Semestinya anda telah memperolehi pengalaman berharga sewaktu menjaga anak anda dan lihatnya membesar dari tahap umur 0-6 bulan. Sebelum ini, kami ada berkongsi dengan anda tips-tips bagaimana anda boleh berikan yang terbaik untuk si manja dari 0-6 bulan, sekarang kita ke tahap kedua pula di dalam pertumbuhan kanak-kanak iaitu 6-12 bulan; yang tidak kurang mencabar.
Kini Masuk Pusingan Kedua Pula Iaitu 6-12 Bulan
Pada peringkat umur 6-12 bulan pula, bayi memerlukan lebih banyak tumbesaran dan perkembangan fizikal dan otot. Di sini anda boleh lihat si manja anda cuba untuk duduk, merangkak, berdiri dan seterusnya berjalan tanpa bantuan.
Selain daripada kemahiran motor tadi, bayi anda mula mempelajari bahasa. Daripada bunyi vokal asas seperti menangis, si manja turut suka untuk meniru bunyi yang dibuat anda semasa sedang bermain dengannya. Pada usia ini jugalah, bayi anda akan menyebut perkataan pertamanya seperti “Mama”!
Bagi membantu bayi anda mencapai keupayaan untuk berjalan dan bercakap, nutrien-nutrien yang diperlukan pada peringkat ini adalah protein, DHA, magnesium dan Vitamin B.
Seperti mana anda menjadi jurulatih pada peringkat sebelum ini, kini anda perlu pula jadi pakar terapi pertuturan. Buatlah bunyi-bunyi yang berbeza dan berkata-kata kepadanya seolah-olah sedang bercakap dengannya. Mulakan perbualan dengan si manja, walaupun pada awalnya bayi anda tidak menunjukkan sebarang reaksi. Setelah anda mengulangkannya perbuatan berbual dengannya, lama-kelamaan si manja akan mengulangi kata-kata anda.
Diharapkan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu anda bersama-sama dengan bayi anda melalui fasa yang amat menyeronokkan ini. Namun, setiap kanak-kanak akan membesar mengikut tahap perkembangan yang berbeza. Anda harus tingkatkan usaha anda agar si manja dapat membesar dengan sihat, dan mencapai kebijaksanaan dan kekuatan yang diperlukan untuk mencapai tahap yang seterusnya.
Teruskan usaha untuk melayari perjalanan sebagai seorang ibu dengan memberikan apa yang terbaik untuk anak anda. Walaupun sibuk dengan kerjaya, pastikan tanggungjawab sebagai seorang ibu tidak terabai. Banyakkan bersabar dan semoga anda berjaya menempuhinya dengan selamat dan tenteram. Kalau berdepan dengan bermasalah, janganlah disimpan sendiri – sebaliknya berkongsilah dengan pasangan anda, keluarga dan kenalan rapat. Kalau mereka tidak dapat membantu pun, sekurang-kurangnya kata-kata semangat daripada mereka dapat membantu anda mengharunginya.