Famili

Silap Bedung Bayi Boleh Jadi Punca ‘Hip Dysplasia’. 7 Perkara Ibu Mesti Tahu

449
SHARES
cara bedung bayi

Membedung bayi telah diamalkan dalam masyarakat kita sejak berabad lamanya. Kebanyakannya bersetuju bahawa dengan membedung bayi, ia akan memberi rasa aman kepada bayi. Ada juga yang menganggap bahawa membedung bayi adalah salah satu cara untuk mendapatkan bentuk kaki bayi yang lurus dan tidak ‘kengkang’.

Dr. Nicholas Clarke, melalui Archives of Disease in Childhood menekankan bahawa setiap ibu bapa perlu mengetahui cara membedung bayi dengan betul. Masih ramai yang mungkin kurang sedar mereka melakukan cara yang salah semasa membedung bayi.

7 Perkara Ibu Mesti Tahu Tentang Cara Bedung Bayi

Beberapa perkara yang harus diperhatikan dalam cara bedung bayi adalah seperti berikut.

1. Biarkan Ada Ruang Untuk Kaki Bayi Bergerak

Mungkin kebanyakan ibu yang menarik dan menekan kaki bayinya sebelum melilitkan kain bedung kerana mempercayai cara ini mengelakkan kaki bayi ‘pengkar’.

Menurut pakar, apabila kaki dan pinggul bayi tidak bebas untuk bergerak, ia akan meningkatkan risiko bayi terkena hip dysplasia, iaitu gangguan pembentukan sendi pinggul di mana bahagian atas tulang peha tidak berada tepat di soketnya. Untuk jangka masa panjang, ia dapat menyebabkan masalah perkembangan pada persendian kaki dan pinggul bayi.

cara bedung bayi

Foto Kredit: International Hip Dysplasia Institute

2. Pentingnya Mengemaskan Bahagian Atas Bedungan

Sesetengah ibu terlalu memberi perhatian kepada bedungan bawah (bahagian kaki) dan memberi kelonggaran pada bahagian atas. Sebenarnya, cara ini adalah terbalik daripada yang sebetulnya.

Sepatutnya, ibu perlu memastikan lengan bayi dibedung dengan kemas dan terlilit rapi. Hal ini penting kerana bedungan atas yang terlepas tanpa disedari boleh menjadi faktor bayi lemas atau risiko SIDS (sudden infant death syndrome).

3. Pastikan Semua Keperluannya Telah Dipenuhi Terlebih Dahulu

Jika anda mahu membedung bayi, pastikan dahulu bahawa bayi sudah menyusu dan lampinnya tidak basah.

Apabila keperluan ini tidak dipenuhi, bayi mungkin akan meragam dan tidak rasa selesa ketika dibedung.

10 Cara Hilangkan Ruam Lampin Bayi. Petua & Tips Mudah!

Foto Kredit: huffingtonpost.com

4. Sampai Bilakah Bayi Patut Dibedung?

Menurut The American Academy of Pediatrics, bayi sebenarnya tidak perlu dibedung lagi apabila mereka sudah boleh berguling, iaitu sekitar usia 2-3 bulan. Apabila bayi sudah kuat untuk berguling, mereka mungkin boleh tertiarap sendiri tanpa dapat melepaskan lengan, lalu menghalang pernafasan.

Dalam usia ini juga, biasanya refleks ‘terkejut’ atau ‘startle reflex’ akan berkurang dan bayi akan dapat tidur dengan lebih lena.

Foto Kredit: flipboard.com

5. Elakkan Membedung Terlalu Lama

Namun jika bayi kelihatan tidak selesa dan sukar tidur tanpa dibedung, bolehlah anda terus membedungnya untuk beberapa bulan lagi untuk membantunya tidur. Apapun, elakkan membedung terlalu lama kerana sesetengah sumber berpendapat selepas usia tersebut, bedung mungkin menghalangnya daripada bergerak-gerak dan mengganggu perkembangannya.

Tanpa bedung, skin-to-skin contact antara bayi dan ibu dapat berlaku dengan lebih kerap, lalu membantu mengeratkan hubungan serta memberi rasa selesa kepada bayi.

Foto Kredit: hee.nhs.uk

6. Pilih Fabrik Yang Sesuai

Kini telah terdapat pelbagai produk yang dijual di pasaran khas untuk membedung bayi. Dengan rekaan dan corak yang comel, ibu-ibu mesti rambang mata untuk memilih!

Perlu diingat, faktor penting dalam pemilihan kain bedung ini antaranya adalah kesesuaian fabrik tersebut dengan suhu di negara kita. Pastikan kain tidak terlalu tebal sehingga membuat bayi terlalu panas dan tidak selesa apabila dibedung.

Foto Kredit: amazon.com

7. Teknik Membedung Bayi Yang Betul

Ada pelbagai cara membedung bayi yang boleh dilakukan, walaupun hanya dengan menggunakan kain lampin atau kain berbentuk segiempat yang selesa.

Antara cara yang paling mudah adalah:

  • Tempatkan kain bedung di atas permukaan yang rata dengan sudut kain berada di atas. Kemudian, salah satu hujung di atas sedikit hingga kain hampir menyerupai bentuk segitiga.
  • Tempatkan bayi di atas kain bedung, tepat di bahagian tengah. Lipatan atas kain bedung bayi adalah di sekitar bahu.
  • Tarik hujung kain di sisi kiri bayi hingga menutupi lengan kiri hingga dadanya. Selitkan hujung kain tersebut di bahagian bawah ketiak kanan.
  • Seterusnya, lipat kain bedung bayi bahagian bawah ke atas. Jangan terlalu ketat, biarkan ada ruang di sekitar kaki bayi.
  • Akhir sekali, ambil hujung kain bedung sebelah kanan bayi hingga menutupi tubuhnya. Kemudian lipat lebihan kain bedong bayi ke belakang punggung bayi.

Untuk melihat video bagi beberapa cara membedung bayi yang selamat dan selesa, anda boleh merujuk video daripada International Hip Dysplasia Institute (IHDI) dengan menekan gambar di bawah.

Banyak Kelebihan Membedung Bayi Jika Dilakukan Dengan Betul

Sememangnya membedung bayi memiliki banyak kelebihannya yang tersendiri – terutamanya dalam membantu bayi bertenang dan tidur lena.

Yang penting, pastikan ibu dan ayah mengetahui cara yang selamat untuk melakukannya ya!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×