Perjalanan ke sekolah bukan perkara mudah buat sesetengah guru terutamanya yang bertugas di Pulau Bum Bum yang menjadi laluan harian mereka untuk menyeberangi perairan dari Semporna, Sabah.
Cabaran itu kembali mendapat perhatian selepas seorang pengguna Threads, Mohd Irfan, mendakwa bot yang dinaiki guru-guru di kawasan berkenaan pernah tenggelam ketika dalam perjalanan.
Baca juga: Ibu Kerja Tukang Cuci, Lovely Sabana Cemerlang STPM Bakal Sambung Pengajian Ke UPSI Dibantu MARA
CABARAN GURU DI PULAU BUM BUM HAMPIR TENGGELAM DENGAN BOT

Gambar Threads Mohd Irfan.
“Cabaran guru-guru Pulau Bum Bum. Bot tenggelam. Nasib tak tenggelam tengah laut,” tulisnya menerusi hantaran yang tular.
Perkongsian itu turut mencetuskan perbincangan mengenai keselamatan perjalanan, kemudahan pengangkutan dan kebajikan warga pendidik yang bertugas di kawasan kepulauan tersebut.
KPM diminta beri perhatian
Menerusi hantaran sama, pengguna berkenaan berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian terhadap cabaran yang dihadapi guru-guru di Semporna.
Dia turut menggesa Kementerian Kerja Raya (KKR) mempertimbangkan cadangan pembinaan jambatan rentas laut yang menghubungkan pulau berkenaan dengan tanah besar.
Menurutnya, jarak antara Pulau Bum Bum dan tanah besar tidak terlalu jauh, selain terdapat kira-kira 14 sekolah di kawasan pulau tersebut.
Kemudahan penghubung yang lebih baik didakwa bukan sahaja dapat memudahkan urusan guru dan murid, malah membantu penduduk bergerak dengan lebih selamat tanpa terlalu bergantung kepada perkhidmatan bot.
Isu kos pengangkutan turut dibangkitkan apabila dia mendakwa kadar sewaan bot dan bayaran parkir boleh meningkat secara tiba-tiba tanpa alasan yang munasabah.
Pada masa sama, dia melihat pembinaan jambatan berpotensi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat. Antara potensi yang disebut termasuk industri ikan bilis dan makanan laut, selain kewujudan rumah bagang yang banyak di sekitar kawasan tersebut.
Baca juga: Kualiti Makanan MRSM Makin Kurang Aduan, Asyraf Wajdi Dakwa Usaha ‘Pecahkan Kartel’ Berkesan

Gambar Threads Mohd Irfan.
Guru turut berdepan risiko perjalanan
Seorang pengguna Threads, Anuar Shahir, turut berkongsi pengalaman berkaitan risiko yang pernah dihadapi pendidik di Pulau Bum Bum.
Menurutnya, seorang guru atau daie di Sekolah Alternatif Pulau Bum Bum pernah terlibat dalam kemalangan apabila bot yang dinaiki bertembung dengan bot tambang ketika dalam perjalanan untuk mengajar.
“Realiti yang pahit ini memang jarang jadi cerita orang di semenanjung,” katanya.
Dia pada masa sama menitipkan doa agar para pendidik dan daie yang terus berkhidmat di kawasan berkenaan diberikan kekuatan.
Perkongsian tersebut membuka ruang perbincangan lebih luas mengenai keperluan menyediakan akses pengangkutan yang selamat dan lebih baik buat guru yang bertugas di kawasan kepulauan.
Bagi penduduk serta warga pendidik di Pulau Bum Bum, kemudahan perhubungan bukan sekadar soal keselesaan, sebaliknya turut berkait dengan keselamatan dan kelancaran pendidikan anak-anak di kawasan berkenaan.
Sumber: Threads @mohdirfan_14
FT Image: Threads @mohdirfan_14
