Euforia Bola 2026
Kerjaya

[VIDEO] Dr. Farah Kongsi Pengalaman Eksklusif Pergi Kerja Naik Helikopter Di Sabah, Rawat Gigi Penduduk!

pergi kerja

Perkongsian seorang doktor gigi di Threads mengenai pengalaman pergi kerja menggunakan helikopter ke kawasan pedalaman Sabah mencuri perhatian ramai pengguna media sosial kerana jarang berlaku dalam kehidupan seharian orang biasa.

Kisah Doktor Gigi Norfarah Hidayah Ismail, 28, ini menjadi tular selepas beliau memuat naik beberapa gambar dan video perjalanan uniknya ke lokasi tugas yang jauh di kawasan pedalaman Sabah.

Baca juga: Airbus Kongsi Foto Malaysia Dari Angkasa Lepas, Netizen Terpukau Siap ‘Detective Mode’ Teka Lokasi!

PERGI KERJA NAIK HELI, DR. FARAH KONGSI CERITA EKSKLUSIF BERSAMA SIRAPLIMAU

pergi kerja

Gambar: Dr. Farah

Perkongsian di Threads jadi perhatian ramai

Menerusi hantaran di Threads @fongifarah, Dr. Farah berkongsi pengalaman pergi kerja dengan kapsyen ringkas yang cukup menarik perhatian, “POV: You’re a government dentist working in Sabah.”

Perkongsian itu turut disertakan dengan beberapa gambar dan video yang menunjukkan beliau menaiki helikopter untuk ke kawasan pedalaman, sekali gus membuka mata ramai tentang realiti tugasan petugas kesihatan di Sabah.

Kena naik helikopter ke kawasan pedalaman

Dalam perbualan bersama Kool FM, Dr. Farah menjelaskan bahawa perjalanan ke kawasan seperti Penampang dan Keningau memerlukan penggunaan helikopter kerana faktor jarak dan akses jalan yang mencabar.

“Sebenarnya kalau nak pergi sini (pedalaman), di mana kami cover bahagian Penampang dan Keningau, kalau dari KK memang jauh. Jadi, kalau nak cepat atau perjalanan itu sejam memang kena naik helikopter,” katanya.

Menurut beliau, setiap operasi rawatan biasanya dijalankan di sekolah-sekolah kerajaan yang menjadi lokasi tumpuan penduduk setempat.

“Sebenarnya setiap tempat yang kami pergi ini, selalunya ke sekolah yang berdaftar dengan kerajaan dan liaise dengan KKM juga. Kami diberi masa dari pagi sampai tengah hari saja, sebab tengah hari itu sudah kena terbang pulang semula.

“Sebelum ini pun dah ada ramai doktor yang pergi, jadi kami dah ada rekod, dah ready nak berapa pesakit kami attend,” Dr. Farah.

Apabila ditanya tentang perasaan pertama kali mengetahui perlu pergi kerja menggunakan helikopter, Dr. Farah mengakui beliau berasa teruja.

“Alhamdulillah, sebenarnya memang saya nak pun,” katanya.

Baca juga: Ini 3 Negeri Tawar Gaji Paling Tinggi Di Malaysia & Sektor Paling ‘Hot’ Untuk Cari Kerja

pergi kerja

Gambar: Dr. Farah

Rutin kerja di Sabah bukan sekadar di klinik

Dalam temu bual eksklusif bersama penulis Sirap Limau, Dr. Farah yang bertugas di Klinik Pergigian Putatan, Sabah menjelaskan bahawa tugasan ke pedalaman tidak berlaku setiap hari, sebaliknya mengikut jadual berkala setiap bulan.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa rawatan di kawasan pedalaman bukan hanya tertumpu kepada murid sekolah semata-mata. Sebaliknya, pasukan pergigian turut merawat semua peringkat umur termasuk kanak-kanak, dewasa, warga emas dan bayi.

“Cuma kebetulan rawatan kami di sesetengah kampung akan berada di sekolah kerana sekolah merupakan tempat penduduk di pedalaman senang berkumpul, selain kami menggunakan fasiliti di sekolah seperti kelas, kerusi dan meja di kelas untuk menjalankan rawatan kami.

“Bagi sesetengah kampung yang tiada sekolah, kami akan membuat rawatan di pondok pondok yang berdekatan dengan rumah penduduk di pedalaman,” kongsinya lagi.

Ujarnya lagi, pasukan pergigian akan dihantar ke kampung-kampung pedalaman untuk memberikan rawatan menyeluruh kepada penduduk. Antara rutin kerja di lokasi ialah:

  • Saringan dan pendaftaran pesakit
  • Pemeriksaan gigi
  • Tampalan dan cabutan
  • Rawatan kecemasan
  • Pendidikan penjagaan kesihatan pergigian

“Kami akan cuba merawat seramai mungkin pesakit sebelum kembali semula,” jelasnya.

Sebab perlu pulang naik helikopter pada tengah hari

Dr. Farah turut menjelaskan bahawa waktu pulang yang ditetapkan bukan secara suka-suka, sebaliknya berpunca daripada faktor cuaca dan keselamatan penerbangan.

Laluan helikopter perlu merentasi kawasan Banjaran Crocker yang mudah terjejas oleh kabus tebal dan angin kuat pada waktu petang.

“Kami perlu terbang pulang pada waktu tengah hari kerana faktor cuaca… kami terpaksa terbang awal sebelum awan tebal menutup laluan pulang,” katanya.

Keadaan geografi Sabah yang mencabar menjadikan helikopter antara pengangkutan paling penting untuk memastikan rawatan sampai kepada komuniti pedalaman.

Pengalaman berkhidmat di kawasan pedalaman

Selain menaiki helikopter, Dr. Farah turut berkongsi pengalaman lain termasuk perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang mengambil masa sehingga 6–8 jam melalui laluan off-road dan bermalam di sekolah pedalaman untuk memberi rawatan pergigian kepada penduduk di sana.

Menariknya, beliau turut menceritakan detik santai bersama rakan sejawatnya seperti berpeluang mandi di sungai yang bersih selepas selesai tugasan.

“Team kami dapat juga mandi sungai yang sangat bersih dan sejuk di kampung pedalaman selepas siap buat rawatan. Ya lah, bila di pedalaman, air sungainya memang bersih dari sebarang pencemaran,” ujarnya di akhir soalan.

AMARAN!

Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Siraplimau bersama pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman portal yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.

Baca juga: Kerja Dah Lama Sampai Rambut Beruban Tapi Gaji Tak Naik Juga, Ini Puncanya Yang Ramai Tak Tahu!

Sumber: Threads @fongifarah / Instagram @koolfmmalaysia

FT Image: Doktor Norfarah Hidayah

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×