Nostalgia

Hanya 3 Negeri Tidak Terjejas, Ini 7 Fakta Banjir Besar 1971

1.1K
SHARES

Membaca tentang berita banjir buruk yang sedang berlaku di negara kita, ramai yang mengambil langkah berjaga-jaga dan bersiap-siaga kerana risiko dinaiki air serta amaran yang kini sering diwar-warkan dari semasa ke semasa.

Bagi yang pernah melaluinya, ia pasti mengingatkan rakyat Malaysia tentang banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun 2014, atau lebih teruk lagi ketika banjir hampir melumpuhkan seluruh negara pada Januari 1971.

Pada tahun 1971, banjir dahsyat itu telah menjejaskan banyak bandar sehingga lumpuh dan hanya Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sahaja yang terselamat.

Berikut dikongsikan sekilas fakta tentang ‘Bah Besar 1971’ untuk panduan dan pengajaran kita bersama.

7 Fakta Tentang ‘Bah Besar 1971’, Antara Kejadian Banjir Terburuk Di Malaysia

1. Hujan Lebat Tidak Berhenti Selama Hampir Seminggu

Rakyat Malaysia yang ada pada ketika itu mungkin ada yang masih ingat hujan lebat yang turun selepas Hari Krismas pada tahun 1970.

Ketika awal tahun itu, Malaysia Barat mulai lumpuh apabila kebanyakan bandar ditenggelami air.

Sungai-sungai di kebanyakan negara juga melimpah ke jalan, perumahan dan perkampungan.

banjir besar 1971

2. Negara Isytiharkan Darurat Bencana Negara

Melihatkan keadaan cuaca yang sangat buruk, Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdul Razak memanggil kabinet untuk bermesyuarat.

Dalam mesyuarat tersebut, beliau membuat keputusan untuk mengisytiharkan Darurat Bencana Negara di seluruh negara berkuatkuasa bermula 5 Januari 1971.

Serentak dengan itu, Jawatankuasa Kabinet Bantuan dan Pemulihan Banjir telah diwujudkan dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri bagi menguruskan bencana banjir yang sangat dasyat pada ketika itu.

Sebuah lagi jawatankuasa ditubuhkan untuk menaksir jumlah kerosakan dan mengarahkan langkah-langkah pemulihan ekonomi.

Dalam pada masa yang sama, Tun Abdul Razak segera meluluskan RM 11 juta dari tabung pusat untuk bantuan banjir.

banjir besar 1971

3. Kuala Lumpur & Pahang Paling Teruk Terjejas

Banjir besar ini menenggalamkan kira-kira 60% daripada kawasan ibu kota Kuala Lumpur menjadikan ia antara kawasan yang paling teruk terjejas pada tempoh tersebut.

Rata-rata warga Kuala Lumpur yang menyaksikan kejadian tersebut pasti tidak akan lupakan keadaan ibu kota yang bagaikan berada di tengah-tengah lautan.

Selain Kuala Lumpur, negeri yang paling teruk dilanda banjir 1971 itu ialah Pahang terutama di daerah Pekan, kawasan Parlimen diwakili Tun Razak.

4. Banjir 1971 Meragut 57 Nyawa

Banjir besar 1971 surut dalam masa seminggu dan meragut nyawa 57 orang.

Ia turut mencatatkan kerugian sebanyak RM 84.7 juta (anggaran RM 400 juta nilai matawang sekarang) .

Banjir besar 1971 turut meninggalkan kesan kerosakan teruk, suku juta orang teruk menderita dan terpaksa hidup sehelai sepinggang disebabkan tempat tinggal dan harta benda seperti rumah dan kereta kebanyakannya musnah akibat banjir.

Bah besar 1971

5. Punca Bah besar 1971

Hujan lebat tanpa henti selama seminggu dikatakan adalah punca utama kepada banjir besar yang berlaku pada 5 Januari 1971.

Di samping itu, menurut ahli sejarah negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim, banjir pada 1926 dan 1971 berlaku kerana kelemahan infrastruktur saliran yang tidak mampu menampung hujan dalam kuantiti banyak.

“Ia terbukti kemudian apabila kerajaan selepas itu mengambil langkah segera memperluaskan longkang, sungai, empangan dan tali air,” katanya.

Selepas banjir 1971, kerajaan juga menubuhkan Suruhanjaya Tetap Kawalan Banjir, mewujudkan pelan induk saliran untuk bandar-bandar utama dan memperkenalkan sistem amaran banjir.

Baca juga : “4 Jam Junjung Bayi Dalam Kotak, Air Dah Paras Leher,” Voice Note Ibu Ini Undang Sebak

6. Bantuan Datang Dari Banyak Negara

Mendengarkan bencana yang melanda negara kita pada ketika itu, banyak negara telah tampil menghulurkan bantuan dari segi kelengkapan berupa ubat-ubatan serta makanan dan bot penyelamat untuk rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut dibantu oleh 13 pesawat luar seperti Singapura, United Kingdom termasuklah tentera Amerika Syarikat yang berpangkalan di Vietnam.

Semua helikopter berusaha terus menerus menyampaikan bekalan makanan kepada kawasan terpencil. Segenap tenaga yang terdiri daripada anggota polis dan bomba dikerah dan semuanya diusahakan secepat mungkin.

banjir besar 1971

banjir besar 1971

7. Semangat Muhibah di Pusat Bantuan

Tugas-tugas pengagihan makanan kepada berpuluh-puluh ribu mangsa dijalankan oleh Jabatan Kebajikan dan turut dibantu oleh pasukan sukarelawan serta orang ramai.

Tidak hanya itu, pasukan perubatan serta para petugas kebajikan turut bersiap sedia bagi membantu masyarakat yang memerlukan bantuan kecemasan.

Ketika bencana, rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa berganding bahu dan saling membantu antara satu sama lain.

banjir besar 1971

Seperti peristiwa banjir besar 1971, banjir yang sedang melanda negara pada ketika ini pasti akan diingati rakyat Malaysia sampai bila-bila.

Peristiwa banjir pada kali ini turut melihatkan sikap empati dan saling bantu-membantu antara rakyat Malaysia yang tidak perlu dididik lagi.

Setelah seminggu berlakunya banjir, segenap masyarakat Malaysia tetap bersemangat turun padang membantu mangsa banjir tanpa mengira bangsa dan agama.

Sukarelawan dari setiap pelusuk negeri turut luangkan masa turun padang ke kawasan perumahan serta perkampungan terpencil bagi menyalurkan bantuan keperluan serta membantu membersihkan rumah mangsa.

Semoga dengan semangat muhibah rakyat Malaysia dapat menguatkan semangat mangsa banjir untuk tempuhi dugaan besar ini bagi memulakan hidup baru.

Video penuh: BENCHANA BANJIR 1971

Untuk info lanjut tentang banjir besar tahun 1971 ini, anda boleh menyaksikan sebuah dokumentari terbitan FINAS melalui video di bawah:

Bahagian 1

Bahagian 2

Sumber :

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×