otak 20% – 30% lebih kecil dari kanak-kanak yang sebaya mereka yang mendapat ransangan sempurna. Separuh daripada kanak-kanak tersebut di dapati bahagian otak yang tidak mendapat ransangan telah hilang begitu saja.

Satu lagi kajian mendapati, kanak-kanak yang mengalami trauma seperti di dera dan melihat pembunuhan yang ngeri, mengalami kesan fizikal dan emosi yang berterusan walaupun kejadian itu telah lama berlalu. Kanak-kanak yang trauma ini mempunyai debaran jantung yang kuat, kadar hormon “stress” yang tinggi dalam darah dan mengalami gangguan tidur. Semua ini adalah disebabkan pengalaman ngeri yang mereka alami yang kekal tersimpan di dalam otak mereka. Sekiranya trauma ini tidak ditangani dengan baik, kanak-kanak tersebut akan mengalami masalah emosi, tingkah laku dan pembelajaran.

Kajian juga menunjukkan, anak yang membesar tanpa didikan dan contoh tauladan daripada seorang insan bernama ayah akan menyumbang anak itu kepada terjerumusnya dia ke arah kebejatan sosial. Mereka kekurangan panduan dan tunjuk ajar. Anak yang membesar dengan didikan ayah dan ibu yang sempurna akan menjadikan anak itu mempunyai jati diri yang kuat.

 

Bagaimanana perkembangan otak bayi terbantut?

Bayi dan kanak-kanak akan mempelajari sesuatu melalui interaksi dengan persekitaran. Bayi menangis ketika lapar dan tidak selesa, Apakah tangisan itu mendapat perhatian atau sebaliknya? Sekiranya ibu-bapa memberi respon yang positif terhadap tangisan dan memenuhi keperluannya, bayi itu akan merasa selamat (secure) dan memfokuskan perhatian untuk meneroka persekitarannya. Ini akan membantu perkembangan otak bayi tersebut.

Sebaliknya, kalau tangisan dan keperluannya tidak mendapat perhatian dan tidak dihiraukan ataupun mendapat perhatian secara negatif (seperti herdikan atau tengkingan), bayi tersebut akan merasa tidak selamat dan memfokuskan seluruh perhatiannya untuk memastikan keperluannya dipenuhi. Ini akan menyebabkan bayi tersebut akan hilang tumpuan dan mengalami kesukaran untuk berinteraksi dengan persekitaran (manusia dan objek). Lama kelamaan, sekiranya keadaan ini berterusan perkembangan otak akan terbantut.

Jom kita mulakannya sekarang! Wujudkan suasana famili yang berkasih sayang dan positif bagi membina anak yang sihat fizikal dan mentalnya.

Yang Popular

To Top