Asuh

Cara Menjadi Ibu Bapa Yang Baik. Mesti Baca 10 Prinsip Ini!

1.2K
reads
Cara Menjadi Ibu Bapa Yang Baik. Mesti Baca 10 Prinsip Ini!

Cara Menjadi Ibu Bapa Yang Baik

Saya meyakini bahawa sebagai ibu bapa, kita mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Mendidik serta membesarkan anak-anak di zaman yang serba mencabar ini, memberikan sedikit kegusaran dan tekanan kepada ibu bapa muda. Kengkangan tugas yang menghimpit dan kos kehidupan yang semakin mencanak naik, menyebabkan ibu bapa dan anak-anak menjadi 2 entiti yang sangat berbeza.

Bagi ibu bapa yang benar-benar mementingkan pendidikan serta pengasuhan anak, mereka pasti sentiasa mencari ruang serta peluang bagi memberikan yang terbaik buat anak-anak. Ada yang pergi ke ceramah-ceramah, membaca buku keibubapaan dan menghantar anak-anak ke sekolah atau pusat asuhan yang terbaik.

Apakah cara yang paling baik bagi  menjadi ibu bapa yang terbaik buat anak-anak? Kita hanya berusaha dan merancang. Mudah-mudahan dengan usaha, maka kita dapat sama-sama membesarkan anak-anak dengan berjaya di zaman yang hebat ini. 10 prinsip di bawah ini akan memberikan sedikit panduan bagi ibu bapa muda mengaplikasi prinsip keibubapaan kepada anak-anak.

Prinsip 1

Ibu bapa adalah cermin anak-anak!

Berhati-hatilah duhai ibu bapa dengan segala tingkah laku serta percakapan kita di hadapan anak-anak. Apa sahaja yang kita lakukan di rumah mahu pun apa yang sering terkeluar dari mulut kita, akan mudah ditiru oleh anak-anak. Ibu bapa yang melazimkan ucapan terima kasih di dalam serta di luar rumah, pasti akan mendapati anak-anak juga biasa menyebut ucapan itu. Ibu bapa yang bersikap kasar terhadap anak-anak, pasti mendapati anak-anak juga bersikap kasar terhadap orang lain.

Prinsip 2

Berpadalah dalam menunjukkan kasih sayang

Sememangnya kasih sayang dan cinta tidak berbelah bahagi akan memberikan kepuasan kepada kita dan juga anak-anak. Gula dan garam yang berlebihan pasti membawa penyakit. Begitu juga dengan kasih sayang. Pemberian hadiah yang tidak sistematik dan tanpa had akan menjadi racun kepada anak-anak. Kita tidak digalakkan memberikan hadiah setiap masa dan menyogok anak-anak dengan kemewahan semata-mata agar mereka mendapat kepuasan dan mendapat apa sahaja yang mereka kehendaki. Sekali sekala didiklah anak-anak agar bersikap sabar dalam meminta sesuatu. Perasaan kecewa atau marah kadang-kadang perlu bagi mengimbangkan kehidupan. Moga mereka kenal bahawa dunia ini penuh dengan ujian dan kesukaran.

Prinsip 3

Libatkan diri dalam kehidupan anak-anak

Ibu bapa muda kadang terperangkap dengan kerjaya dan keluarga. Antara mengejar kemewahan dan memenuhi keperluan anak-anak. Ibu bapa perlu tahu yang mana keutamaan, keperluan mahu pun kehendak. Menghadiri hari sukan anak-anak atau bertemu klien untuk projek besar. Solat jemaah dan mengaji Al-Qur’an bersama keluarga atau memilih pulang lewat dari pejabat untuk menyiapkan kertas kerja untuk esok hari.

Prinsip 4

Mendidik anak-anak mengikut zaman, perkembangan serta umurnya

Mendidik anak-anak yang berumur 3 tahun dan 13 tahun adalah sangat berbeza. Anak yang berumur 3 tahun biasanya akan menunjukkan ketidakpuasan hati dengan berguling di atas lantai dan menangis sekuat hati. Anak berumur 13 tahun pula mungkin akan lebih menyendiri dan mencari kawan-kawan untuk menenangkan jiwa. Bagaimana menanganinya? Maka amat penting ibu bapa mendalami dunia keibubapaan bagi memenuhi keperluan anak-anak mengikut zaman, perkembangan serta umurnya.

Prinsip 5

Adakan dan cipta peraturan

Anak-anak perlu dididik dengan batasan tertentu. Di mana-mana sahaja perlu ada peraturan dan undang-undang yang perlu diikuti termasuklah di rumah. Kajian menunjukkan bahawa anak-anak yang biasa mengikut peraturan ketika kecil akan lebih mudah mengurus diri apabila sudah besar. Peraturan yang boleh kita lakukan di rumah seperti makan bersama, meletakkan baju kotor di bakul yang sepatutnya, menyusun kasut, menonton televisyen pada waktu yang ditetapkan sahaja dan sebagainya.

Prinsip 6

Memberikan kebebasan membuat keputusan

Kita boleh memberikan mereka pilihan. Kita boleh mendidik anak-anak agar pandai membuat keputusan mereka sendiri. Mereka memerlukan sedikit kebebasan bagi  menentukan minat serta kecendurangan mereka selagi ia tidak melampaui batas dan mendapat tunjuk ajar serta panduan ibu bapa. Contohnya anak-anak minat bermain kereta. Maka berikan mereka kebebasan untuk meminati apa yang mereka suka. Anak-anak yang meminati bola sepak untuk pilihan sukan ko-kurikulumnya pasti akan gembira jika dia diberi kebebasan untuk memilih sukan kegemarannya daripada dipaksa memilih hoki yang tidak diminatinya.

Prinsip 7

Konsisten dengan didikan yang diberikan

Ibu bapa usah jadi seperti lalang. Perlu konsisten dengan peraturan dan didikan yang diberikan. Contohnya jika anak tidak memasukkan baju kotor ke dalam bakul sepatutnya, tanyakan mengapa dia perlakukan sedemikian. Jika kita membiarkan sahaja, dia pasti akan melakukannya sekali lagi kerana dia tahu kita tidak kisah akan perlakuannya. Contoh lain adalah seperti solat. Kita bertegas agar anak melakukan solat pada waktunya. Jika kita tidak konsisten dengan peraturan tersebut, maka anak akan mengambil mudah akan perkara tersebut.

Prinsip 8

Tidak melampau-lampau dalam mendisiplinkan anak

Herdikan, pukulan, makian, jeritan adalah tidak patut dilakukan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Di dalam hadith tentang solat, Nabi membenarkan kita memukul anak jika tidak solat pada umur 10 tahun, itu pun menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam buku Tarbiyatul Aulad menyatakan bahawa bukan semudah itu untuk ibu bapa menjatuhkan hukum. 10 tahun pendidikan perlu diberikan dahulu kepada anak-anak. Jika selama 10 tahun itu anak-anak tidak dididik dengan baik, maka tidak wajar sama sekali anak-anak dipukul. Itu bab solat. Umur 10 tahun baru dibenarkan untuk pukul. Bagaimana pula anak yang berumur 5 atau 6 tahun? Kesalahannya hanya menumpahkan air atau berebut permainan. Adakah kesalahan itu lebih besar dari solat? Maka pukulan dan seumpamanya adalah tidak wajar dilakukan ke atas anak-anak. Jika ia perlu sekali pun perlulah berumur 10 tahun ke atas dan memukul atas alasan memberikan pengajaran dan bukan untuk mencederakannya. Perlu diingat bahawa memukul adalah jalan yang paling terakhir sekali setelah segala usaha dilakukan menemui jalan buntu dan ibu bapa sudah mula berputus asa.

Prinsip 9

Menjelaskan kepada anak tentang segala peraturan dan keputusan

Ramai juga di kalangan ibu bapa yang menggunakan kuasa vetonya dalam segala hal. Anak-anak perlu juga tahu mengapa peraturan atau keputusan ini dibuat. Maka penjelasan sangat perlu bagi memberikan gambaran yang baik kepada anak-anak. Contohnya, mengapa ayah tidak membenarkan anak menonton televisyen dari jam 7 hingga 8 malam – kerana waktu itu mereka wajib solat jemaah dan membaca Al-Qur’an bersama. Mengapa baju kotor perlu diletakkan di dalam bakul – kerana memudahkan ibu untuk melakukan proses membasuh baju.

Prinsip 10

Semua ahli wajib saling menghormati

Bukan anak sahaja yang mesti menghormati ayah dan ibunya. Kita juga sebagai ibu bapa mesti menghormati segala hak-hak seorang anak. Hak seorang anak untuk diperlakukan dengan baik, hak anak untuk dihormati, hak anak untuk dilayan dengan saksama, hak anak untuk memiliki barang peribadi miliknya dan sebagainya. Jika mereka dihormati, maka mereka juga akan menghormati kita sebagai ibu bapa mereka.

Jika ada masa, boleh baca dari dua orang tokoh terkemuka ini, iaitua Dato’ Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah yang berkongi 50 tips keluarga bahagia dalam Islam dan juga 8 tips keluarga bahagia dari Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood.

Selamat menjadi ibu bapa yang hebat!

Yang Popular

To Top