Siapa sahaja yang tidak melakukan aktiviti bermain selepas pulang dari sekolah kan? Pasti akan ada sahaja tingkah laku nakal bersama rakan-rakan dan ada juga yang sampai pulang malam ke rumah gara-gara leka bermain. Namun, bagi adik ini apabila berlaku satu kejadian yang memalukan gara-gara bermain kon jalan. Sampai terlekat kepala dibuatnya!
Baca juga: ‘Tunggulah Besar’- Bahaya Hias Bayi Dengan Barang Kemas, Risiko Muka Calar & Kena Culik!
GARA-GARA MAIN KON
Satu kejadian berlaku di Pontian, Johor apabila seorang pelajar lelaki sebuah sekolah rendah di sini mengalami detik cemas apabila sebuah kon terlekat di kepalanya.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK II) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Mohd Ezal Azma, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.28 tengah hari dan dengan bantuan enam anggota, kon itu dipotong dengan peralatan khas dan dapat dikeluarkan 26 minit kemudian.
Menurut laporan Berita Harian, difahamkan pelajar berusia 10 tahun bersekolah sesi pagi dan kejadian berlaku ketika dia hendak pulang ke rumah.
“Ketika bermain bersama rakan lain dalam kawasan sekolah, mangsa memasukkan kon ke kepalanya yang mengakibatkan gagal dikeluarkan,” katanya.
“KENANGAN DIK!”
Sudah tentu ramai dalam kalangan netizen yang terhibur dengan perkara ini. Ada juga yang mengatakan bahawa insiden ini akan menjadi kenangan sampai usianya tua kelak. Bukan itu sahaja, ada yang mengatakan bahawa disebabkan peristiwa inilah adik tersebut berminat menjadi anggota bomba!
Sumber: Berita Harian, Johor Gazette