Seringkali apabila berkunjung dan berurusan dengan pejabat kerajaan, anda akan diberikan borang kaji selidik untuk menilai prestasi servis mereka. Namun, bukan sahaja pejabat kerajaan malah di sekolah juga kini mempunyai sistem kaji selidik yang tertumpu kepada mak ayah murid!
Kecoh di media sosial mengenai lampiran kertas soalan kaji selidik yang perlu dijawab oleh murid sekolah berhubung kekerapan ibu bapa masing-masing menunaikan kewajipan solat lima waktu. Kalau dahulu, mak ayah yang nilai anak-anak tapi sekarang terbalik pula?
Baca juga: Kematian Tragis Adik Nuraina Humaira, Dirogol & Dibunuh Selepas Nak Beli Ayam Goreng…
SEKOLAH EDAR BORANG KAJI SELIDIK, NAK TAHU MAK AYAH MURID SOLAT TAK..
Menurut laporan, turut diajukan dalam borang tersebut ialah berkaitan perihal si bapa menunaikan solat di masjid atau surau, serta solat berjemaah.
“Berdasarkan pernyataan di bawah, sila tandakan pada skala yang sesuai,” demikian menurut keterangan itu dengan menyediakan kotak-kotak pilihan untuk murid-murid menandakan jawapan yang terdiri daripada ‘tidak pernah’, ‘jarang-jarang’ dan ‘sentiasa’.
‘Tidak pernah’ merujuk kepada bapa berkenaan tidak pernah melakukannya, manakala ‘Sentiasa’ membawa maksud bahawa perbuatan itu sering diamalkan.
Difahamkan, ia bukanlah kertas soalan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada borang kaji selidik. Bagaimanapun ia mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat termasuk bekas guru, Mohd Fadli Salleh yang menyifatkan ia tidak wajar ditanya kerana boleh mengundang fitnah.
“Saya rasa benda ni tak patut ditanya. Ia boleh menjadi fitnah, menggalakkan umpatan dan menjatuhkan maruah. Borang ni saya jumpa ada kawan Facebook post. Katanya sekolah yang bagi borang ni minta anak dia isi. Maka budak-budak pun isilah dengan apa yang dia tahu.
“Mungkin jujur, mungkin tidak, mungkin dipengaruhi mak ayah, mungkin tidak. Untuk anak yang main tick (tanda) sahaja, ia dah jadi fitnah pada ayahnya. Untuk anak yang jujur isi apa yang dia tahu, boleh jadi fitnah, boleh jadi umpatan,” luahnya menerusi hantaran di Facebook.
Tanpa mendedahkan nama sekolah, pempengaruh media sosial yang lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli turut berkata, sukar untuk mendapat ketepatan jawapan yang diberikan memandangkan anak-anak tidak bersama dengan bapa mereka sepanjang masa.
“Budak tu bukan setiap masa dengan ayahnya. Masa tak bersama ayahnya, kalau budak tu tick ‘Tidak pernah’ padahal ayah dia solat di masjid, dah jadi fitnah.
“Dan jika memang ada ayah yang langsung tak solat, anak tu jujur tick di ruangan itu, dah menjadi umpatan pula untuk sesiapa yang terlihat borang ini. ‘Ayah Nazirah tu tak pernah solat rupanya. Bukan main kerja pegawai, tapi solat pun tak’,” kata Cikgu Fadli sekadar memberikan contoh.
SEBARKAN AIB..
Bukan sekadar mengundang fitnah, malah bekas guru itu menyifatkan ia seperti menyebarkan aib bapa murid-murid terutama sekiranya ia dikongsikan beramai-ramai. Malah, Cikgu Fadli mempersoalkan kewajaran borang tersebut diedarkan kepada murid-murid dan apakah objektifnya berdasarkan hasil kajian berkenaan selepas ia perlu dikembalikan kepada pihak sekolah.
Namun, apabila menjengah ke ruangan komen, ada juga dalam kalangan ibu bapa yang bersetuju dengan tindakan ini apabila mereka mengatakan ‘yang baik boleh diikuti’. Ada yang mengatakan bahawa jika amalan wajib ini dilakukan setiap hari tanpa culas, jadi tiada apa yang perlu dirisaukan dan sudah semestinya anak-anak akan tahu perihal mak ayah mereka.
*Macam-macam telatah kan? Mungkin nanti boleh dibuat pula borang kaji selidik untuk para guru pula ya…
Baca juga: Kaki Adik Hidayat Tiba-Tiba Membengkak Selepas Merentas Desa, Terpaksa Dipotong…
Sumber: Berita Perak