Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun berdepan detik cemas apabila jari tersepit pada sebuah eskalator di sebuah pusat beli-belah di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, petang Ahad.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku sekitar jam 3.43 petang sebelum Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999.
JARI TERSEPIT PADA ESKALATOR DI PUSAT BELI BELAH

Susulan laporan diterima, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dihantar ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I), Che Mohd Solehuddin Che Jusoh berkata, pemeriksaan sebaik pasukan tiba mendapati jari tangan kanan kanak-kanak berkenaan tersepit pada bahagian eskalator.
Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja menyelamat dengan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan jari mangsa daripada eskalator berkenaan.

“Mangsa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, didapati tersepit jari tangan kanan dan berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan.
Selepas berjaya dikeluarkan, kanak-kanak terbabit diserahkan kepada pasukan ambulans untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut. Operasi menyelamat kemudiannya selesai selepas mangsa berjaya dikeluarkan daripada eskalator berkenaan.
Sumber: Berita RTM
