Cikgu Jamaliah bukan sekadar seorang guru Matematik yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, tetapi seorang isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata yang kepergiannya meninggalkan luka besar dalam hati keluarga serta mereka yang mengenalinya.
Kisah tragis yang berlaku pada 14 April lalu, turut dirakam penuh emosi oleh suaminya sendiri, Farid.
CORETAN SUAMI MENGGAMBARKAN CIKGU JAMALIAH WANITA KIRIMAN SYURGA

Gambar: Facebook Ahmad Ahmad
Mengimbas kembali hari kejadian, Farid melalui catatannya sempat berkongsi detik-detik terakhir bersama Allahyarham yang disifatkannya sebagai wanita kiriman dari syurga.
Difahamkan pada hari tersebut, Cikgu Jamaliah dipercayai terlupa untuk menjemput anak ketiganya dari rumah pengasuh selepas mengambil anak kedua, walaupun lokasi itu sebenarnya berada di laluan yang sama.
Dakapan terakhir sebelum masing-masing keluar mencari rezeki
Pada pagi kejadian, suasana dilihat seperti hari biasa bagi keluarga kecil itu. Namun siapa sangka, itulah hari terakhir Cikgu Jamaliah berada di dunia.
“Pagi itu, Selasa 14/4/2026, dakapan terakhir kuat erat, sebelum masing-masing keluar menjalankan tugas dunia hari itu penghabisan dunia untuknya, mungkin dia tahu, mungkin.
“Sejadah dan telekung selepas selesai Zuhur terakhir juga aku biarkan, terletak elok di situ sampai saat ini.
“Lebih kurang jam 3 petang aku call “Babah on the way balik ni, babah angkut la Abang Youk dengan adik sekali. “Eh tak apa babah, nanti umi nak ambil”
“Biasa kami selalu tengok siapa yang cepat balik dialah yang ambil anak. Kadang-kadang kalau kedua-dua tidak sempat, tumpang yati , isteri ajib. Kadang-kadang kakak ambil si Farouk. Aku ok jer lah, aku terus balik rumah.
“Sampai rumah bersiap-siap untuk solat Asar. Kebiasaan kalau balik kerja awal memang aku suka pergi masjid awal sedikit. Baring-baring sekejap di penjuru belakang kanan, port favourite di masjid sebelum aku hendak azan Asar.
“Bunyi enjin kereta , Farouk masuk rumah, tapi bunyi kereta keluar balik dari garaj. “Eh mana adik, mana umi?”
“Umi lupa nak singgah ambil tadi , umi keluar balik ambil adik”
“Oh okay Youk.” Biasanya lepas ambil Farouk balik sekolah agama 3.30 petang akan terus singgah rumah Mak Nah, pengasuh Fahri sebab sejalan. Tapi kali ni pelik. Umi lupa,” coret Farid.
Panggilan jam 3.53 petang yang merubah segalanya
Sekitar jam 3.53 petang, satu panggilan daripada rakan sekampung mengubah segalanya.
“Selang beberapa minit , dalam jam 3.53 petang kawan sekampung aku panggil Macha aka Azri Mostapa telefon. “Mat , kau datang simpang Mat sekarang! Bini kau accident.”
“Selalu kalau aku dapat berita sesiapa kemalangan atau apa-apa kecelakaan aku ni kelam-kabut. Serius, tanyalah semua orang, aku ni memang jenis clumsy! Super clumsy.
“Tapi petang itu aku rasa ada satu Little Boy aka bom atom Hiroshima menuju tepat ke kepala engkau tapi kau stay. Kau macam “biar lah, aku pasrah je lah..”
“Aku capai kunci Vespa, aku tinggal Farouk di rumah tanpa cakap ap-apa. Aku rasa dia tengah mengunyah karipap ketika itu. Aku terus ke simpang tempat kejadian yang jaraknya lebih kurang 1 kilometer sahaja dari rumah .
“Aku double stand moto, pergi ke kereta yang aku namakan Fred. Sudah 13 tahun umur Fred.
“Umi dalam kereta dan orang awam cuba bantu keluarkan. Mungkin ada tersepit kaki umi, akhirnya berjaya keluarkan kaki umi, aku terus rangkul dia.
“Kaki aku yang retak tu aku lupa, aku lupa kaki aku sakit, ada satu bunyi dekat buku laliku, prap !Kuasa ALLAH, kakiku boleh menapak tanpa rasa sakit dan denyut.
“Betul kuasa ALLAH. Kun faya kun yang semua wajib imani. Aku duduk disitu, aku riba umi. Aku rasa nadi dan jantungnya. Hati kecilku berkata “Umi….”
“Mata sudah tertutup, muka kaki tangan sudah pucat. Aku tanya orang awam sudahkah menghubungi 999 dan mereka berkata sudah.
“Aku tanya bolehkah hantar terus tak payah tunggu. Bapa kawanku Diana, Wak Hamid yang rumah mereka paling dekat dengan tempat kejadian terus drive Perodua Alza miliknya. Aku angkat umi masuk kereta duduk kerusi belakang dengan bantuan orang awam.
“Terima kasih Diana dan orang awam jagakan aurat isteri,” coretnya lagi.

Gambar: Facebook Ahmad Ahmad
Pemergian cikgu jamaliah yang meruntun jiwa
Menurut Farid, tiada setitis darah atau kecederaan luaran yang kelihatan pada tubuh isterinya. Semuanya tampak bersih.
Namun takdir telah tertulis. Pada jam 4.46 petang, Cikgu Jamaliah disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman serius akibat kemalangan jalan raya. Doktor mengesahkan punca kematian sebagai komplikasi trauma dalaman termasuk patah tulang rusuk dan klavikel.
“Aku gerak ke Hospital Pontian. Aku , Wak Hamid dan umi. Aku pangku umi , aku tenung mukanya. Aku tenung sedalam-dalamnya. Aku tengok kaki tangan muka apa semua. Tiada darah, cedera atau luka apa segala.
“Bersih, bersih, ALLAH, ALLAH,ALLAH.”
“Terima kasih Wak Hamid.” Aku peluk Wak Hamid dan dia berlalu selepas pasukan kecemasan hospital turunkan umi dalam kereta .
“Encik tunggu di luar sekejap ya, kami akan buat prosedur “ Kata salah seorang staf hospital.
Tidak lama selepas itu Nazri ,Cikgu Hana dan kakak datang. Mungkin ada deka-dekat hospital selepas balik kerja, mungkin.
“Kawan-kawan rapat arwah pun ada. Kak Liza, Kak Ayu, Kak Chik pun ada call. “Nazri, Abang Farid solat Asar sekejap. Apa-apa call.”
“Ngam-ngam selepas beri salam kedua , Nazri call dengan suara cemas. “Abang farid baik kau datang sini cepat”
“Ya, aku sudah reda dah since aku rangkul badan umi dekat kereta tadi sebenarnya. Aku sudah reda.
“Innalillahiwainnailaihirojiun, umi meninggal dunia pada jam 4.46 petang kerana kecederaan cardiac tampo nade due to road traffic incident. Tulang klavikel dan rusuk patah agak teruk.
“Tidak ada darah sedikit pun keluar daripada badan umi semasa dimandikan. Cuma post mortem tetap dijalankan kerana prosedur mengesahkan sebab kematian,” jelasnya.
“Jamaliah Aris, the real wanita kiriman dari syurga” – suami
Isteri yang taat kepada suami, begitulah sifat yang menggambarkan keperibadian Cikgu Jamaliah. Kini isterinya sudah tiada di sisi, namun Farid reda dengan pemergian insan tersayang dan berjanji akan terus membesarkan serta mendidik tiga cahaya mata mereka.
“Tiada yang berlaku di atas dunia ini tanpa sebab, semua sudah tertulis di Luh Mahfuz .Babah reda umi dan ujian-ujian sebegini sebenarnya sinonim dengan babah sejak kecil lagi.
“Insya-ALLAH, babah cuba yang terbaik untuk keluarga kita. Membesarkan dengan semampunya Abang Malik, Abang farouk dan Adik Fahri .Tiga orang itu matang sebelum usia, harta dunia akhirat kita sayang.
“Babah rasa tidak ralat, babah dapat berada di sisi umi sampai umi pergi. Paling babah bersyukur, babah dapat imamkan umi.”
“Babah dapat bagi dan terima kasih sayang yang tiada berbelah bagi daripada umi. Terima kasih sayang, terima kasih.
“Babah halalkan segala-galanya walau umi tidak pernah langsung berdosa apatah lagi derhaka kepada babah. Meninggi suara pun tidak pernah, jauh sekali menengking mahupun mengherdik babah. Langsung tidak.
“Umi, babah menahan sebak. Tidak pernah cakap tidak kalau babah minta apa-apa , walau babah minta masak nasi goreng pukul 12.30 malam selepas balik kerja. Umi tetap gosok mata dan bangun umi masakkan. Kuku tangan dan kaki babah pun umi keratkan.
“Sampaikan salam babah pada emak dan bapak ya sayang .
“Babah cintakan umi kerana ALLAH, the real wanita kiriman dari syurga, Jamaliah Aris. 12/10/1989 – 14/4/2026,” kongsinya.
Terdahulu, Cikgu Jamaliah atau nama sebenarnya Jamaliah Aris dilaporkan maut dalam satu kemalangan jalan raya yang membabitkan kereta dipandunya dengan sebuah lori di Kilometer 2.2 Jalan Sri Menanti–Parit Sikom, Pontian sekitar jam 4.15 petang.
Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pontian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes kini disiasat pihak polis bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
@im.nia.__alfatihah JAMALIAH BT. ARIS 🤲🏻semoga cikgu tenang dekat sana nanti, satu sekolah sedih pemergian cikgu, last cikgu cakap dekat saya “elok elok putri nanti jawab kertas math, jangan main main tahun ni awak last year, buat yang terbaik, nanti lulus math tunjuk cikgu” rupanya itu kata kata terakhir cikgu cakap dekat saya….♬ bunyi asal – ꧁ 𝑹.𝒌𝒂𝒚_𝑶𝒇𝒇𝒊𝒄𝒊𝒂𝒍 ꧂ – ꧁ R.kay_OfficiaL ꧂
Sumber: Facebook Ahmad Ahmad / Harian Metro
FT Image: Facebook Ahmad Ahmad
