Sihat

Dah Bersalin Banyak Kali Tapi Tak Pernah Tengok Uri. Ini 9 Perkara Anda Mungkin Tak Tahu

1.8K
SHARES
fakta tentang uri plasenta

“Aku ni dah beranak 3 kali tapi tak pernah tengok uri ni depan-depan mata. Yalah, bila dah bersalin terus nurse bagi dekat suami untuk diuruskan dan ditanam.”

Kebanyakan ibu tentu tahu apa itu uri atau nama saintifiknya, plasenta. Uri ini boleh dikatakan sebagai ’tilam’ atau ‘peneman’ bayi semasa hamil. Tapi mungkin tak ramai yang benar-benar menyedari akan keunikan dan kepentingannya sepanjang proses kehamilan.

Jadi, apa kata kita kenali dengan lebih mendalam tentang beberapa fakta tentang uri.

9 Fakta Menarik Tentang Uri / Plasenta

1. Ia Membuat Anda ‘Moody’

Bila mengandung, orang selalu kata ‘hormon tak stabil’ dan emosi pun ‘ke laut’. Padahal usia kehamilan baru saja beberapa minggu, takkanlah baby yang sebesar benih pun boleh buat kita rasa serba tak kena.

Sebenarnya, uri andalah yang bertindak sebagai kelenjar yang mengeluarkan pelbagai jenis hormon untuk memastikan bayi dapat bertumbuh dengan baik.

Antara hormon yang dirembeskan oleh uri termasuklah:

Hormon hCG (Human Chorionic Gonadotropin): Hormon ini meningkat dan memuncak pada akhir trimester pertama. Hormon hCG selalunya dikaitkan dengan morning sickness yang cenderung berlaku pada trimester pertama.

Hormon Estrogen: Hormon estrogen meningkatkan peredaran darah dan menggalakkan perkembangan rahim. Ia juga menstimulasikan pertumbuhan tisu pada payudara sebagai persediaan untuk proses penyusuan.

Hormon Progesteron: Membantu mengekalkan dinding rahim untuk proses implantasi dan seterusnya menyokong proses kehamilan dengan menyediakan persekitaran yang selamat untuk bayi dalam kandungan.

Human Placental Lactogen: Hormon ini berfungsi mempercepatkan metabolisme ibu hamil kerana kehamilan memerlukan begitu banyak tenaga!

Foto Kredit: ixil.info

2. Ia Menghantar Makanan Kepada Bayi

Apa yang ibu makan bukanlah terus disalurkan kepada bayi. Sebaliknya, tubuh anda akan memecahkan makanan tersebut di mana proteinnya akan memasuki aliran darah.

Nutrisi yang terkandung di dalam aliran darah inilah kemudiannya dihantar kepada bayi melalui uri dan tali pusat bayi.

3. Ia Bekerja Keras & Membuat Anda Letih!

Percaya tak, dalam setiap minit kehamilan anda, kira-kira 500ml darah akan dihantar ke rahim untuk bertukar nutrisi melalui uri. Tak kiralah walaupun anda sedang tidur atau berehat, uri anda akan tetap bekerja keras.

Wah, tak hairanlah ibu-ibu boleh berasa cepat letih semasa mengandung, kan?

Foto Kredit: sumedico.com

4. Ia ‘Bernafas’ Untuk Bayi

Selain menghantar makanan, bayi anda mendapat 100% oksigen melalui uri yang dihantar kepada tali pusat bayi dan seterusnya masuk ke saluran darah bayi.

Jadi apabila anda bernafas, anda sebenarnya bernafas untuk bayi juga!

Foto Kredit: marinaradiology.com.au

5. Ia Adalah Organ Yang Terhasil Daripada Ibu & Ayah

Apa yang uniknya tentang uri ini adalah ia bukanlah organ yang dimiliki oleh ibu seorang. Sebaliknya, ia merupakan organ yang terhasil daripada persenyawaan telur dan sperma. Sel-sel yang melalui proses pembahagian ini seterusnya akan membentuk blastocyst. 

Blastocyst inilah kemudiannya akan membentuk uri dan juga bayi.

perkembangan bayi

Sperma dalam tiub Falopio. / Foto Kredit: ennartnilsson.com

6. Ia Adalah Satu-satunya Organ ‘Pakai Buang’

Jika tadi anda dah tahu bagaimana uri ini terbentuk dalam tubuh ibu, anda tentu faham kenapa ia digelar sebagai organ ‘pakai buang’.

Setelah memenuhi segala fungsi dan tugasnya dalam ‘menjaga bayi’, uri ini juga akan dilahirkan (dikeluarkan daripada rahim ibu). Maksudnya, bila dah habis tugasnya, ia pun turut sama keluar daripada tubuh bersama dengan bayi.

Setiap kehamilan baru, terbentuklah satu uri baru yang diciptakan khas untuk membekalkan oksigen, makanan, serta keperluan bayi tersebut.

Foto Kredit : shumis.net

7. Membekalkan Antibodi & Imuniti

Semasa dalam kandungan, bayi akan menerima antibodi melalui uri. Antibodi ini membantu membekalkan perlindungan kepada sistem imunitinya. Setelah bayi dilahirkan, bayi akan terus menerima antibodi melalui susu ibu.

Menariknya, apabila uri keluar bersama bayi, tubuh secara automatiknya akan mencetuskan penghasilan hormon prolaktin. Hormon prolaktin inilah yang bertanggungjawab menghasilkan susu ibu.

Foto Kredit: curacaochronicle.com/

8. Ajaibnya, Ia Tak Perlukan Isyarat Daripada Otak

Inilah satu lagi keajaiban uri atau plasenta. Berbeza dengan organ-organ lain dalam badan, ia tidak memerlukan sebarang isyarat daripada otak untuk berfungsi. Ini kerana, ia tidak memiliki sebarang sel saraf tetapi dapat terus berkembang sepanjang kehamilan.

Keguguran kandungan

Foto Kredit: Screengrab dari YouTube

9. Beratnya Boleh Mencecah 700g Ketika Lahir

Ketika cukup bulan, uri yang pada awalnya terbentuk daripada persenyawaan sel telur dan sperma secara anggarannya memiliki berat sekitar 500-700g manakala bendalir amnion atau air ketuban pula boleh mencapai berat kira-kira 800g.

Foto Kredit: whattoexpect.com

Hebatnya Fungsi Uri!

Kalau sebelum ini mungkin kita kurang mengenali apa itu uri secara terperinci, sekarang ini ibu-ibu tentu akan lebih menghargai dan mengagumi kehebatan organ ini.

Ternyata, walaupun organ ini tidak se’popular’ organ lain, tetapi ia amat besar fungsinya dalam memastikan seluruh proses kehamilan anda baik dan sihat.

Jadi, walaupun anda tak pernah melihatnya, sekurang-kurangnya anda kini tahu peranannya dalam menjayakan kelahiran si kecil yang comel!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×