Dalam kehidupan berkeluarga, ada kalanya ibu atau ayah perlu kerja outstation demi mencari rezeki. Walaupun perkara ini biasa berlaku, anak-anak tetap akan merasai kekosongan apabila ibu bapa tiada di rumah.
Perkongsian seorang ibu ini menarik perhatian ramai apabila dia menunjukkan bagaimana anak sulungnya cuba memahami situasi tersebut dengan cara yang tidak dijangka, tetapi sangat bermakna.
RUTIN SI ANAK KIRA PAKAIAN SEBELUM DADDY PERGI KERJA OUTSTATION

Tangkap layar video di TikTok Farralinna.
Perkongsian tersebut dimuat naik oleh seorang ibu dikenali sebagai Farralinna menerusi akaun TikTok miliknya, dan video itu pantas meraih perhatian ramai kerana aksi spontan si anak yang begitu teliti walaupun masih kecil.
Setiap kali daddy outstation, abang akan kira baju dalam beg
Menurut Farralinna, anak sulungnya yang berusia 7 tahun, Daniel Rizqi, mempunyai tabiat unik setiap kali ayahnya keluar bekerja di luar kawasan. Setiap kali suaminya bersiap untuk bertugas, si abang akan membuka beg ayahnya dan mula mengira jumlah pakaian yang dibawa.
Daripada situ, dia akan membuat anggaran sendiri berapa lama ayahnya akan meninggalkan rumah.
“Begitulah sekarang perangai abang, setiap kali daddy outstation, dia akan buka beg daddy dan kira berapa baju daddy, seluar daddy, boxer daddy,” jelasnya dalam video tersebut.
Lebih mencuit hati, jika ayahnya pulang lewat daripada jangkaan, anaknya akan segera bertanya dengan penuh rasa ingin tahu.
“Ibu, kenapa daddy tak balik lagi? Kan daddy outstation 2 hari saja, abang kira spender daddy ada 2 je,” ujar si sulung.
Gelagat spontan itu bukan sahaja membuatkan si ibu tersenyum, malah mengundang rasa simpati kerana jelas menunjukkan betapa anak kecil itu sangat merindui ayahnya.
Seorang ibu kepada tiga anak, faham benar perasaan anak rindukan ayah
Menurut Farralinna kepada Siraplimau, suaminya yang bekerja sebagai seorang QC dan kadangkala perlu menjalankan tugasan di luar kawasan. Situasi ini menyebabkan anak-anak, terutama si sulung, akan mula menunjukkan reaksi rindu apabila ayah mereka tiada di rumah.
Sebagai ibu kepada tiga orang anak mereka, Farralinna mengakui bukan sahaja anak yang sedih, malah dirinya juga turut tersentuh melihat reaksi anak setiap kali ayah mereka keluar bekerja.
“Bukan anak saja sedih, ibu pun sedih tengok abang macam ini,” tulisnya pada kapsyen video tersebut.

Tangkap layar video di TikTok Farralinna.
Ramai ibu bapa kongsi pengalaman sama, ada yang kira hari ayah balik
Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya turut berkongsi pengalaman hampir sama apabila anak-anak mereka menjadi sangat sensitif apabila ayah perlu bekerja jauh dari rumah.
Ada yang berkongsi bahawa anak mereka akan bertanya setiap hari, malah ada juga yang mengira hari atau tarikh kepulangan ayah dengan penuh teliti.
Antara perkongsian yang menarik perhatian:
“Anak sulung saya kalau ayahnya tak ada, memang selalu tanya bila ayah nak balik. Bila suruh call ayah tak nak pula, tapi tetap rindu,” kongsi seorang pengguna.
“Kalau anak saya, dia tak kira baju tapi kira tarikh berapa haribulan papa nak balik,” tulis seorang lagi.
Ada juga yang berseloroh mengatakan anak mereka akan menelefon ayah berkali-kali setiap hari kerana terlalu rindu. Walaupun kedengaran lucu, situasi ini sebenarnya menggambarkan hubungan emosi yang sangat kuat antara anak dan ibu bapa.
Sebagai ibu bapa, momen seperti ini mungkin nampak kecil, tetapi ia mencerminkan kasih sayang dan kebergantungan anak kepada keluarga.
Walaupun tugasan kerja memerlukan pengorbanan masa, reaksi anak-anak seperti ini sering menjadi penguat semangat untuk terus berusaha demi masa depan mereka.
Kadangkala, cara anak menzahirkan rindu memang sederhana. Ada yang menunggu di pintu, ada yang bertanya setiap hari dan ada juga yang mengira jumlah baju dalam beg ayah. Lucu, tetapi penuh makna.
@shopwithme.farralinna bukan ank je sedih, ibu pon sedih tgk abg mcm ni 🥲🥹 #yzxcba #fyp #fyppppppppppppppppppppppp #anaksulung #pjjlife ♬ Air mata ibu dato siti nurhaliza – Izzam shah ➴͜͡T.E RESOURCES
Sumber: TikTok @shopwithme.farralinna
FT Image: TikTok @shopwithme.farralinna
