Susulan dakwaan kelakuan tidak wajar melibatkan seorang penceramah bebas yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah menghentikan semua program membabitkan penceramah berkenaan serta-merta.
PROGRAM PENCERAMAH BEBAS TULAR DI SEKOLAH DIHENTIKAN SERTA-MERTA!

Gambar NSTP: Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Arahan itu dikeluarkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, bagi memberi ruang kepada siasatan penuh dijalankan susulan dakwaan yang sedang tular di media sosial.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi satu kenyataan di Facebook beliau hari ini, yang turut menegaskan bahawa keselamatan serta perlindungan murid merupakan perkara serius dan tidak boleh dikompromi
KPM henti program penceramah bebas, beri ruang siasatan
Menurut Fadhlina, beliau mengambil maklum beberapa dakwaan yang dikaitkan dengan seorang penceramah bebas yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah.
Beliau turut meminta KPM mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara tersebut bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Saya mengambil maklum beberapa dakwaan yang sedang tular di media sosial membabitkan seorang penceramah bebas yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah.
“Dakwaan yang dibangkitkan adalah serius kerana membabitkan keselamatan dan perlindungan murid. Saya sudah meminta KPM mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Dalam perkembangan sama, semua program membabitkan penceramah bebas berkenaan diarahkan dihentikan serta-merta sementara siasatan dijalankan.
Langkah itu diambil bagi memastikan perkara yang dibangkitkan dapat diteliti sepenuhnya, khususnya apabila ia melibatkan keselamatan kanak-kanak dalam persekitaran sekolah.
Orang ramai diminta tampil buat laporan polis
Pada masa sama, Fadhlina menyeru individu yang mempunyai maklumat berkaitan dakwaan tersebut supaya tampil membuat laporan kepada pihak polis.
Menurut beliau, kerjasama orang ramai amat penting bagi memastikan kanak-kanak yang terlibat mendapat perlindungan serta sokongan sewajarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa keselamatan murid perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak yang bertanggungjawab terhadap kebajikan mereka.
“Keselamatan murid mesti dipandang serius dan teliti. Keselamatan anak-anak di bawah jagaan kita tidak boleh dikompromi,” katanya.
Terdahulu, beberapa dakwaan membabitkan penceramah berkenaan tular di media sosial, termasuk dakwaan berkaitan perlakuan pedofilia serta dakwaan menjadikan pelajar sebagai mangsa.

Sumber: Facebook Fadhlina Sidek
