Didik

Doa Ibu Ayah Cukup Mustajab, Jom Amalkan 5 Doa Penerang Hati Untuk Anak

544
SHARES

“Mama, Aisy nak pergi sekolah ni. Pergi dulu ya.”

“Papa, Awfa ada ujian hari ni. Doakan ya.”

“Mama, Adam ada interview hari ni. Nervouslah…”

Sebagai ibu bapa, doa kita amat bermakna bagi anak-anak. Doa bukan saja memberi semangat, malah ia amat mustajab, malah dalam sebuah hadis menyebutkan bahawa doa ibu ayah tiada hijabnya.

Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya.”

(Hadis Riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Abu Daud)

Meminta agar anak diterangkan hati bukan sekadar penting bagi mereka yang bakal menduduki peperiksaan, ujian, temuduga. Dalam menjalani hari-hari biasa pun, kita sebagai ibu bapa amat digalakkan agar sentiasa mendoakan kebaikan untuk mereka.

Berikut dikongsikan beberapa buah ayat atau doa penerang hati untuk anak yang boleh diamalkan oleh ibu bapa setiap hari.

5 Doa Penerang Hati Untuk Anak

1. Doa Nabi Muhammad SAW Buat Ibnu Abbas RA

اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ

(Allahumma faqqihhu fiddeen wa a’llimhut takwil)

Maksudnya:  “Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir al-Quran).”

Doa ini dibaca oleh Nabi Muhammad SAW untuk Abdullah Ibnu Abbas atau dikenali sebagai Ibnu Abbas.

Menurut para ulama’, berkat bacaan doa ini, Abdullah bin Abbas telah menjadi salah seorang tokoh yang paling ‘alim tentang al-Quran dan paling faqih dengan tafsirannya.

Selain terkenal sebagai seorang ahli Hadis, ahli Tafsir, dan ahli Feqah yang tersohor di zamannya, beliau turut mendapat tempat istimewa disisi Khalifah Ar-Rasyidin dalam membantu urusan pentadbiran.

Menurut Dr. Ustaz Zahazan, boleh juga dibaca “Allahumma faqqihhu fid deen, wa a’llimuhul hikmah (ilmu pengetahuan)”

2. Surah Taha Ayat 1-5

Surah Taha ini ayat 1-5 ini juga banyak manfaatnya dan amat popular di kalangan ibu bapa.

Ayat ini dikatakan menjadi pelembut hati simbolik dengan peristiwa di mana Umar al-Khattab yang dahulunya amat menentang Islam.

Suatu hari, apabila mendapat berita adiknya memeluk Islam, Umar menjadi sangat marah lalu pergi mencari adiknya.

Sampai sahaja di rumah, adiknya yang sedang membaca Al-Quran telah ditampar sehingga terbaring di atas tanah dan disuruh menyerahkan bacaan yang dibaca. Selepas itu, Umar mula menghayati setiap bait-bait ayat surah Taha 1-5 yang dituturkan oleh adiknya tadi. Tak semena-mena, air mata Umar tumpah, tersentuh hatinya dan beliau terus memeluk agama Islam pada hari itu juga dihadapan Nabi Muhammad SAW.

Berikut adalah keratan ayat surah Taha 1-5

doa penerang hati untuk anak

Emosi terganggu

Foto Kredit: haberform.com

3. Surah An-Nur Ayat 35

ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشْكَوٰةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ ۖ ٱلْمِصْبَاحُ فِى زُجَاجَةٍ ۖ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّىٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَٰرَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِىٓءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ ۗ يَهْدِى ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن يَشَآءُ ۚ وَيَضْرِبُ ٱللَّهُ ٱلْأَمْثَٰلَ لِلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: Allah (pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya-Nya seperti sebuah lubang yang tidak tembus yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam tabung kaca, (dan) tabung kaca itu bagaikan bintang yang berkilauan, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang diberkati, iaitu pohon zaitun yang tumbuh di timur dan tidak pula di barat, yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah memberi petunjuk kepada cahaya-Nya bagi orang yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia. Dan, Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Ayat 35 daripada surah Nur ini juga antara yang terkenal dan sering diamalkan sebagai ayat pelembut hati, pendinding diri, penerang hati dan sebagainya. Jika diteliti, ayat ini memiliki maksud yang sangat mendalam.

Dari ayat ini kita boleh faham bahawa sumber cahaya yang menerangi alam ini dan hati kita datangnya daripada Allah. Ilmu itu semuanya dari Allah. Hidayah itu juga ‘cahaya’. Dan apabila datangnya cahaya demi cahaya itulah yang dikatakan ‘nur ala nur’ (cahaya atas cahaya). Kalau tanpa cahaya ilmu dari Allah ini, kita akan terus berada di dalam kegelapan dan kejahilan.

Foto Kredit : islamhouse.muslimthaipost.com

4. Surah Al-Insyirah

Salah satu surah ringkas dalam Juz Amma, namun cukup power.

Ayat ini diajukan kepada Nabi Muhammad SAW bagi menghilangkan segala kesusahan yang dipikul Baginda ketika berdakwah dan menyampaikan risalah-Nya.

Telah diulang 2 kali dalam surah ini, ‘bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan’.

doa penerang hati

Maka percayalah bahawa walau sesukar manapun keadaan anak kita, Allah itu lebih mengetahui.

Bahkan, kepada Allah jualah kita memohon agar melapangkan jiwa yang lara, memberi kefahaman dan kefasihan, menjinakkan anak yang sukar mendengar kata, menerangkan hati sesiapa sahaja untuk memudahkan menerima setiap pelajaran yang dipelajari.

Foto Kredit: aboutislam.net

5. Surah Al-Anbiya’ Ayat 79

فَفَهَمْنَاهَا سُلَيْمَانَ كَلّاًّ أَتَيْنَا حُكْمًا وَعِلْمًا وَسَخَّرْنَا مَعَ دَاوُدَ الْجِبَالَ يُسَبِّحْنَا وَ الطَّيْرَ وَكُنَّا فَاعِلِيْنَ

“Maka, Kami memberikan pengertian kepada Sulaiman (tentang hukum yang lebih tepat), dan kepada masing-masing Kami berikan hikmah dan ilmu, dan Kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud. Dan, Kamilah yang melakukannya.”

Ayat ini terdapat dalam kisah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman ketika kedua mereka sedang mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku dalam kalangan umatnya ketika itu. Lalu, Allah memberikan mereka kefahaman, hikmah dan ilmu kepada Nabi Sulaiman untuk memutuskan hal tersebut secara adil dan saksama. Ayat ini juga menyebutkan kelebihan Nabi Daud dan diakhiri dengan ‘Kamilah yang melakukannya’, bermaksud semua ini adalah datangnya dari Allah jua.

Maka, mohonlah kefahaman yang baik untuk anak kita kerana Allah berkuasa memberikan ilmu dan hikmah kepada sesiapa saja pada bila-bila masa, dengan cara yang tidak kita ketahui.

Jom Amalkan Selalu

Bacakan doa ini kepada anak-anak, di ubun kepala ketika anak-anak sedang tidur, masa nak pergi sekolah atau selitkan sekali doa ini buat mereka pada setiap kali lepas solat. Sambil bermain dan peluk anak pun boleh berdoa untuk mereka kan?

Tak terhad kepada doa ini saja, ibu ayah boleh mendoakan apa saja yang baik-baik untuk anak walaupun dalam bahasa Melayu. Mudah-mudahan kita juga diberi kefahaman dan kelapangan hati dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Insha Allah.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×