Bersalin

Suami Kena Faham 6 Sebab Ibu Menyusu Cepat Letih Di Bulan Ramadhan

33.4K
SHARES

“Aduh, dahlah cuaca panas terik, tak larat betul badan puasa-puasa ni… Rasa nak duduk rehat je sampai berbuka nanti. Kenapa letih sangat ya, padahal dah sahur makan nasi semua cukup.”

Bagi ibu yang pertama kali berpuasa semasa menyusukan bayi, anda pasti merasakan kelainan menyambut Ramadhan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Proses menyusu badan itu sahaja merupakan suatu tugas yang tidak mudah. Apatah lagi kali ini anda perlu melakukannya sambil berpuasa, bukan?

Bukan saja mengeluh dan bukan pula mengada-ngada. Ini 6 faktor yang perlu Encik Suami fahamkan bila isteri anda menyusu badan.

6 Sebab Ibu Menyusu Cepat Letih Di Bulan Ramadhan

1. Rasa Haus Yang Luarbiasa

Perasan tak, setiap kali bayi menghisap puting, kita akan terasa haus. Kadangkala masa mengepam pun akan rasa haus. Hausnya bukan dibuat-buat, rasa kering betul tekak dan bibir. Bukannya rasa teringin nak milo ais, kathira, atau apa-apa minuman yang fancy di bazar Ramadhan, cuma haus nak minum air kosong.

Sebenarnya kajian telah mendapati bahawa proses penyusuan badan mungkin akan menyebabkan pembebasan hormon oksitoksin yang menstimulasikan respon haus badan sistem saraf tunjang. Selain itu, tubuh ibu menyusu juga akan mengantisipasi rasa haus ketika setiap kali menyusu disebabkan oleh kehilangan cecair dalam badan bagi mengekalkan homeostasis.

ibu menyusu berpuasa

Foto Kredit: Deposit Photos

2. Ibu ‘Bekerja’ Lebih Untuk Hasilkan Susu

Menurut BabyCenter, kebanyakan ibu menyusu akan berasa extra lapar kerana tubuh anda perlu ‘bekerja’ sepanjang masa untuk menghasilkan susu yang cukup bagi keperluan bayi.

Menurut sumber, rata-rata ibu menyusu akan menghasilkan 24-28 ounce susu setiap hari, iaitu dengan menggunakan sekitar 500 kalori setiap hari. Sebahagian kalori ini dibakar daripada tisu lemak yang tersimpan dalam tubuh, manakala sebahagian lagi dibakar daripada makanan yang diambil setiap hari.

Foto Kredit: jezebel.com

3. Cepat Lapar

Rasa lapar atau hunger pangs yang sering berlaku setiap kali isteri anda menyusukan bayi sebenarnya merupakan respon tubuh untuk memberi isyarat supaya ibu-ibu makan lebih banyak.

Ini kerana, ibu menyusu memerlukan sekitar 1800 hingga 2200 kalori setiap hari bagi memastikan bekalan susu kekal banyak. Disebabkan itu, ibu memerlukan sekitar 300 hingga 500 kalori lebih banyak semasa menyusukan bayi berbanding biasa.

punca lapar

Foto Kredit: mirror.co.uk

4. Penat Layan Karenah Bayi & Anak Kecil

Kalau dah nama menyusukan bayi, dah sah-sahlah ada bayi untuk dijaga. Siapa kata jaga bayi tak penat? Walaupun ibu menyusu nampak ‘santai’ menyusukan bayi sambil berbaring atau tertidur, tak ramai yang memahami keletihan yang dilalui untuk menjaganya – tukar lampin, mandikan bayi, menidurkannya, mendukungnya hampir setiap masa dan menenangkannya.

Itu pun belum kira kalau ada anak-anak lain yang perlu dilayan dan kerja-kerja rumah yang perlu dilakukan. Memang tak menang tangan! Jadi, Encik Suami kenalah lebih prihatin ya.

Foto Kredit: romper.com

5. Mengepam Juga Memenatkan

Proses mengepam juga bukanlah suatu tugas yang mudah sekalipun bayi tidak menghisap susu secara direct. Nak mengepam pun bukannya sekali tapi setiap 3-4 jam sekali termasuklah waktu tengah malam ketika orang lain khusyuk diulit mimpi. Bayangkan pelbagai peralatan yang perlu disediakan untuk mengepam dan menyimpan susu. Lepas tu pula semua alatan perlu dicuci setiap kali selepas menggunakannya. Penat juga tau!

Semua rutin ini memerlukan disiplin serta fokus yang tinggi untuk dilakukan secara konsisten selama 2 tahun. Ia semua demi memastikan bekalan susu sentiasa ada dan tidak terputus.

Foto Kredit: livestrong.com/

6. Sahur & Berbuka Antara Sempat Tak Sempat

Seorang ibu bila ada anak kecil, dialah yang paling sibuk menyediakan makanan untuk sahur dan berbuka, tapi dia jugalah yang makan paling ala kadar. Baru nak suap ke mulut, dah dengar bayi merengek. Terpaksalah makan secepat mungkin. Kalau bayi terjaga atau menangis, kenalah tangguhkan atau layan keperluan mereka dulu.

Ada pula yang makan sambil dukung bayi, meriba bayi yang tengah tidur, dan macam-macam lagi gaya. Kalau setiap hari begini, tak hairanlah ibu menyusu ini akan berasa lebih penat berbanding biasa.

www.ratemds.com

Ingat, Ada Keringanan Untuk Ibu Menyusu

Sebagai suami, seharusnya anda perlu lebih memahami cabaran yang dihadapi oleh isteri anda yang berpuasa dalam keadaan menyusukan bayi. Ia bukanlah sesuatu yang mudah dan oleh sebab itu amatlah wajar untuk anda turut meringankan beban mereka. Sesekali boleh beli makanan di luar atau tolong buat kerja-kerja rumah dan melayan anak agar isteri tidak terlalu letih.

Makanlah apa-apa jenis superfood atau suplemen semasa bersahur, tapi kalau 24 jam isteri anda sibuk dan tak berhenti bekerja, dah tentulah mereka akan tetap penat.

Disebabkan kepayahan dan kesukaran inilah ada hikmahnya kenapa Allah memberi keringanan kepada golongan ibu menyusu untuk tidak berpuasa sekiranya tidak mampu. Buat ibu menyusu, jagalah kesihatan diri dan elakkan daripada terlalu stres semasa berpuasa ya!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×