Kini Trending

Beri Hadiah Tak Senonoh Kepada Pengantin Hukumnya Haram & Berdosa

56
SHARES

Sebelum ini, tular video berdurasi dua minit 15 saat di TikTok memaparkan situasi di majlis perkahwinan di sebuah negeri di mana rakan pengantin memberikan hadiah tidak senonoh kepada pengantin.

Menurut pendakwah, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, hukumnya haram dan berdosa kerana menjatuhkan aib suami isteri, keluarga pengantin dan tetamu yang hadir.

Baca juga: Panduan Lengkap Proses Perkahwinan Dari A-Z Sampai Dapat Kad Nikah

BERIAN HADIAH TAK SENONOH HUKUMNYA HARAM & BERDOSA

Jelas beliau, amalam itu sepatutnya dihentikan kerana Nabi Muhammad SAW sendiri sangat memuliakan majlis perkahwinan.

“Nabi Muhammad cukup suka beri hadiah kepada orang, lebih-lebih lagi mereka yang melangsungkan perkahwinan untuk menggembirakan hati tuan rumah.

“Malah ada riwayat Rasulullah menyuruh para sahabat yang dijemput ke majlis perkahwinan yang sedang berpuasa sunat untuk berbuka puasa, sampai begitu sekali Rasulullah memuliakan pengantin dan keluarga.

“Disebabkan itu, Islam menyarankan kita menghormati pengantin, keluarga pengantin serta majlis yang diraikan,” katanya ketika dihubungi oleh Harian Metro.

Mohd Izhar berpendapat selain menghadiri perkahwinan, amalan memberi hadiah untuk menggembirakan hati pengantin baru dan meraikan hari bersejarah mereka sudah menjadi satu kebiasaan.

“Hadiah berkenaan mestilah bersifat memuliakan perkahwinan, bukan menghina dan menjatuhkan maruah pengantin, hukumnya adalah makruh jika perkara itu tidak menjatuhkan aib mana-mana pihak.

“Contohnya beri hadiah tidak sepatutnya dalam bentuk tertutup, hanya pasangan pengantin saja yang tahu, hukumnya makruh.

“Bagaimanapun ia akan menjadi berdosa dan haram kalau perbuatan seperti itu dilakukan di khalayak ramai sehingga menjatuhkan aib suami isteri, keluarga dan majlis perkahwinan itu sendiri,” ujarnya.

Anak muda sekarang dinasihati agar lebih berhati-hati kerana Rasulullah menjelaskan, Allah SWT sangat suka kepada orang yang menutup keaiban.

“Saya nasihatkan anak-anak muda supaya menjaga adab ketika menghadiri majlis perkahwinan, beri hadiah dan berseloroh.

“Saya khuatir perkara ini menjadi amalan tidak baik kepada anak muda, lebih-lebih lagi ia dipertonton secara meluas dalam media sosial yang terang-terangan memaparkan wajah pengantin,” katanya.

Perkongsian video itu sudah tentunya meraih perhatian orang ramai dan rata-rata netizen terkejut dengan tindakan rakan pengantin terbabit yang memberikan hadiah tidak sepatutnya.

Sumber: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×