Famili

8 Makanan ‘Pembunuh’ Stres Yang Sihat & Tak Menggemukkan. Sesuai Untuk Mama!

115
SHARES
cara atasi stres

“Aduii streslah sejak duduk rumah ni, kerja tak habis-habis. Dahlah tak ada kawan nak berbual. Ni yang buat rasa nak mengunyah je…”

Bila dah jadi ibu, cabaran menguruskan anak dan kerja rumah seolah-olah tak ada langsung hari cuti. Makin hari, anak pula semakin lasak dan tentu menyebabkan ibu bertambah letih.

Setiap kali kita stres, paras kortisol dalam badan akan meningkat. Inilah yang membuatkan keinginan untuk makan terutamanya bagi perempuan. Kebanyakan kita akan memilih makanan manis yang berkarbohidrat tinggi kononnya untuk mendapatkan tenaga dan membantu meredakan stres. Walaupun berkesan, lepas makan mesti akan rasa menyesal pula sebab ia hanya bertindak sebagai penenang sementara.

Jadi, apa kata anda cuba makan 8 jenis makanan ini untuk membunuh rasa stres dengan berkesan di samping mendapat manfaat daripada nutrisinya.

8 Makanan ‘Pembunuh’ Stres Yang Sihat & Tak Menggemukkan. Sesuai Untuk Mama!

1. Bijirin Penuh

Bila rasa stres saja, mesti kita rasa nak makan kek, donat atau pastri kegemaran sebagai cara untuk redakan stres. Jika anda peminat makanan seperti ini, gantikannya dengan alternatif yang lebih berkhasiat iaitu karbohidrat kompleks.

Sumber karbohidrat kompleks ini boleh didapati dalam makanan seperti roti mil penuh atau oat. Pengambilan oat dapat membantu penghasilan serotonin yang mampu membaiki mood seseorang. Ia juga kaya dengan magnesium dan kalium yang dapat menurunkan tekanan darah dalam badan.

Antara cadangan hidangan yang baik adalah mengambil oat bersama susu dan buah-buahan segar kegemaran anda.

2. Sayuran Hijau / Ulam

Masa tengah stres, siapa nak makan sayur? Sah-sahlah sayur-sayuran adalah benda terakhir yang seseorang inginkan.

Tapi hakikatnya, ia adalah makanan yang anda paling perlukan ketika itu kerana ia kaya dengan folat yang berfungsi untuk menghasilkan dopamine yang mampu membuatkan anda rasa lebih tenang.

Kajian juga mendapati orang yang mengamalkan sayur-sayuran hijau dalam diet seharian dilihat lebih bertenaga, ceria dan tenang serta kurang menunjukkan simptom-simptom kemurungan.

Makanan untuk ibu hamil

3. Ikan Salmon

Ikan salmon adalah antara makanan anti-stres paling berkesan kerana kandungan lemak asid omega-3 nya mampu mengurangkan kadar adrenalin dan kortisol dalam badan.

Kalau susah nak dapatkan salmon, anda boleh gantikan salmon dengan makanan laut lain yang kaya dengan omega 3 seperti ikan bilis, sardin atau supplemen tambahan omega-3.

Banyak kajian yang telah membuktikan keberkesanan minyak omega-3 dalam membantu mencegah kemurungan dan penyakit jantung tanpa kesan sampingan.

Foto Kredit: mrfish.vn/

4. Kekacang

Kekacang seperti biji bunga matahari, labu dan bijan juga kaya dengan magnesium. Magnesium yang cukup dalam diet harian dapat mencegah seseorang daripada kemurungan serta membantu dalam menstabilkan emosi seseorang.

Kacang gajus dan walnut pula kaya dengan mineral zink yang dapat mengurangkan rasa resah dan cemas (anxiety) seseorang. Ia juga kaya dengan asid lemak omega-3 yang dapat meredakan stres dan baik untuk menguatkan ingatan dan daya fokus.

Satu lagi kacang yang baik untuk mengawal stres ialah pistachio kerana mengandungi antioksidan yang dapat menurunkan tekanan darah, serta baik untuk kesihatan jantung.

Foto Kredit: www.purelyb.com

5. Susu

Satu kajian mendapati susu yang penuh dengan kebaikan vitamin D mampu untuk mengurangkan simptom keresahan dan kemurungan. Ia juga mampu membekalkan protein laktium dan yang dapat merehatkan badan dengan menurunkan tekanan darah serta kalium yang membantu meregangkan otot dalam badan.

Amalkan susu dalam diet seharian dan minumlah susu sebelum tidur untuk mendapatkan tidur yang lebih berkualiti.

Foto Kredit: dubikvit.livejournal.com/

6. Buah Beri

Kandungan vitamin C yang tinggi dalam beri biru serta beri lain seperti strawberi dan raspberi terbukti dapat menurunkan paras kortisol dalam badan di samping menurunkan tekanan darah supaya badan lebih relaks.

Kandungan antioksidannya yang tinggi juga membantu penghasilan dopamin yang berfungsi untuk menajamkan tumpuan, memori serta membaiki mood seseorang.

Foto Kredit: inspiyr.com/

7. Coklat Gelap

Sekiranya anda sering mengunyah coklat ketika stres melanda, ia terbukti dapat menghalang rasa resah dan tekanan kerana kandungan anandamide dalam setiap coklat. Namun sebaiknya, pilihlah coklat gelap yang kurang manis.

Nutrisi antioksidanya juga dapat membantu dalam mengurangkan tekanan darah serta membaiki pengaliran darah dalam badan. Ia juga dapat mengurangkan penghasilan kortisol yang membuatkan seseorang stres. Ambil dalam kadar yang memadai supaya berat badan anda masih terjaga.

makan coklat ketika mengandung

Foto Kredit: steemit.com

8. Avokado

Avokado bukan sahaja kaya dengan pelbagai nutrisi penting seperti vitamin E dan folat, namun ia juga mampu menurunkan paras gula dalam badan. Vitamin B dalam avokado dapat mengurangkan rasa cemas manakala kandungan kaliumnya pula dipercayai dapat membantu menurunkan tekanan darah.

Ia juga merupakan makanan yang patut diterapkan dalam diet kerana ia membuatkan seseorang kenyang dengan lebih lama dan mengurangkan keinginan untuk makan snek ketika stres melanda.

Jom Simpan Stok Makanan Ini!

Selain berkhasiat, makanan ini juga dapat membantu kita lebih relaks dan tenang. Jadi lain kali tak perlu terlalu bergantung kepada coklat setiap kali nak menghilangkan stres.

Yalah, masa makan memang sedap. Tapi kalau berat badan naik, bertambah stres juga kan?

 

*Sumber: Health.com, Inc.com

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×