“Kenapalah anak aku ni asyik tersedu dari tadi. Ada apa-apa yang tak kena ke? Kalau orang dewasa, bolehlah juga nak cuba kawal pernafasan, minum air, dan sebagainya. Tapi, apa cara hilangkan sedu yang sesuai untuk bayi?”
Sebenarnya, sedu memang biasa terjadi kepada anak kecil, terutamanya bayi yang berusia bawah satu tahun. Menurut fakta yang dilaporkan oleh Majalah Sains, sedu berkait rapat dengan pernafasan di mana ia berlaku apabila pengecutan otot diafragma secara berulang kali disebabkan beberapa faktor.
Sekiranya berlaku gangguan pada pergerakan diafragma, udara akan ditelan ke dalam kerongkong secara mengejut. Maka, apabila udara berebut-rebut masuk itu melanggar kotak suara, bunyi sedu akan terhasil.
Dalam artikel tersebut juga ada sebuah pendapat yang menerangkan bahawa sedu membantu mamalia (termasuklah manusia) untuk belajar menyusu. Ini kerana, pergerakan tersebut dapat mengelakkan susu daripada memasuki peparu.
5 Cara Hilangkan Sedu Pada Bayi Dengan Selamat
Secara umumnya, sedu tidaklah merbahaya. Tetapi, ibu bapa mesti berasa rimas dan kasihan apabila melihat bayi mereka tersedu, bukan?
Berikut adalah cara hilangkan sedu yang boleh dilakukan kepada bayi anda.
1. Periksa Cara Menyusu
Salah satu punca sedu adalah kerana tertelan udara yang berlebihan. Ini mungkin disebabkan oleh posisi menyusu yang salah atau puting tiruan yang tidak sesuai.
Selain itu, elakkan menyusu dalam keadaan berbaring terlentang. Sebaliknya, cuba baringkan dalam keadaan 30-45 darjah. Menurut Dr Sears, posisi ini dapat mengelakkan angin daripada memasuki perut dengan mudah.

Foto Kredit: wikihow.com
2. Sendawakan Bayi
Elakkan menyusu dalam kuantiti yang terlalu banyak dalam satu-satu masa. Apabila perut menjadi penuh dengan terlalu cepat, pergerakan diafragma boleh terjejas hingga menyebabkan berlakunya sedu.
Maka, perlahankan proses ini dengan cuba berhenti di tengah-tengah penyusuan dan sendawakan bayi sebelum anda bertukar payudara yang satu lagi.

Foto Kredit: willinglife.com
3. Minum Air Suam / Madu
Anda juga boleh cuba memberi bayi minum sesudu air suam untuk membantu melegakan sedu yang dialami.
Sesetengah pendapat juga mengatakan sesudu madu dapat membantu – tapi madu hanya selamat untuk untuk anak yang berusia 1 tahun ke atas ya!
4. Tenangkan Bayi
Laman web kesihatan Health Line turut menjelaskan bahawa salah satu punca manusia tersedu juga adalah kerana keterujaan, kebimbangan, atau emosi yang tertekan. Hal ini mungkin disebabkan oleh reaksi sekeliling yang terlampau meriah, kelam-kabut atau kurang selesa.
Oleh itu, cuba alihkan bayi daripada suasana yang hiruk-pikuk buat seketika untuk menenangkannya agar pernafasannya juga boleh menjadi lebih teratur, lalu menghilangkan sedu yang dialami.

Foto Kredit: parentsavvy.com
5. Petua Dulu-dulu
Selain daripada cara di atas, petua orang dulu-dulu juga boleh anda lakukan. Caranya, ambil secebis tisu kecil dan tepekkan pada dahi bayi. Biarkan seketika dan bayi akan berhenti daripada tersedu.
Walaupun tiada kajian sains yang dapat membuktikannya setakat ini, ramai yang mencubanya beranggapan bahawa teknik ini sangat berkesan.

Foto Kredit: babyandnames.com
Sedu Tidak Merbahaya
Menurut Lynnette Manzur, seorang ahli paediatrik melalui BabyCenter, anda tidak perlu risau kerana sedu tidak mendatangkan kesan mudarat kepada bayi. Malah, ia tidaklah begitu menjengkelkan kepada bayi tersebut.
Sedu juga adalah masalah yang biasa di kalangan anak kecil kerana mekanisme kawalan untuk refleks mereka masih belum matang dan impuls saraf boleh disalahertikan oleh sistem tubuh mereka, seperti yang diterangkan oleh Christopher Hobbs, Ph.D., L.Ac., A.H.G.
Namun, jika bayi anda terlalu kerap tersedu dan disertai dengan batuk dan muntah yang membimbangkan, mungkin ia ada kaitannya dengan masalah refluks gastroesofagal. Maka, bawalah bayi berjumpa doktor untuk kepastian lanjut.