Teknologi

Wanita Pengaturcara Pertama Dunia Dan 5 Fakta Hebat Dunia Komputer

1
SHARES

Kita selalu menggunakan komputer setiap hari, tetapi, apakah yang kita tahu tentang teknologi dunia komputer?

Mahu tahu fakta-fakta menarik tentang pengaturcaraan dan komputer yang anda tidak pernah dengar? Teruskan membaca, kerana berikut adalah 6 fakta menarik yang harus anda ketahui.

6 Fakta Hebat Dunia Komputer Yang Anda Perlu Tahu!

1. Pengaturcara komputer pertama di dunia adalah seorang wanita bernama Ada Lovelace

fakta dunia komputer

Foto Kredit: en.wikipedia.org

Walaupun bapa beliau adalah seorang penyair, namun Ada Lovelace merupakan seorang ahli matematik. Pada umur 17 tahun, beliau diperkenalkan dengan Charles Babbage, Bapa Komputer yang merupakan seorang professor di Universiti Cambridge.

Charles mempunyai idea untuk membina sebuah enjin analitikal yang dikenali sebagai komputer mekanikal serba guna yang boleh mengira, diaturcara dan mempunyai memori. Sama seperti komputer moden hari ini tetapi pada ianya diilhamkan 150 tahun dahulu.

Malangnya, komputer impian Charles itu tidak pernah terbina kerana kekurangan dana. Pun begitu, Ada Lovelace telah menulis nota-nota dan algoritma tentang enjin analitikal tersebut yang pada hari ini diiktiraf sebagai algoritma pertama untuk dijalankan oleh enjin analitikal.

Oleh kerana itulah, Ada diangkat sebagai pengaturcara komputer pertama di dunia (walaupun komputer itu tidak pernah dibina).

2. Pengiraan bermula daripada ‘kosong’ dan bukan ‘satu’

Kalau sedari kecil kita diajar untuk mengira daripada ‘satu’ hingga ‘sepuluh’, berbeza pula halnya dalam dunia sains komputer. Pengaturcara komputer akan mengira bermula daripada ‘kosong’ dan bukan ‘satu’. Ya, ‘0’.

Jadi, kalau anda mahu mengira dari 1 sehingga 10 dalam cara sains komputer, makanya ia akan berbunyi 0, 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8 dan 9.

Bayangkan anda ada 3 orang adik beradik dan anda adalah anak sulung, dari sudut bahasa pengaturcaraan anda adalah anak ‘kosong’ atau Along, adik anda adalah anak ‘pertama’ atau Angah dan yang bongsu adalah ‘kedua’.

Pelik bukan? Tapi, beginilah struktur data dalam dunia komputer.

3. 60 tahun dahulu komputer diaturcara menggunakan kad tebuk (‘punch card’)

dunia komputer

Kiri- Alat ‘membaca’ kad tebuk. Kanan- Alat membuat tebukan. / Foto Kredit: royal.pingdom.com

Zaman sekarang ini kita hanya dengar kad tebuk (atau ‘punch card’) digunakan di pejabat untuk merekodkan waktu kehadiran pekerja.

Hakikatnya, kad tebuk telah digunakan untuk mengaturcara komputer pada 60 tahun dahulu dan ianya mempunyai lubang, sesuai dengan namanya sebagai kad tebuk.

Seratus tahun lebih awal, kad tebuk digunakan untuk mengaturcara corak-corak pada mesin tenun. Diilhamkan oleh aplikasi mesin tenun, komputer era 1950-an juga menggunakan teknologi yang sama untuk mengaturcara komputer.

Arahan dan data diwakili samada oleh kewujudan atau ketidak-wujudan lubang pada kad tebuk tersebut. Lubang dan bukan lubang samalah juga seperti 1 dan 0 pada era digital ini, iaitu kod binari yang kita gunakan menyamai suis elektrik buka dan tutup.

4. Terdapat lebih daripada 1500 bahasa pengaturcaraan di dunia ini

Dan jumlahnya semakin bertambah. Sama seperti bahasa manusia, anda juga boleh mereka bahasa komputer anda sendiri, asalkan komputer faham apa yang anda tuturkan.

Sebahagian daripada 1500 tersebut ada yang hanya tinggal sejarah dah sudah tidak digunakan lagi.

Tetapi kebanyakannya masih digunakan sehingga ke hari ini untuk pelbagai kegunaan daripada membangun aplikasi telefon pintar mudah alih hinggalah kepada simulasi dan permodelan fizik.

Antara bahasa dunia komputer yang terkenal termasuklah C, C++, Java dan Python. Banyak sangatkah 1500 bahasa itu? Sebagai perbandingan, jumlah bahasa yang dituturkan oleh manusia di dunia ini dianggarkan lebih daripada 6900 buah bahasa, tidak termasuk dialek.

Jadi, 1500 itu banyaklah juga kan?

5. Komputer boleh diaturcara yang pertama tidak menggunakan tenaga elektrik

Komputer yang kita gunakan sehari-hari pada zaman ini menggunakan tenaga elektrik untuk berfungsi. Jika tiada tenaga elektrik, maka komputer tersebut tidak akan berfungsi.

Namun begitu, tahukah anda, komputer pertama yang dicipta tidak menggunakan tenaga elektrik langsung? Jika begitu, tenaga apakah yang menjana komputer tersebut untuk hidup?

Seperti yang kita telah bincangkan tadi, Bapa Komputer adalah Charles Babbage dan beliau telah mengilhamkan enjin analitikal tetapi tidak pernah terbina sehingga kini.

Namun begitu anak beliau, Henry Babbage, telah menyiapkan enjin analitikal versi yang dipermudahkan dan berjaya mendemonstrasikan enjin tersebut pada tahun 1906. 30 tahun kemudian, komputer boleh diaturcara secara bebas pertama telah dibina oleh saintis komputer bernama Konrad Zuse, menggunakan mekanisme elektromekanik yang dinamakan sebagai Z1.

dunia komputer pertama

Inilah Z1, komputer yang pertama diaturcara. / Foto Kredit: computerhope.com

Malangnya komputer tersebut telah musnah akibat peperangan. Komputer telah berevolusi daripada mekanisme mekanik, elektromekanik dan sekarang elektronik sepenuhnya.

Hmm, pada masa akan datang siapa tahu mekanisme apa pula yang bakal digunakan?

6. Permainan komputer pertama, ‘Spacewar!’ dibina pada tahun 1961

dunia komputer spacewar

Inilah rupanya permainan komputer digital Spacewar! yang pertama dibina pada tahun 1961. / Foto Kredit: flickr.com

1960-an adalah era di mana kebanyakan ibu-ibu dan bapa-bapa kita lahir.

Menariknya, pada tahun 1961 ini, sebuah permainan komputer pertama di dunia ‘Spacewar!’ telah berjaya dibangunkan oleh tiga orang pembangun iaitu Steve Russell, Martin Graetz dan Wayne Wiitanen di MIT.

Permainan ini dimainkan oleh dua orang pemain yang mana mereka perlu memusnah antara satu sama lain dengan mengawal kapal angkasa masing-masing.

Ironinya, permainan komputer dari dahulu sehingga kini masih lagi mengekalkan konsep peperangan dan tembak menembak walaupun komputer telah menjadi semakin maju. Mungkin, fitrah manusia itu sendiri suka menundukkan antara satu sama lain.

dunia komputer

Foto Kredit: miamunro.com

Kuasailah Teknologi Dunia Komputer

Menarik bukan dunia komputer ini? Jika selama ini kita telah menjadi melahirkan generasi pengguna mahir komputer, mengapa tidak selepas ini kita lahirkan pula generasi pencipta komputer?

Dengan ini, kita mampu memanipulasi dunia komputer untuk menjalankan aplikasi yang kita sendiri mahukan.

Jangan biarkan teknologi menguasai anda, maka kuasailah teknologi.

 

*Sumber asal artikel daripada Syazwan Zamree melalui laman web keenobot.com.

 

[infobox title=’Tentang Keenobot’]

belajar pengaturcaraan keenobot logo

Keenobot ialah sebuah bongkah pembinaan robot dengan antaramuka pengaturcaraan visual. Keenobot membolehkan pengguna belajar pengaturcaraan dengan cara yang lebih pintar. Keenobot pantas dibina, mudah digunakan dan mampu dimiliki. [/infobox]

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×