Penggunaan santan kelapa dalam masakan di Malaysia terutama dalam kalangan kaum Melayu adalah sangat popular. Tambah pula ketika bulan puasa dan musim perayaaan seperti Hari Raya Aidilfitri, majoriti menu yang dimasak adalah menggunakan santan. Namun, katanya harga santan kelapa ini bakal melonjak?
Terbaharu, harga kelapa dan santan di negara ini dijangka meningkat pada bulan Ramadan disebabkan bekalan di pasaran tidak menentu serta penetapan harga oleh pembekal.
Baca juga: 12 Tips Penggunaan Santan Segar, Kotak & Serbuk Dalam Masakan
HARGA SANTAN KELAPA DIIJANGKA MENINGKAT RAMADAN 2025

Foto: Santan Segar Temerloh
Menurut laporan Malaysia Gazette yang menemu bual peniaga kelapa dan santan di Pasar Selayang, harga bahan mentah itu meningkat lebih 50 peratus iaitu RM2.80 sebiji berbanding RM1.80 sejak bulan September tahun lalu. Pemilik kedai santan ini juga berkata, 20 tahun lalu kelapa tempatan mudah diperoleh dan harga yang dijual pembekal hanya RM0.60 sebiji jika dibandingkan pada tahun ini.
Beliau yang sudah berniaga lebih 18 tahun berkata, buat masa ini dia memperoleh bekalan hampir setiap hari tetapi dengan kuantiti yang kecil berbanding sebelumnya dan dihantar oleh pembekal dua minggu sekali. Menurutnya lagi, bekalan kelapa sudah mula berkurangan sejak tiga bulan lalu dan kebanyakan yang ada diimport dari Indonesia.
“Disebabkan itu, pembekal menaikkan harga kelapa atas faktor kos penghantaran dari negara jiran,” katanya.
Menurut kepakarannya dan pengalamannya dalam berniaga kelapa dan santan, pelanggan sebenarnya lebih suka kelapa tempatan yang ditanam di Bagan Datuk, Sabak Bernam dan sekitarnya kerana berkualiti, segar, muda, lemak dan kepekatan santan yang dihasilkan.
Hal ini berbeza dengan kelapa yang ditanam di Indonesia kerana kualitinya kurang, isinya nipis, tua serta keras kerana tempoh dari petik hingga dihantar ke kedai mengambil masa seminggu dan dibiar berjemur. Jika bekalan tempatan terus berkurangan, menjelang Ramadan dan perayaan nanti akan memberi kesan kepada para pengguna.
Katanya, jika kekurangan bekalan ini tidak ditangani, menjelang Ramadan dan perayaan akan datang akan memberi kesan kepada para pengguna.
Penggunaan kelapa juga tidak tertumpu kepada masakan juga malah air kelapa muda turut dijadikan minuman yang berkhasiat serta enak. Menurut seorang peniaga air kelapa muda yang ditemui pihak Malaysian Gazette, dia turut terkesan dengan harga kelapa yang semakin meningkat berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan.

Foto: Freepik
*Malah, ramai yang tidak sedar bahawa bekalan kelapa ini sudah berkurangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2021 lagi. Kalau santan kurang, macam mana nak makan ketupat, rendang dan macam-macam lagi?
Baca juga: Akhirnya Jumpa ‘Rahsia’ Arwah Mak Masak Nasi Lemak Susah Basi & Sambal ‘Kick’, Sedapnya!
Sumber: Malaysian Gazette