Baru sahaja kita melangkah ke tahun 2021, sudah pelbagai kejutan telah berlaku. Bukan sahaja masih belum selesai dengan penularan wabak Covid-19, negara kita dilanda pula dengan bencana banjir dan negeri paling terjejas buat masa sekarang adalah Pahang dan Johor.
Terbaharu di Jerantut, Pahang seorang kakitangan Pejabat Hutan Jerantut menjadi korban pertama banjir di Pahang selepas ditemui lemas dibawa arus deras di Kampung Gintong di sini semalam.
HANYUT KETIKA MELINTASI KAWASAN BANJIR
Mangsa Zulkarnain Hitam, 58, yang hanyut ketika berjalan melintasi kawasan banjir berhampiran sungai itu ditemui oleh anaknya selepas kejadian. Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu seorang anak mangsa, Ukai Iskandar Zulkarnain, 23, masih hilang selepas dibawa arus deras Sungai Puas di sini.
Ketua Polis daerah, Superintendan Mazlan Hassan berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama tiga anaknya dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Perdana ke sebuah rumah di Kampong Sokti di sini.
Katanya, apabila sampai kira-kira dua kilometer dari rumah kampung mereka, mangsa bersama tiga orang anaknya meletakkan kenderaan di Kampung Gintong dan berjalan kaki susulan jalan ditenggelami air banjir.
“Apabila sampai di lokasi kejadian mangsa tiba-tiba hanyut dibawa arus air sebelum dua orang anak mangsa berjaya mencari mangsa yang lemas.”
Menurut laporan Astro Awani, tidak lama kemudian mangsa lemas dan dua orang anak mangsa berjaya dibawa naik oleh orang kampung, manakala mangsa yang hanyut gagal ditemukan.
Menurutnya, anak mangsa Ukai Iskandar Zulkarnain, 23, yang merupakan pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) masih belum ditemui. Katanya, operasi mencari dan menyelamat yang ditangguhkan pada pukul 3.30 pagi semalam diteruskan lagi pada pukul 8 pagi ini.
Dalam pada itu, Superitendan Mazlan juga menasihatkan orang ramai berhati-hati dalam keadaan banjir dan merancang perjalanan dari semasa ke semasa. Orang ramai diminta berwaspada dengan keadaan banjir bagi mengelakkan kejadian yang tidak di ingin berlaku seperti pokok tumbang.tanah runtuh dan kenaikan paras air di Sungai Pahang.
Sumber: Astro Awani