Tidak kira sama ada anda memberi anak minum susu formula atau susu ibu, penggunaan botol susu memang tak boleh dielakkan. Bila sudah menggunakan botol susu pastilah perlu tahu cara cuci botol susu dengan betul kan?
Tahukah anda, kalau botol susu tersebut tidak dicuci dengan betul, ia boleh membiakkan bakteria yang menyebabkan pelbagai penyakit seperti sakit perut atau gastroenteritis. Ia sejenis penyakit yang boleh mengancam nyawa anak anda. Jangan main-main ya!
Jadi, ibu dan ayah janganlah malas mencuci botol susu anak. Jangan disebabkan hendak cepat, anda hanya cuci botol susu dengan air paip sahaja. Ini perkongsian dari pakar tentang cara betul untuk bersihkan botol susu anak anda.
CARA CUCI BOTOL SUSU ANAK SAMPAI BERSIH!
Masih ramai ibu bapa yang tidak mahir cara menjaga kebersihan botol susu anak dengan betul. Penjagaan yang tidak rapi boleh mengundang mudarat kepada kesihatan anak-anak. Di sini saya ingin berkongsikan sedikit ilmu penjagaan botol susu:
1.CUCIAN BOTOL
1. Segera dibasuh dengan sabun setiap kali habis penyusuan.
2. Didihkan air, matikan api dan rendamkan botol selama 5-10 minit.
3. Gunakan penyepit untuk membawa botol keluar dari air panas.
4. Letakkan dalam keadaan terlangkup di atas permukaan yang bersih.
5. Boleh digunakan setelah kering. Jangan sentuh bahagian dalam botol.
DISARANKAN:
1. Mempunyai 6 – 8 botol susu. Guna botol susu yang berbeza setiap penyusuan, dan lakukan rendaman air didih sehari sekali untuk setiap botol.
2. Menggantikan ke semua botol tadi setiap 3-6 bulan, atau apabila berlaku perubahan pada bentuk dan warna botol.
3. Menggantikan puting botol susu setiap bulan, atau apabila berlaku perubahan pada bentuk dan warna puting berkenaan
TAMBAHAN:
1. Elak gunakan yang air sedang mendidih semasa membancuh susu. Bancuhan susu terus ke air mendidih menyebabkan zat susu musnah.
2. Gunakan sukatan yang disyorkan mengikut saranan pengeluar supaya anak anda mendapat zat-zat yang diperlukan secukupnya.
3. Setelah umur mencapai 6 bulan, digalakkan beri makan makanan dahulu, dan susu hanya sebagai makanan tambahan.
Semoga bermanfaat dan anak anda kekal sihat.
Sumber: Dr. Tajul Ariffin Norsadan, Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan